Insan & Komuniti 06 Dec, 2023

Warga emas mualaf disantuni! Persatuan Darul Fitrah Malaysia aktif beri bimbingan! Kukuhkan keimanan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Noorshin Ng (tengah) menemu bual warga emas mualaf ketika melawat PJNH.


“PERSATUAN Darul Fitrah Malaysia yang ditubuhkan sejak 20 tahun lalu akan terus aktif menyantuni mualaf termasuk mereka dalam kalangan warga emas yang terdampar di pusat jagaan,” kata Presidennya, Noorshin Ng.

Menurutnya, persatuan akan sentiasa ambil peduli nasib mereka itu termasuklah mualaf berada di mana sahaja apabila mendapat laporan ada yang memerlukan bantuan atau sokongan untuk meneruskan kehidupan selepas menganuti agama Islam.

Tambah beliau, langkah itu penting bagi memastikan akidah mereka tetap terpelihara selepas menjadi seorang Muslim yang taat kepada ajaran serta amalan mesti diikuti supaya berjaya menjadi Mukmin taat kepada larangan serta suruhan Allah SWT.


Ahli Persatuan Darul Fitrah Malaysia dengan dibantu petugas PJNH, Murni (kiri) menyiapkan hidangan makan tengah hari untuk diagihkan kepada warga emas.


Jelasnya, bagi mualaf yang menjadi penghuni di pusat jagaan mungkin berasa agak selesa apabila kehidupan mereka terurus dengan sempurna namun persatuan tetap ambil peduli supaya dakwah serta bimbangan sebagai saudara baharu tidak diabaikan. 

“Seperti kunjungan ke pusat jagaan ini merupakan peluang terbaik untuk bertanya khabar serta beramah mesra dengan mereka selepas menjadi seorang Islam dan sebarang masalah yang diutarakan akan dibincangkan dengan pihak pengurusan,” ujarnya yang ditemui ketika mengadakan lawatan ke Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), di Beranang, Selangor, pada 21 November 2023.

Dalam lawatan lebih tiga jam bersama tujuh ahli itu, persatuan berkenaan turut menaja makan tengah hari untuk warga emas di PJNH selain melihat kemudahan serta prasarana yang disediakan dengan diakhiri membuat rakaman temu bual dengan penghuni mualaf.


Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Mohiadin Bahado (kiri) bersama-sama ahli Persatuan Darul Fitrah Malaysia merakam kenangan di depan pintu utama pusat jagaan itu pada 21 November 2023.


Noorshin berkata, walaupun sebagai persatuan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) yang tidak mendapat bantuan atau dana sumbangan mana-mana pihak namun tetap berusaha membantu mualaf ditimpa musibah.

Beliau berkata, antara bantuan atau pertolongan yang sering dihulurkan untuk mualaf termasuklah menyelesaikan persekolahan anak, keperluan harian keluarga, mencari peluang bagi berdikari serta mengadakan bimbingan mengenai agama Islam yang penting difahami.

“Setakat ini pelbagai pihak sedia menghulurkan sumbangan atau memberi sokongan bagi membolehkan persatuan terus aktif menyantuni mualaf dan kita pula boleh bergerak bebas tanpa ditentukan atau diarahkan mana-mana pihak.

“Persatuan amat berterima kasih serta bersyukur apabila PJNH ini menyantuni dengan baik warga emas termasuk mereka dalam kalangan mualaf yang uzur serta memerlukan rawatan susulan di hospital atau pusat kesihatan,” ujarnya.


Warga emas menikmati hidangan makan tengah hari yang disediakan Persatuan Darul Fitrah Malaysia.


Sementera itu Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado, berkata semua warga emas menghuni pusat jagaan itu secara percuma disantuni umpama keluarga sendiri dan tiada perbezaan antara mereka termasuk mualaf apabila keperluan harian tetap dijaga.

Menurutnya, PJNH menyediakan guru agama untuk mengajar mengenai pengajian agama Islam seperti fardu Ain, Fekah, mengaji al-Quran dan sebagainya bagi mengisi masa lapang serta memanfaatkan kehidupan warga emas di situ.

Jelasnya, bagi mualaf ada antara mereka sudah menjadi seorang Islam sebelum dihantar oleh pihak berkenaan ke PJNH kerana hidup sebatang kara atau disisihkan keluarga manakala ada sesetengahnya pula secara sukarela memeluk agama Islam selepas sekian lama mengikuti kelas pengajian agama di situ.

“Kita berasa bersyukur kerana mereka ini rajin mengikuti kelas agama selepas menjadi mualaf dan akan bertanya pelbagai perkara dengan guru agama yang datang mengajar disamping itu malah ada antara mereka meninggal dunia selepas memeluk agama Islam,” katanya. - KitaReporters


Warga emas mualaf ditemu bual untuk berkongsi pengalaman menjadi penghuni di PJNH.

17
13
0
14
0
You will be interested