Insan & Komuniti 30 Dec, 2024

Tolong kami! Bantu KESUMA'24 kongsi rezeki! Penduduk Kampung Salak, Trong gembira dapat perhatian!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Muhammad Faisal Abdul Rahman menyampaikan ucapan ringkas sebagai menyantuni dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada KESUMA'24.


KEBETULAN dengan peribahasa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang menjadikan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Kampung Salak, Trong di Taiping, Perak sentiasa menjadi perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menghulurkan sumbangan pelbagai barangan keperluan asas.

Barangan yang terkumpul di pusat itu diagihkan kepada penduduk miskin, asnaf, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik demi untuk kebahagiaan serta kesejahteraan hidup dalam satu komuniti selepas dibuka beberapa tahun lalu.

Pendapatan yang diperoleh oleh penduduk hanya cukup untuk menyara keluarga apabila majoriti mereka menetap di kampung berkenaan bekerja sebagai nelayan, pekebun kecil dan bekerja sendiri serta tidak mempunyai sumber kewangan tetap setiap bulan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Trong, Muhammad Faisal Abdul Rahman, berkata atas inisiatif bersama penduduk kampung, pusat berkenaan diwujudkan untuk berfungsi menyantuni penduduk yang memerlukan bantuan khusus makanan harian bagi dinikmati bersama keluarga.

Menurutnya, tiada peraturan atau syarat ditetapkan kepada penduduk yang menghadapi masalah atau kesempitan hidup, mereka boleh datang ke pusat berkenaan dengan berjumpa petugas untuk mendapatkan bekalan barangan keperluan asas amat mereka perlukan.

Jelasnya, barangan yang disumbang oleh NGO-NGO ke pusat itu adalah satu amanah untuk diagihkan kepada penduduk yang memerlukan bantuan terutama apabila tidak dapat keluar bekerja kerana sakit atau keadaan cuaca buruk seperti hujan dan dilanda banjir.


Sebahagian 30 bakul makanan yang akan diserahkan kepada penduduk yang memerlukan bantuan menerusi Pusat Khidmat Masyarakat.


“Saya memang mahukan pusat ini dapat berfungsi setiap masa di samping menjadi tempat untuk menyatupadukan penduduk tanpa mengira fahaman dan saling mengenali antara satu sama lain kerana hubungan erat perlu dipupuk dalam komuniti,” ujarnya ketika ditemui pada program penyerahan 30 bakul makanan untuk penduduk miskin dan asnaf kampung berkenaan oleh Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24) pada 21 Disember 2024.

Muhammad Faisal berkata, pusat berkenaan juga menjadi tempat untuk menyantuni warga emas uzur, gelandangan, mualaf dan sebagainya yang tersisih daripada keluarga untuk dirujuk kepada hospital bagi mendapatkan rawatan atau pusat jagaan warga emas untuk berlindung.

Tambahnya, mereka itu terlebih dahulu dirujuk kepada pihak berkuasa terbabit sebagai makluman di samping membuat laporan sebelum dibawa untuk mendapatkan rawatan sakit yang dihadapi atau ditempatkan di pusat jagaan untuk mengelak sebarang masalah pada kemudian hari.

“Walaupun sebagai wakil rakyat saya tiada masalah berjumpa dengan penduduk bagi bertanya khabar atau datang ke pusat untuk berbincang serta membuat aduan sebarang masalah yang perlu diselesaikan bersama-sama malah amat gembira membuat kerja kebajikan ini,” katanya lagi.


Muhammad Faisal (dua dari kiri), Penasihat KESUMA'24 , Azman Rasman (tiga dari kiri) dan penduduk kampung mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang serta penginfak bakul makanan untuk Pusat Khidmat Masyarakat.


Sementara itu, seorang penduduk yang menerima bantuan bakul makanan berkenaan, Hashim Mat Ayaa, berkata dalam keadaan yang semakin uzur memang sukar untuk dia keluar bekerja setiap hari dan amat berharap mendapat sumbangan daripada NGO.

Menurutnya, dia yang bekerja kampung dengan berkebun sudah lama terpaksa menjual hasil tanaman seperti rambutan kepada peraih atau pembeli yang datang sendiri mengambil buah itu terus daripada pokok untuk dipasarkan.

“Hendak mengharapkan orang muda mereka semua sudah berhijrah keluar ke bandar besar termasuk Kuala Lumpur untuk berkerja kilang dan sebagainya, yang tinggal hanya ibu bapa lanjut usia dan menghidap macam-macam penyakit,” ujarnya.

Rakan beliau, Zainudin Hamzah, berkata kehadiran KESUMA’24 untuk mengagihkan barangan keperluan asas itu adalah hasil maklumat yang diuar-uarkan kepada NGO berkenaan menerusi beberapa rakan yang memaklumkan ada keluarga miskin memerlukan bantuan di kampung itu.

Menurutnya, dia tidak menjangka sama sekali KESUMA’24 boleh berikhtiar mencari sumbangan daripada penderma dan individu prihatin untuk berkongsi rezeki dengan kami, walaupun sumbangan itu tidak seberapa namun sudah mencukupi.

“Langkah yang dibuat KESUMA’24 ini menyamaikan dengan beberapa NGO sebelum itu yang datang menginfakkan pelbagai barangan keperluan asas ke pusat khidmat masyarakat untuk diagihkan kepada penduduk yang memerlukan bantuan,” terang beliau.


Azman menerangkan usaha dilakukan KESUMA'24 bagi mendapatkan kerjasama pelbagai pihak khusus daripada individu prihatin serta penyumbang untuk menjayakan program itu.


Setiausaha KESUMA’24, Rozita Yaakob, pula berkata NGO itu akan terus menabur bakti kepada mereka yang memerlukan bantuan terutama untuk menyara keluarga kerana ditimpa pelbagai musibah seperti uzur, hilang tempat bergantung, menganggur selepas dibuang kerja dan sebagainya.

“Kami akan menguar-uarkan sesuatu projek atau program amal kebajikan melalui media sosial di samping memaklumkan kepada individu prihatin, dermawan dan syarikat korporat untuk menginfak bagi membantu menjayakannya,” ujar beliau.

Kepada mereka yang ingin bersama KESUMA’24 membantu mereka yang ditimpa musibah bencana alam seperti banjir atau meringankan bebanan operasi pusat jagaan warga emas, anak yatim, asnaf, keluarga miskin dan pusat pengajian agama boleh menyumbang terus ke akauan KESUMA’24 bernombor 100 7621 0000 12282 (Kelab Sukarelawan Mahmudah) Agro Bank, Semenyih, Selangor. 

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi nombor telefon Rozita (013-447 3585) dan Aizam Ambak (016-276 6584). - KitaReporters

18
11
1
9
0
You will be interested