Insan & Komuniti 05 Dec, 2025

Video| Pelancong hairan! KL ada lelaki sahaja! Mana wanita? Rupanya kawasan migran asing melepak!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia semakin menjadi tumpuan pelancong luar, khususnya dari Amerika Syarikat, Eropah dan Afrika. 

Namun, di sebalik peningkatan positif itu, muncul juga golongan pelancong yang gemar mencari keburukan sesuatu destinasi demi meraih tontonan tinggi dalam media sosial, fenomena yang semakin dikenali sebagai ‘rage bait tourism’ (pelancongan berumpankan kemarahan).



Terbaharu, seorang pelancong wanita berkulit hitam dari Amerika Syarikat yang menggunakan nama @chastheexplorer dalam TikTok mencetuskan perdebatan hangat apabila memuat naik video mendakwa beliau mengalami kejutan budaya di Kuala Lumpur. 

Dalam video berdurasi singkat itu, pelancong berkenaan menunjukkan sebuah kawasan yang dipenuhi lelaki tanpa kelibat wanita.

“Satu wanita bersamaan 100 lelaki di sini. Ini betul-betul kejutan budaya bagi saya,” tulisnya dalam kaspyen.

Video itu meraih sebanyak 73.4k tontotan, ribuan tanda suka dan ratusan komen sekali gus menarik perhatian netizen Malaysia.



“Tiada apa selain lelaki je di sini. Gilalah! Ke arah mana saja aku pandang, semua lelaki. Mana perginya perempuan? Aku nak tunjuk pada anda semua, mana perempuan? 

"Tempat ini sangat berbeza. Aku tak tipu. Ini dunia lain. Tiada apa selain lelaki. Lelaki, lelaki, lelaki,” katanya dalam video tersebut.

Siasatan netizen mendapati kawasan berkenaan ialah sebuah zon di ibu kota yang memang didiami dan dikunjungi pekerja warga asing, majoritinya lelaki dari Bangladesh, India dan Pakistan.

Salah seorang netizen tampil menjawab segala kekeliruan yang tercetus. Menurutnya kawasan yang ditunjukkan itu adalah kawasan pekerja warga asing melepak dan bertemu.



“Video itu cuma tunjuk satu kawasan di mana ramai pekerja imigran melepak. Ia tak mewakili seluruh Malaysia. Dalam kehidupan harian, kau akan nampak rakyat tempatan, wanita, keluarga dan pelbagai orang di mana-mana! Saya harap Malaysia tetap masuk dalam perancangan percutian awak nanti!” jelas netizen tersebut.

Manakala beberapa lagi orang netizen tempatan turut memperjelas bahawa rakyat Malaysia termasuk wanita, jarang berada di kawasan itu kerana ia bukan lokasi tumpuan pelancong, bukan pusat beli-belah dan bukan tempat hiburan keluarga.



“Lol, memanglah tak nampak orang tempatan di situ. Semua pekerja migran  Bangladesh, India dan Pakistan. Orang Malaysia sendiri pun tak nak pergi ke kawasan tu,” kata salah seorang netizen.

Ramai warga tempatan menyifatkan dakwaan pelancong berkenaan tidak berpijak pada realiti kerana Kuala Lumpur sendiri merupakan antara bandar paling sibuk dan moden di Asia Tenggara dengan peratusan wanita tempatan yang tinggi di tempat awam terutama di pusat beli-belah, sistem pengangkutan awam, pejabat, kampus dan ruang komersial.



“Ini random street yang penuh pekerja warga asing. Tengah panas terik, perempuan memang tak lalu sini. Pergi je mall, ada ramai perempuan,” tulis netizen tersebut.

“Sis, ini memang kawasan yang 90% penghuninya pekerja asing lelaki sebab mereka tinggal di situ. Kami (wanita tempatan) pergi tempat lain sebab kami tak ada urusan apa-apa kat sini,” jelas yang lain pula.

Walaupun ramai memberikan penjelasan, ada juga komen dari netizen luar negara yang menganggap video itu sebagai petanda Malaysia tidak selamat atau tidak mesra pelancong wanita.  

“Euw! Aku padam Malaysia dari senarai aku. Terima kasih,” tulisnya. 



Isu ini menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen Malaysia yang menyifatkannya sebagai tidak adil kerana dibuat berdasarkan persekitaran yang tidak mewakili Malaysia secara keseluruhan.

Beberapa pengguna TikTok Malaysia mempersoal mengapa pelancong itu memilih untuk merakam video di kawasan tersebut sedangkan ibu kota Kuala Lumpur menawarkan banyak lokasi pelancongan popular lain seperti Bukit Bintang, KLCC, Pasar Seni, Kampong Bharu dan lain-lain lagi.  

Kesemua tempat tersebut meriah dengan pengunjung wanita, keluarga dan pelancong antarabangsa.  

“Dia pergi tempat salah. Lepas tu buat kesimpulan pasal seluruh Malaysia,” tulis seorang netizen secara sinis.



Walaupun video tersebut mengundang kekeliruan dan reaksi negatif sesetengah orang luar, ramai rakyat Malaysia tetap bersikap terbuka dan menjemput mereka datang menilai sendiri negara ini. - KitaReporters

9
18
0
17
0
You will be interested