Insan & Komuniti 30 Apr, 2025

Pokok janda merana! Kempen tanam pokok Kelab Rotary di Taman Tasik Taiping! Sempena Hari Bumi 2025!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: awangani@gmail.com

Share this

Sebahagian ahli Kelab Rotary Taiping, Taiping Lake, Kerian, Kuala Kangsar dan Kamunting sedang melihat pokok yang ditanam di laluan Sungai Batu Teguh di Taiping

Pelbagai cara dilakukan untuk memastikan alam sekitar terpelihara. Salah satu cara ialah melalui penanaman pokok bagi menghijaukan kawasan dan memulihara biodversiti.

Penanaman pokok penting untuk memastikan manusia mendapat oksijen. Justeru itu, Kelab Rotary Taiping, Taiping Lake, Kerian, Kuala Kangsar dan Kamunting bersepakat untuk menanam pokok sempena Hari Bumi 2025 yang disambut seluruh sedunia pada 22 April setiap tahun. 

Sebanyak 20 pokok jenis Saliz babylonica (weeping willow atau pokok janda merana atau pokok dedalu) di tanam di laluan Sungai Batu Teguh, di Taman Tasik Taiping.

Presiden kelab itu, T. Thivananthan berkata, pihaknya melaksanakan program ini setiap tahun dan tidak akan berhenti demi menjaga kelestarian alam.

Katanya, pokok yang ditanam setinggi empat kaki berharga RM150 sepokok apabila dijual di pasaran.

“Kita memperuntuk RM3,000 untuk melaksanakan projek ini kerana kepentingan pokok tidak dinafikan kepada manusia,” katanya pada sambutan Hari Bumi 2025 di Taiping pada 27 April 2025.


Teh Kok Lim (kanan) sedang menanam pokok di laluan Sungai Batu Teguh di Taiping


Sementara itu Exco Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, penanaman pokok sebagai peringatan kepada manusia bagi menjaga alam sekitar.

Menurutnya, ini kerana setiap pokok mengeluarkan oksigen yang diperlukan oleh manusia dan haiwan.

“Saya terkilan kerana ada pemilik rumah yang tidak menanam pokok di kawasan rumah sebaliknya menutup kawasan rumah dengan simen dan sebagainya,” katanya.

Kerajaan telah menyasarkan penanaman 100 juta pokok dalam tempoh 5 tahun bermula dari tahun 2021 hingga 2025.

Kok Lim berkata, program ini hendaklah diteruskan dan usaha yang dibuat oleh kelab ini membantu menjaga kelestarian alam. - KitaReporters

17
15
0
16
0
You will be interested