Insan & Komuniti 30 Apr, 2025

Video| Pusat Jagaan Mahmudah mendonia! Terima pelajar China, Korea untuk CSR, latihan! Dimensi baharu!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

.


Malaysian Relief Agency (MRA) dengan kerjasama AIESEC Taylor's University membuka dimensi baharu bagi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor apabila menempatkan dua sukarelawan antarabangsa untuk melakukan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) di pusat berkenaan.

Penempatan sukarelawan itu menepati hasrat pengurusan PJMM untuk menduniakan pusat berkenaan bukan setakat berfungsi sebagai tempat jagaan orang tua tetapi melangkau jauh ke depan dalam pembelajaran khusus berkaitan penjagaan warga emas secara lebih profesional.

PJMM juga akan dipacu untuk menjadi pusat bagi pelajar institut pengajian tinggi (IPT), ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kakitangan agensi swasta serta kerajaan untuk menimba ilmu dan pengetahuan mengenai pengurusan warga emas.


Soyi Park (kiri) dan Aubree berasa gembira dan seronok menyantuni warga emas di PJMM dalam aktiviti CSR.


Sukarelawan antarabangsa yang ditempatkan selama enam minggu di PJMM bermula akhir Januari 2025 itu ialah Aubree merupakan pelajar dari Universiti Zhengzhou China (UZC) dan Soyi Park dari University Keio Republik Korea (KURK).

Matlamat utama MRA dalam program itu adalah juga memberikan sumbangan positif kepada penghuni pusat jagaan dan menjalankan aktiviti yang bermanfaat untuk komuniti serta berharap inisiatif berkenaan mendapat reaksi positif serta kerjasama yang baik pengurusan PJMM.

Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata kehadiran dua pelajar dari China dan Korea itu amat dialu-alukan pusat berkenaan dan berasa bertuah apabila menjadi pilihan MRA untuk melaksanakan CSR membabitkan pelajar antarabangsa.

Menurutnya, penerimaan sukarelawan antarabangsa yang menjalankan khidmat bakti secara menetap di pusat jagaan itu menunjukkan satu anjakan paradigma dalam bidang kebajikan dan kesukarelawanan.


Soyi Park dan Aubree bertanya khabar seorang warga emas.


Tambahnya, bagi segmen kali pertama itu, ia secara tidak langsung sedikit sebanyak membuka mata dan memberi peluang kepada masyarakat luar mengenali dan memperhalusi bidang kebajikan dan sukarela yang dijalankan di negara ini.

Selain itu, jelasnya, ia juga bakal memberi impak serta jaluran baharu dalam bidang ‘Social Tourism’ (pelancongan sosial) negara, manakala pengurusan dan pentadbiran pusat kebajikan bukan hanya tertumpu kepada mengendali permasalahan yang ada, sebaliknya bakal menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai Kementerian seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta Kementerian Pelancongan.

Muhammad Syafiq, berkata, perkara itu pastinya akan menaikkan imej serta kredibiliti sesebuah pusat kebajikan yang mampu menerima dan memberi tunjuk ajar kepada masyarakat luar khususnya mereka dari negara asing apabila memiliki budaya berbeza.

Menurutnya, paling manis kali pertama pembabitan golongan muda apatah lagi daripada kalangan pelajar untuk melaksanakan kerja kebajikan di negara kita yang sudah tentu asing bagi mereka kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan budaya masyarakat tempatan bagi memahami permasalahan dialami warga emas.


Aubree (tiga dari kiri) memberi tunjuk ajar kepada warga emas dalam aktiviti melukis dan mewarna.


“Bagi pengurusan PJMM memberi kerjasama baik serta tunjuk ajar kepada pelajar terbabit dalam menyantuni warga emas bagi melakukan pelbagai aktiviti CSR mereka selain untuk menepati sasaran ia dilaksanakan.

“Kalau mahu menjadi kumpulan yang berbakti kepada masyarakat, jangan hanya tertumpu pada pembukaan pusat jagaan sahaja, sebaliknya perlu melihat sama warna-warna indah yang boleh disulam sama sepanjang perjuangan ini,” katanya.

Sepanjang menjalani CSR itu, Aubree dan Soyi Park didedahkan dengan pelbagai tugas serta aktiviti di PJMM sama ada secara teori atau pratikal bagi membolehkan mereka memahami tanggungjawab sebenar seorang petugas atau sukarelawan di pusat jagaan warga emas.

Selain membantu warga emas mengemaskan tempat tidur, menyantuni mereka untuk membersihkan diri, mengambil sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam, malah mereka berdua terbabit secara langsung membantu tugas menyediakan menu untuk dimasak di samping melakukan kerja membersihkan dapur, pinggan mangkuk digunakan dan sebagainya.


Soyi Park dan Aubree membantu menyediakan makan tengah hari untuk warga emas.


Mereka juga diperkenal latar belakang setiap warga emas di PJMM dan memberi tunjuk ajar penyediaan ubat-ubatan mengikut masa ditetapkan untuk diberikan kepada penghuni yang menghadapi masalah kesihatan.

Dua pelajar berkenaan turut diberikan galakan untuk mengadakan aktiviti bersama warga emas bagi menghilangkan rasa stres serta menghiburkan hati mereka di samping melakukan pengerakan seperti senaman ringan atau permainan bagi menguji minda.

Soyi Park yang temui berkata, selepas beberapa minggu bersama dengan warga emas PJMM, yang pada awalnya dirasakan semacam ada perbezaan dengan orang tua di Korea tetapi dalam beberapa minggu rupanya tidak banyak yang berbeza.

Menurutnya, dari segi rupa paras dan perangai mereka hampir menyerupai, namun dia berasakan ada perbezaan pada atur cara, organisasi dan sistem pembangunan serta pengurusan  tidak yang menyamai mungkin kerana adat atau budaya rakyat Malaysia.


Soyi Park menemani warga emas melakukan aktiviti santai di luar pusat jagaan itu.


Tambahnya, dia tidak mengetahui segala-galanya mengenai PJMM namun berasa bimbang dari segi keselamatan penghuni kerana begitu terdedah kepada pencerobohan yang boleh mendatangkan bahaya kepada warga emas.

“Saya berasa amat seronok apabila warga emas ini dapat melihat dengan penuh minat persembahan budaya Korea yang ditunjukkan malah boleh memahami dan mengambil bahagian dalam permainan dari negara asing bagi menghiburkan hati,” ujarnya

Manakala bagi Aubree pula, beliau melahirkan rasa gembira dan melalui pengalaman istimewa berbanding di negaranya malah sebelum itu dia berasakan pusat jagaan berkenaan suatu membosankan serta tiada apa yang menarik.

Beliau berkata, di negaranya untuk menghantar orang tua ke pusat jagaan memerlukan wang untuk membayar yuran setiap bulan tetapi ia jauh berbeza dengan PJMM yang dikendalikan NGO tiada sebarang bayaran dikenakan.


Soyi Park menyantuni seorang warga emas melakukan aktiviti menguji minda.


Tambahnya, dia kagum dan berasa tercabar apabila pihak pengurusan begitu gigih mencari sumber kewangan atau sumbangan barangan mentah yang semata-mata bagi memastikan warga emas di situ dapat meneruskan kelangsungan hidup.

Jelasnya, selepas beberapa minggu dia berasa agak pelik apabila warga emas turut disajikan dengan minuman sejuk berais serta makanan banyak bergantung kepada penggunaan minyak masak sedangkan di China orang tua hanya disediakan minuman panas untuk menjaga kesihatan.

“Bagaimanapun saya dan rakan dari Korea tetap berasa gembira serta seronok melayani warga emas di PJMM ini kerana mereka amat menghormati kami di samping banyak bertanyakan soalan mengenai asal usul walaupun terpaksa bercakap menggunakan bahasa isyarat,” katanya. - KitaReporters


Aubree dan Soyi Park bersama-sama rakan senegara merakamkan kenangan bersama warga emas PJMM selepaa mengadakan persembahan kebudayaan negara China dan Korea.

10
10
0
7
0
You will be interested