
SEKALUNG tahniah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, yang menerima pengiktirafan antarabangsa apabila diberikan Anugerah “Women of the Decade” (Wanita Dekad Ini) pada Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN 2025.
Anugerah berprestij ini mengiktiraf kepimpinan luar biasa dan komitmen teguh beliau dalam memajukan industri media di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.


Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) menyifatkan anugerah itu sebagai sangat membanggakan bagi wartawan wanita negara ini kerana pencapaian ini bukan sekadar pengiktirafan peribadi kepada Nur-ul Afida tetapi juga kebanggaan warga di PERTAMA.
"Ini kerana beliau berjaya meningkatkan peranan wanita dalam industri media dan kepimpinan di rantau ASEAN. Alhamdulillah dan tahniah DP Nurul," kata Presiden PERTAMA, Sariha Mohd Ali yang antara puluhan ucapan yang diterima oleh WhatsApp persatuan pada 19 Jun 2025.
Kepimpinan Nur-ul Afida terserlah dalam menggalas tanggungjawab di agensi berita utama negara, memperkukuh integriti, inovasi, dan suara wanita dalam media," kata Sariha lagi.
Kejayaan ini memperkuat profil wanita Malaysia di persada ASEAN.

Sariha Mohd Ali
Sebelum itu, Presiden WEF ASEAN 2025, Datin Dr Hartini Osman, dalam kenyataan di luar acara berkata penghargaan ini diberikan kepada tokoh wanita yang memainkan peranan penting dalam memacu transformasi dan ketelusan dalam ekosistem media serantau.
“Datin Paduka Nur-ul Afida telah menunjukkan keberanian dan kepimpinan luar biasa dalam memperkukuh integriti serta inovasi dalam landskap kewartawanan Malaysia,” katanya.
Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN 2025 diadakan dari 19 sehingga 21 Jun, bertujuan memperkasa ekonomi wanita di rantau ASEAN dan akan menampilkan pelbagai sesi perkongsian ilmu dan pengalaman dari lebih 40 negara.
Malaysia memainkan peranan penting sebagai pengerusi ASEAN pada tahun 2025, dan forum ini adalah salah satu acara utama yang disokong oleh Malaysia.

Dr Hartini Osman
Dr Hartini menyifatkan kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan individu, tetapi juga menjadi detik membanggakan buat BERNAMA serta simbol keunggulan wanita Malaysia di pentas ASEAN.
Forum yang berlangsung sebagai sebahagian daripada Kemuncak ASEAN Malaysia 2025 ini turut menyaksikan tokoh-tokoh wanita dari pelbagai sektor diberi penghormatan atas sumbangan mereka dalam pembangunan ekonomi, sosial dan teknologi rantau ini.

Nur-ul Afida merupakan anak kepada wartawan veteran tersohor Allahyarham AR Kamaludin, Beliau memulakan kerjaya dengan akhbar Harian Nasional sebelum menyertai agensi BERNAMA pada 1985.
Bertugas selama 39 tahun, beliau berpengalaman dalam bidang Berita Am, Meja Penyuntingan Bahasa Melayu, Unit Foto, Meja Rencana dan Penulisan Strategik. - KitaReporters