Komposer Wan Zul atau nama sebenarnya Che Wan Zulkifli Che Wan Abdul Ghani, 61, yang dilapor kritikal sejak beberapa hari lalu, sudah sedar pada Jumaat, 7 Oktober 2022.
Menurut adiknya, Che Wan Zuhaini, Wan Zul sudah boleh anggukkan kepala ketika namanya dipanggil tetapi masih memakai alat penafasan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan
Che Wan Zuhani, 58, berkata abangnya dimasukkan ke Hospital Kemaman sejak Ahad, 2 Oktober 2022, akibat kencing manis dan jangkitan kuman pada paru-paru.
Susulan itu dia ditidurkan. Wan Zul masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kemaman.
Wan Zul berkahwin dengan Tengku Siti Famah dan memiliki sepasang anak iaitu Che Wan Norsyikin dan Che Wan Noradli.
Setelah kegiatan seninya berkurangan, Wan Zul pulang ke kampungnya di Kijal.
Wan Zul merupakan individu yang membawa kumpulan Iklim dari Terengganu melebarkan sayap ke peringkat nasional.
Wan Zul berjaya meyakinkan Suria Cipta Sempurna (SCS) untuk menandatangani kontrak dengan kumpulan Iklim.
Bagi album sulung bertajuk ‘Suatu Kisah Abadi’, Wan Zul berjaya mencipta lagu berhantu ‘Suci Dalam Debu’ dengan lirik dihasil oleh S Amin Shahab.
‘Suci Dalam Debu’ berjaya membuat Iklim popular sekelip mata. Lagu berhantu ini dan Iklim bukan sahaja popular di Malaysia, Singapura dan Brunei, malah turut berjaya memikat masyarakat Indonesia.
Selain lagu itu, Wan Zul telah menghasilkan sejumlah melodi popular lain.
Antaranya, ‘Hanya Satu Persinggahan’ (Ekamatra), ‘Antara Sutra Dan Bulan’ (Damasutra), ‘Aduhai Seribu Kali Sayang’ (Iklim), ‘Kerana Takdir’ (Saleem), ‘Biografi Cinta Luka’ (Iklim), ‘Itulah Cintaku’ (Ilusi), ‘Selanjur Bercinta’ (Aisyah) ‘Di Badai Asmara’ (Sera) dan ‘Khazanah Dari Malaya’ (Ayati Tasrip).
Wan Zul pernah bertugas dengan syarikat rakaman Ambang Klasik, anak syarikat TV3. - KitaReporters