Insan & Komuniti 21 Mar, 2023

Harapan Ramadan 2023! IR Malaysia, CIMB Islamic jalin kerjasama! Dana RM1j bagi bantu 4,000 keluarga!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

Salah seorang penerima manfaat program Harapan Ramadan 2023


Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) telah menjalinkan kerjasama dengan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) menerusi program Harapan Ramadan 2023 sempena bulan Ramadan. 

Kedua-dua pihak berganding bahu dalam menjayakan usaha ini demi membantu keluarga yang terdiri daripada golongan asnaf fakir miskin untuk bersiap sedia pada bulan yang mulia pada tahun 2023 ini. 

Tahun ini, CIMB Islamic telah menyumbangkan dana sebanyak RM1 juta kepada IR Malaysia sempena bulan Ramadan 1444H untuk diagihkan kepada seramai 4,000 keluarga  atau bersamaan dengan kira-kira 20,000 penerima manfaat di seluruh Malaysia melalui bantuan kotak makanan atau baucar tunai. 

Setiap kotak makanan yang diedarkan mengandungi makanan asas seperti beras, tepung, minyak masak, bihun, sos, biskut, sardin, kicap, garam, gula, teh, kopi, malt coklat, kurma, santan kotak, kari ayam atau ikan dalam tin, dan pelitup muka. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan usaha sumbangan makanan

Ahmad Shahriman Mohd Sharif (tengah) menyerahkan pek makanan Harapan Ramadan 2023 kepada Mohd Shukor Tahir semasa sesi pelancaran program Harapan Ramadan 2023.


Majlis pelancaran Harapan Ramadan 2023 tersebut disempurnakan oleh Ahmad Shahriman Mohd Sharif, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, diiringi Mohd Shukor Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif, IR Malaysia bersama Yayasan Belia Malaysia (YBM) yang diwakili oleh Dato’ Mustapa Othman, Ketua Pegawai Eksekutif YBM merangkap rakan pelaksana program yang kedua. 

Majlis penyerahan itu berlangsung di Masjid Al-Ikhwaniah, Cheras, Selangor pada 20 Mac 2023 yang menyaksikan sumbangan diberi kepada 120 buah keluarga sebagai titik permulaan program tersebut. 

Menurut Mohd Shukor, IR Malaysia menyambut baik kerjasama yang terjalin atas dasar kemanusiaan ini bagi membantu golongan rentan dan memastikan mereka mempunyai bekalan makanan yang mencukupi bagi menyambut bulan Ramadan.


Salah seorang penerima manfaat menerima sumbangan pek makanan daripada Ahmad Shahriman Mohd Sharif.


“IR Malaysia sangat mengalu-alukan kerjasama strategik daripada pelbagai pihak termasuk badan korporat dalam melaksanakan projek-projek kemanusiaan bagi memastikan capaian bantuan lebih meluas.”

“Kami juga amat berbesar hati kerana terpilih menjadi salah satu rakan pelaksana bagi program Harapan Ramadan 2023 pada tahun ini. 

"Melalui kerjasama ini, penerima manfaat yang dibantu dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna tanpa perlu gusar akan penyediaan juadah berbuka dan bersahur. Ini memandangkan kebanyakan daripada golongan sasar ini adalah mereka yang amat terjejas dari segi pendapatan dan keadaan ekonomi semasa,” katanya.

Pemerkasaan ekonomi dan kesejahteraan komuniti yang memerlukan amat dititikberatkan oleh CIMB Islamic. 

Bersama-sama dengan rakan strategik yang aktif dalam menjalankan usaha murni ini, semoga bantuan yang diberikan dapat  meringankan beban mereka yang memerlukan menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba. - KitaReporters/Kenyataan Media


9
15
0
7
0
You will be interested