Insan & Komuniti 26 Apr, 2025

Diari Mama Masscom| Tak beradab! Bukan salah ibu mengandung, generasi atau teknologi! Cerminan diri!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this


Bila menyentuh soal adab, ramai yang suka kaitkan isu kurangnya adab hari ini dengan perubahan zaman atau generasi. “Budak sekarang memang kurang ajar, tak reti beradap”, " banyak sangat main TikTok sampai tak beradab", “dulu tak macam ni”, " kita dulu, hormat orang tua, kita diajar dengan budi bahasa dan akhlak mulia".

Ini antara keluhan yang sering kita dengar. Tapi benarkah adab ini soal generasi? Atau sebenarnya, ini masalah sikap dan pembentukan individu?

Sebenarnya jika kita kaji dengan lebih mendalam, nilai asas tak pernah lapuk, tak pernah pupus ditelan oleh zaman. Walau zaman berubah, teknologi makin canggih, pelbagai budaya dan gaya kehidupan silih berganti yang pastinya nilai asas seperti hormat orang tua, jaga bahasa, sopan santun, berakhlak mulia tetap kekal sebagai tunjang akhlak manusia untuk hidup dalam keadaan yang harmoni dan sejahtera.  

Apabila seseorang itu hilang adab, ia bukan kerana dia hidup pada zaman FB, zaman Wechat, TikTok atau AI, tapi kerana nilai itu tidak ditanam atau dijaga dalam dirinya. 



Adab sebenarnya tak kenal usia. Kita pasti pernah jumpa anak-anak muda yang sangat beradab, membantu siapa sahaja dalam kesusahan dan pada masa yang sama, orang dewasa yang suka maki hamun dalam media sosial, mencarut,  tanpa rasa malu dan segan. Kononnya mereka terlebih dahulu makan garam dan boleh mencarut sesuka hati. 

Ini jelas menunjukkan bahawa adab bukan milik generasi tertentu. Ia milik siapa yang memilih untuk menjaganya. Adab menjadi pilihan individu. Mahu jadi orang yang ada adap atau kurang ajar.

Kadang ada juga yang kata persekitaran boleh membentuk diri mereka menjadi kurang ajar dan tidak ada adab. Umpamanya pada zaman itu ramai yang merasakan caci maki, mencarut itu sudah menjadi amalan biasa buat mereka, sebab persekitaran membenarkan perkara itu. Ia seakan satu trend dan diterima pakai oleh masyarakat tertentu. 

Tapi  sebenarnya diri sendiri yang menentukan sama ada kita mahu mengikut sesuatu yang baik atau buruk. Nilai-nilai yang baik boleh kita tanam dalam diri kita, jadi " tepuk dada tanya selera".

Seperkara lagi, tidak dinafikan, persekitaran memainkan peranan membentuk peribadi seseorang. Tinggal atau bekerja dalam persekitaran yang tak ada adap boleh menjadikan seseorang itu terikut-ikut dengan budaya setempat. Bak kata pepatah Inggeris "if you cannot beat them join them".

Namun begitu , individu itu sendiri yang memilih untuk menjadi siapa diri mereka dalam masyarakat, sama ada untuk menjadi baik atau sebaliknya.  

Dalam keluarga juga sama, ada adik-beradik yang berbeza sikapnya. Ada yang baik ada yang pendengki ada yang baik tutur kata dan bahasanya, tapi ada yang 24 jam kerjanya mencarut saja suka cari gaduh dan mempunyai peribadi yang kurang mulia. 

Maka, jelaslah bahawa soal adab bukan sekadar tentang latar belakang keluarga, kawasan setempat atau zaman, tapi adab adalah pilihan dan keinsafan peribadi yang membentuk jati diri seseorang.



Bagi penulis , menyalahkan zaman adalah cara mudah untuk lepas tangan (cuci tangan) dan rasa tidak bersalah jika mereka dilabelkan sebagai seorang yang tidak beradab. 

Bila kita berpendapat adab luntur kerana zaman berubah dan persekitaran memain peranan penting menjadikan siapa kita hari ini,  kita menafikan tanggungjawab besar ibu bapa, guru, masyarakat dan individu yang bersungguh-sungguh cuba menanamkan akhlak yang baik dalam diri seseorang. 

Sedangkan hakikatnya, mendidik dan menanam adab dalam diri adalah tanggungjawab bersama yang tidak boleh diserah kepada pihak-pihak tertentu sahaja, “trend” atau teknologi.

Justeru, adab bukan datang sendiri dalam diri seseorang tetapi ia perlu dididik, ditaman dalam jiwa dan jadikan ia amalan dan bukan diandaikan adab hadir bila waktunya tiba. 

Adab perlu diasuh sejak kecil, diperhalusi sepanjang hayat dan dipraktikkan dalam hidup. Mendidik adab bukan tugas sekolah semata-mata, tapi bermula di rumah, di meja makan, dalam perbualan harian dan melalui contoh tauladan di depan mata. 

Slogan "Kepimpinan Melalui Teladan" adalah contoh terbaik mendidik adab pada generasi kita. Dalam hal ini, Kita tak boleh andaikan anak akan pandai jaga adab dengan sendirinya. Adap perlu dipupuk dalam diri sesorang. 



Tuntasnya adab adalah cermin diri, bukan bayang-bayang generasi. Bila seseorang itu hilang adab, kita tidak perlu salahkan dunia dan zaman yang berubah. Kita perlu semak hati, keluarga,masyarakat dan sistem nilai yang membentuknya. 

Zaman boleh berubah, tapi nilai yang baik akan sentiasa relevan, selagi ada manusia yang memilih untuk menjaganya. 

Semoga adab terus hidup subur dalam jiwa kita walau secanggih mana pun kehidupan yang kita lalui ini. Semoga kehidupan yang penuh adab akan meningkatkan keharmonian kehidupan manusia di dunia. - KItaReporters

12
8
0
12
0
You will be interested