Insan & Komuniti 24 May, 2024

Anak bekas wartawan ditawar pengajian sarjana kewangan di UK! Sedihnya masih tunggu jawapan penajaan!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail (depan, tengah) hadir pada sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri di  Dataran Lok 9, Kuala Perlis.


Anak orang Kampung Bakau, Perlis yang terkenal dengan banjir setiap kali hujan yang juga penerima tempat kedua Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) peringkat negeri Perlis, Muhammad Saniy Samsudin, 25, telah ditawarkan pengajian peringkat Sarjana Kewangan di University of Warwick, Coventry, United Kingdom untuk sesi 2024/2025. 
Alumni Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kubang Pasu yang juga penerima Anugerah Tokoh Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi 2023 dan Pingat Emas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 2023 berharap hasratnya tercapai untuk menyambung pengajian sekiranya mendapat penajaan daripada Mara atau mana-mana syarikat berkaitan kerajaan atau  Government Linked Company (GLC).
Graduan Sarjana Muda Kewangan (Kelas Pertama) ini telah membuat permohonan kepada Mara dan hanya menunggu jawapan.
“Saya teruja bila ditawarkan pengajian MSc Finance di University of Warwick, Coventry, United Kingdom untuk sesi 2024/2025 kerana universiti ini berada pada kedudukan ke-4 terbaik di UK dan ke-16 di dunia menurut ranking Financial Times 2023,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail sempena sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri di Dataran Lok 9, Kuala Perlis.

Muhammad Saniy Samsudin menerima hadiah tempat kedua Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) peringkat negeri Perlis.


Anak muda yang pernah menggalas tugas sebagai Felo Akademik di University of Texas, Amerika Syarikat bersama pemimpin belia dari Malaysia, Brunei, Myanmar, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam yang berkumpul untuk berbincang dan mengkaji perkembangan, sejarah, cabaran dan kejayaan perusahaan dan pemimpin masyarakat di Amerika Syarikat serta pada peringkat global ini pastinya bukan sahaja dilihat dapat mengharumkan nama Perlis tetapi juga negara.
Semua perbelanjaan dan tiket penerbangannya sebagai Felo Akademik itu dibiayai sepenuhnya oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat di bawah Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI).
Pastinya hasrat anak muda ini untuk pengajian pada peringkat sarjana perlu diberi perhatian selaras dengan usaha Kerajaan Malaysia Madani untuk melahirkan generasi muda hebat pada masa depan.
Pastinya anak ketiga dari empat beradik daripada pasangan suami isteri Samsudin Oli Mohamed, 59, dan Roziana Saad, 57, menjadi kebanggaan keluarga. 

Anak orang Kampung Bakau, Kangar atau lebih popular dengan kampung banjir setiap kali hujan ini pernah berhenti dari pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2017 dan menyambung belajar Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Nyiur, Jitra, hanya hendak menjaga ibunya yang diserang penyakit angin ahmar.

Pengorbanan ini berbalas apabila beliau memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sekali gus menjadi pelajar terbaik peringkat Kedah 2018.
Beliau juga pernah ditawarkan menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Australia tetapi disebabkan masalah kewangan telah memilih UUM di bawah Biasiswa Naib Canselor UUM.

Muhammad Saniy adalah anak kebanggaan kepada pasangan suami isteri Samsudin Oli Mohamed dan Roziana Saad.


Saniy juga tidak menoleh lagi apabila menerus mempamerkan bakat kepemimpinan dan kecemerlangan di dalam akademik.

Sekalipun sebenarnya Saniy berhadapan dengan pemilihan yang sangat sengit untuk layak sebagai calon YSEALI tetapi akhirnya berjaya terpilih selepas melalui saringan yang agak ketat.
Antara kejayaan lain yang membolehkan Muhammad Saniy dinobatkan sebagai pemenang ialah bergiat aktif dalam kerja-kerja sukarela bukan sahaja pada peringkat sekolah menengah dan universiti malah bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Persatuan, Kelab dan Alumni sekolah selain daripada pelantikan sebagai mutawif muda untuk mengiringi Jemaah umrah.
“Kesusahan masyarakat juga menjadi intipan saya semasa membeli makanan di gerai tepi jalan dan mengesan kesusahan warga emas yang terpaksa menjual kuih bagi mengumpul wang untuk pembedahan kelopak mata sebanyak RM5,600. 

"Alhamdulilah dengan usaha dan bantuan orang ramai wang dapat dikumpul dan dibuat pembedahan kedua-dua mata warga emas itu berjaya,” sambungnya lagi.

Dalam pada itu sebagai alumni sekolah, pembangunan sekolah juga menjadi keutamaannya apabila terlibat dengan pembinaan semula surau asrama sekolah yang termasuk kemudahan bilik air dan lain-lain.

Melihatkan tembok dan pintu masuk ke kawasan perkuburan di Tok Paduka, Kangar yang rosak dan menyebabkan anjing berkeliaran di situ maka hasil perbincangan dengan penduduk, maka usaha dijalankan untuk membaik pulih dan menyiapkan tembok, pagar dan mengecatnya.

Bagi menyuntik semangat murid sekolah di Simpang Ampat, Perlis dia juga telah melancarkan program Jom Capai 6A dalam UPSR dan murid yang berjaya ditawarkan tiket penerbangan, penginapan dan melancong ke Kuala Lumpur selain daripada agihan pelitup muka kepada sekolah itu semasa COVID-19.

Bukan sahaja di negeri atau negara malah dengan perbincangan rakan-rakan NGO Muhammad Saniy telah melancarkan kempen memberi nasi sedekah kepada pekerja yang hilang pendapatan akibat COVID-19 di Mekah dan Madinah.

Manakala bagi membantu Tabung Darah Hospital Tuanku Fauziah Kangar hebahan serta kempen dijalankan termasuk memberi cenderamata dan sijil kepada penyumbang dan penaja.


Bukan itu sahaja pembentang kertas kerja terbaik IMF ini turut memberi bimbingan kepada pelajar dan lepasan sekolah sama ada untuk mereka melanjutkan pengajian dimana-mana institusi pendidikan sama ada akademik maupun TVET termasuk membantu kalangan belia berumur 18 tahun ke atas supaya melanjutkan pengajian di Institusi Latihan kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), KBS.
“Kadangkala setakat penceritaan dan perkongsian idea sahaja tidak menampakkan kepercayaan oleh itu saya sentiasa berkongsi dengan rakan-rakan belia supaya terlibat dengan program seperti yang saya sertai antaranya bersama belia ASEAN, Asia dan Dunia juga,” ujarnya lagi.
Penyertaannya bersama 65 belia lain dalampPersidangan dalam talian bagi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Model United Nation (MUN) peringkat dunia, YSEALI di bawah Kedutaan Amerika Syarikat sebagai Felo Akademik di University Texas of Austin, Pertandingan Perniagaan di Indonesia dan lain-lain sesungguhnya membanggakan belia Perlis dan Malaysia kerana bapanya yang pernah tinggal di Kampung Bakau yang amat popular dengan banjir setiap kali hujan melahirkan pewaris yang dapat menjelajah hingga ke Amerika Syarikat dan mengukir nama pada persada antarabangsa.
Pengiktirafan lain yang diterima ialah sebagai Pemimpin Kolej Kediaman Terbaik IPT, Tokoh Siswa Kebangsaan, Tokoh kesukarelawanan Majlis Perumahan Universiti Awam (MAPUM), IKON Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Pembentang Kertas Kerja Terbaik bertajuk Krisis Ekonomi Global; Kesan Wabak COVID-19 di Persidangan dalam talian di Asia World Model United Nations Virtual Conference MMXXI, Persidangan dalam talian di Axiata Foundation University Leadership Development Programme (ULDP)  dan lain-lain membuktikan belia Perlis tidak ketandusan dalam mengangkat nama negeri ini dan Malaysia.
Muhammad Saniy juga terpilih mewakili Malaysia dalam program ASEAN International Mobility for Students Program (AIMS Program) dan kejayaan sebagai pembentang kertas kerja terbaik 3rd ASEAN Youth Initiative Empowerment Program (AYIEP) 2021.

Muhammad Saniy turut mengunjungi booth Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).


Kalau Tidak Dipecahkan Ruyung Manakan Dapat Sagunya oleh itu dengan pakej dan peluang yang diketengahkan oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS) melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini pastinya dapat melahirkan belia Madani yang akan mencorakkan negara ini kelak.
Hari Belia Negara peringkat negeri yang diadakan pada 18 Mei dan 19 Mei 2024 ini turut mengadakan beberapa aktiviti lain antaranya program rakan bumi, jualan agromadani, rockstreet, soopa doopa, pameran agensi kerajaan dan swasta serta beberapa pertandingan lain.
Turut diadakan ialah pertandingan sukan elektronik, perkhidmatan gunting rambut percuma, klinik, drum, tutorial pedicure , medicure, osbmx gathering dan forum keusahawanan. Program ini turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh. - KitaReporters

16
15
0
12
0
You will be interested