"ANAK-ANAK akan membebankan kami. Sementelah kerjaya hebat dan tidak ada masa untuk menyantuni seorang anak, maka kami rasa lebih baik kami berkahwin tapi amalkan hidup gaya "childfree (tak mahu anak)." Demikian pengakuan sepasang bakal pengantin ketika ditanya pelan masa depan selepas berumah tangga.
Pengakuan dalam TikTok itu menyebabkan ramai netizen mengkritik dengan pelbagai pendapat tetapi yang terbaik setakat ini kata mereka, pasangan muda yang tidak mahu anak itu cetek ilmu agama dan pendek akal.
Sabda Nabi Muhamad SAW begitu bangga bila umatnya ramai pada hari kiamat kelak.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Nikahilah wanita yang bersifat penyayang dan mampu melahirkan anak yang ramai, kerana sesungguhnya aku berbangga dengan umatku (ke atas umat-umat yang lain di akhirat kelak).” (Riwayat Ahmad, Asy-Syafi‘i, Abu Daud dan An-Nasa’i)
Manakala Ustaz Mustazah Bahari daripada DigitKhair pula berkata, anak-anak merupakan antara nikmat yang teristimewa. Apatah lagi jika anak-anak itu menjadi anak-anak yang baik dan mulia di sisi Allah SWT."
"Hanya orang yang dah lama menanti zuriat je faham. Tak mahu anak tu, bagi saya" ini pula jawapan tegas penyanyi Hazama yang menganggap pasangan muda tidak mahu anak itu sebagai satu kerugian besar kerana anak adalah matlamat setiap wanita dan lelaki yang mendirikan mahligai.
Seorang netizen lain pula, Sharifah Nadzariah Saion menyifatkan mereka yang childfree ini bukan trend orang muda tapi orang cetek ilmu agama dan pendek akal.
Setiap ibu dan ayah pasti mengharap agar anak-anak yang dikurniakan itu menjadi anak-anak yang soleh yang baik hubungannya dengan Allah dan baik hubungannya dengan manusia serta seluruh alam ini.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Furqan, ayat ke 74, yang bermaksud, “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.”
Hari Tiada Anak Antarabangsa pada setiap 1 Ogos
Bagi Opah pula, pasangan muda sebenarnya tidak tahu betapa nikmatnya ada anak. Pengalaman 35 tahun beranak lapan anak lelaki dan mengasuh sampai Opah kena berhenti kerja itu, nikmatnya kita saja yang tahu.
Pernah tak anda ditegur bila berjumpa kawan-kawan lama , "dah berapa anak dah?"
Kita sangat bertuah diberi amanah untuk membawa insan sesuci kain bersih (tiada dosa) ke dunia yang menyerikan hidup serta memberi banyak pengajaran tentang susah payah membina kehidupan, meraikan kejayaan, mengembangkan keluarga ke anak cucu serta menjadi pewaris negara.
Beranaklah!! Tidak perlu pun ramai, pelanlah beranak itu mengikut setakat daya yang boleh memilkulnya. Sepasang, paling tepatlah kerana jika berlaku kematian, ibu bapa masih ada lagi anak-anak yang boleh bermanja. Seronoknya melihat anak-anak membesar dan setiap sen dibelanjakan adalah bermanfaat.
Bukan saja-saja cari duit dan habiskan dengan beli-belah, berbelanja mewah di restoran, membeli kereta mahal, rumah mahal dan bercuti ke pusat peranginan tapi balik rumah kosong, sunyi sepi dan tiada sapa yang mahu berkongsi cerita kita.
Anak-anak soleh dalam Islam adalah sebahagian daripada penyambung pahala untuk ibu bapa. Mereka yang jadi penghubung sedekah kepada ibu bapa dan doa untuk keluarga yang sudah pergi.
Jangan tidak tahu ramai wanita tiada anak (childless), dilanda kesepian pada akhir hidup apabila bersendirian selepas pasangannya mati lebih dahulu. Pada hujung hidup ada juga yang terpaksa tinggal di rumah orang tua.
Ada anak bermakna kita melahirkan seorang lagi pelapis penghuni dunia. Wanita dicipta untuk melahirkan anak dan jika mereka sudah anggap ada anak itu membebankan kehidupan, bermakna mereka adalah orang terakhir dalam sejarah keluarganya.
Bayangkan jika menua tanpa anak. Jika hayat mereka panjang dan tiada orang yang membantunya pada kala terlantar.
Trend pasangan muda yang menganggap anak beban kepada kehidupan terutama wanita muda yang bekerjaya sangat tidak munasabah. Anak yang kita didik baik-baik akan jadi penawar hidup.
Mereka fikir anak-anak itu akan mengganggu hidup yang sudahpun banyak tekanan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan serba serbi mahal termasuk upah pengasuh, susu, lampin dan belum lagi makanan minum, perubatan, mainan.
Itu tindakan lebih pentingkan diri sendiri. Ibu bapa beranak kepada mereka dulu tu pun tentu gembira kejayaan mereka, apalagi cucu cicit menjadi warga soleh dan solehan.
Childfree (tak mahukan anak) adalah perbuatan sengaja tidak mahu beranak, mula direkodkan pada 1901 dan bila berlakunya budaya feminis pada 1970-an apabila wanita percaya kesamarataan darjat dengan lelaki dari segi ekonomi, sosial dan politik.
Mereka fikir budaya itu hak yang boleh dipilih untuk dijadikan amalan hidup. Bila homoseksual, lesbian, pondan dan hetroseksual dipopularkan, usaha mendapatkan anak sudah tidak penting lagi kerana adanya khidmat ibu tumpang dan wanita yang sedia melahirkan benih pelanggan yang membayarnya.
Manakala childless (tiada anak) pula disebut sebagai pasangan mandul disebabkan isu perubatan atau lain-lain yang tidak dapat dinyatakan dari segi kesihatan.
Memang hidup pada zaman ni kian mencabar. Apatah lagi 60 peratus keluaran menara gading adalah wanita. Mereka mahu menikmati pulangan daripada bertahun-tahun perah otak pergi belajar. Dan kita juga kena ingat tempoh subur wanita sehingga 45 tahun saja. Selepas itu akan berlaku menopaus (putus haid).
Jika tiada usaha menggalakkan wanita beranak, negara kita akan mengikut langkah sesetengah negara maju yang wanitanya enggan beranak disebabkan ekonomi, menyekat kebebasan dan undang-udang yang "mengarut" seperti ada penguasa negara yang menghukum ibu bapa penjara jika merotan anak-anak.
Bila sudah memilih tidak mahukan anak, jangan menyesal melihat keluarga lain berkembang (extanded) dengan riuh rendah cucu cicit. Ketika tua, selain wang dan harta, anak-anak yang soleh patut dilahirkan.
Ingat bukan kita yang tentukan dapat anak atau tidak. Bagi yang hendakkan anak, ada tu bertahun-tahun mencuba gagal dan bagi yang rasa bebas untuk bergaul bebas, alih-alih dapat tahu hamil.
Takdir hidup seperti kita yang merancang tapi rancangan Allah, akhirnya tepat.- KitaReporters