Insan & Komuniti 20 Jun, 2025

Saya Sayang Malaysia! Semarak Seni Visual Kedah! Anjuran Angkatan Pelukis Kedah! Mewarna, melukis!

@abd razak osman
Bekas stringer Kosmo! dan mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Menulis selagi masih hidup. Emel: razakosman1950@gmail.com

Share this

Krishna Samy a/l Layaroo (dua dari kiri) melihat pameran kraf peserta di Program Semarak Seni Visual Kedah 2025 berlangsung di Village Mall Sungai Petani, Kedah.


Angkatan Pelukis Kedah (APK), buat kali pertamanya, mengadakan Program Semarak Seni Visual Kedah 2025 dengan berbagai acara menarik berlangsung selama tiga hari di Village Mall Sungai Petani bertema 'Saya Sayang Malaysia'.

Selain diadakan pertandingan mewarna dan melukis, diadakan juga pameran kraf oleh pengusaha-pengusaha dari beberapa daerah di Kedah.

Setiausaha APK, Murni Maliki berkata, kira-kira 50 pelajar sekolah rendah dan menengah mengambil bahagian dalam kedua-dua pertandingan itu yang diadakan pada 15 Jun 2025.

"Aktiviti yang diadakan ini, memberi peluang kepada ahli APK untuk berkenalan dengan anggota masyarakat daripada pelbagai kaum," katanya.

Menurutnya, banyak pihak memberi kerjasama, termasuk pengurusan Village Mall bagi menjayakan program dan pertandingan itu.


Pemenang pertandingan kategori melukis Sekolah menengah bergambar kenangan setelah menerima hadiah dan sijil penyertaan.


Mendapat tempat pertama pertandingan melukis ialah Daeng Muhammad Hafiz, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pasir Kechil, Sungai Petani.

Tempat kedua pula dimenangi Nur Lidya Umairah Mohd Kamal, 16, dari Sekolah Menengah Teknik (SMT) Alor Setar, manakala ketiga ialah Aishah Sakinah Mohd Razlan Shah, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Layar, Sungai Petani.

Ramai pelajar sekolah menengah menunjuk bakat melukis pada program itu.

Hadiah kepada pemenang pertandingan itu disampaikan oleh wakil Yang DiPertua Majlis Kebudayaan Negeri Kedah (MKNK), Krishna Samy a/l Layaroo.

Pemenang kategori mewarna pula dimenangi oleh Intan Adriana Syafiqah Mohd Shafiq, 11, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ahmad Tajudin dari Jitra, Kedah.

Tempat kedua ialah Nur Zara Zuraidi, 12, dari SK Mengkuang, Bukti Mertajam, Pulau Pinang; dan ketiga, Nur Auddra Mikayla Amar, 11, dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Perkampungan Berapit, Pulau Pinang.

Hadiah kepada pemenang tersebut disampaikan oleh Yang Dipertua APK, Mohd Yusoff Sahab. 


Pemenang pertandingan mewarna dan penerima hadiah saguhati bergambar kenangan.

Peserta pertandingan dikehendaki bawa alatan mewarna sendiri dan bawa tikar atau lapik tempat duduk.

Bagi pengunjung yang hadir, mereka dapat melihat pelbagai pameran yang diadakan.

Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah juga mengambil bahagian pada program berkenaan.

Murni menambah, pengunjung begitu seronok bila dapat melihat ahli APK mewarna, lukisan inai, demo melukis, tempahan potret dan lain-lain lagi. - KitaReporters


Kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM) turut mengada aktiviti untuk orang ramai mengetahui, Belajar Sambil Bekerja pada program tersebut. 

15
13
0
11
0
You will be interested