
Surau Al-Ukhwah, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi.

MASJID atau surau sering dikaitkan sebagai tempat ibadah yang hanya terhad kepada urusan keagamaan. Namun, hakikatnya rumah Allah itu bukan sekadar terhad kepada bidang dakwah tetapi mempunyai pelbagai fungsi untuk kemasyarakatan, perdagangan, perundangan dan penyebaran ilmu.
Kini, banyak masjid dan surau menyediakan kemudahan lengkap kepada jemaah untuk menunaikan solat khususnya musafir, rider dan pemandu e-hailing yang singgah termasuk membenarkan mereka bermalam di tempat ibadah itu.
Malah, banyak suara yang meminta supaya masjid dan surau dibuka 24 jam dengan dipenuhi pelbagai pengisian agama, sekali gus mencegah persepsi masyarakat bahawa rumah Allah hanya untuk ruang solat semata-mata.

Sambutan Aidilfitri bukan sekadar untuk makan dan minum tapi merapatkan ukhwah dalam kalangan jemaah.
Timbalan Pengerusi Surau Al-Ukhwah, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor, Mohammad Aidi Amin Dir berkata, kaedah surau mesra musafir mencerminkan pentadbiran tempat ibadat mengikut arus perkembangan semasa, bergerak ke arah kecemerlangan dan perpaduan.
"Kami sentiasa mengalu-alukan golongan musafir, rider dan pemandu e-hailing singgah bagi mengimarahkan rumah Allah itu untuk solat fardhu berjemaah pada bila-bila masa.
"Jika sekadar mahu berehat atau melelapkan mata sebentar pun tiada masalah, kami menerima dengan tangan terbuka.

Mohammad Aidi Amin Dir
"Surau Al-Ukhuwah mengamalkan konsep terbuka, tiada sekatan malah dibuka 24 jam untuk menerima sesiapa sahaja yang mahu beribadat, membaca al-Quran, beriktikaf, bersolat atau mengikuti kuliah agama," katanya pada majlis Sambutan Aidilfitri Surau Al-Ukhuwah 2025.
Sambutan Aidilfitri itu mengumpulkan ahli kariah fasa 1, 2, 3 dan penduduk di Seri Wirani, Seksyen 8 Bandar Baru Bangi. yang diadakan setiap tahun hasil derma jemaah ke tabung surau dan wang itu dikembalikan kepada mereka sempena sambutan Aidilfitri itu.

Sambutan Aidilfitri Surau Al-Ukhwah mengumpulkan ahli kariah fasa 1, 2, 3 dan penduduk di Seri Wirani, Seksyen 8 Bandar Baru Bangi
Aidi berkata, alhamdulillah, surau ini sentiasa menjadi tumpuan golongan rider, pemandu e-hailing dan warga asing untuk singgah menunaikan solat berjemaah, berehat, mandi manda atau menikmati minuman seperti kopi atau teh.
"Jika mereka mahu singgah, kami tiada halangan malah pihak surau mengalu-alukan dan menerima dengan hati terbuka bagi memberi kemudahan kepada golongan itu yang melalui kawasan surau berkenaan untuk pelbagai tugas.

Surau Al-Ukhwah menyediakan juadah berbuka puasa kepada 200 jemaah setiap hari sepanjang Ramadan 2025.
"Jemaah yang mempunyai masalah kewangan dan memerlukan tindakan segera juga boleh hadir ke surau, insya-Allah kami cuba membantu apa yang termampu. Sekurang-kurangnya bantuan kecil itu meringan beban mereka. Ada juga kami belikan tiket bas kerana mereka tiada wang untuk balik ke kampung.
"Surau ini turut menyediakan bilik untuk golongan tiada tempat tinggal. Sekarang pun ada pasangan yang kami benarkan tinggal di surau ini secara percuma selepas mereka dihalau penyewa kerana tidak mampu menjelaskan bayaran sewa bulanan," katanya.

Al-Ukhwah menjadi surau contoh mesra musafir dan dibuka 24 jam bagi kemudahan jemaah.
Konsep mesra musafir yang diamalkan surau itu menyebabkan ada bukan Islam memeluk Islam dan mengucapkan syahadah.
"Mualaf itu mengakui dia tertarik dengan suasana di surau itu terutama ketika solat fardu, ramai jemaah berpusu-pusu melakukan ibadat, bukan sahaja golongan dewasa tapi kanak-kanak dan musafir," kata Aidi.
Ditanya program Ramadan 1446H, katanya surau menyediakan juadah berbuka puasa kepada 200 jemaah setiap hari dan menerima sambutan baik golongan rider, pemandu e-hailing, pelajar universiti dan warga asing beragama Islam.

Menu apam balik antara yang mendapat sambutan jemaah sempena Sambutan Aidilfitri Surau Al-Ukhwah, Bandar Baru Bangi, Selangor.
"Kami turut menjemput imam muda dari Kelantan bagi solat tarawih selain imam sedia ada. Insya-Allah bagi bakal duyufurrahman tahun ini (2025), surau akan mengadakan majlis ringkas bagi meraikan jemaah yang akan menunaikan ibadat haji.
"Harapan saya, Al-Ukhwah akan menjadi surau contoh mesra musafir dan sentiasa dibuka 24 jam bagi kemudahan jemaah. Datanglah bila-bila masa pun untuk beribadat, anda sentiasa menjadi tetamu kami.
"Bagi ahli kariah pula, jika datang ke surau, bawalah keluarga masing-masing termasuk anak-anak tapi didik mereka bersolat bukan bermain.
"Semoga usaha-usaha yang kami lakukan mendapat keberkatan Allah dan saf sedia ada bertambah hingga melimpah ruah ke luar," kata Aidi lagi. - KitaReporters

Banyak masjid dan surau menyediakan kemudahan lengkap kepada jemaah untuk menunaikan solat khususnya golongan musafir.