Insan & Komuniti 19 Feb, 2023

Video| Ampun Tuanku! OKU Mohd Khairi terima kediaman percuma! Kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

Kredit foto: Facebook Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail


TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu. 

Begitu tuah atau rezeki terpijak seorang lelaki berstatus kurang upaya (OKU) apabila memiliki rumah sendiri yang selesa akhirnya tercapai menerusi kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA)

Lebih manis bagi Mohd Khairi Othman, 47, apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri mencemar duli menyempurnakan majlis penyerahan rumah berkenaan di Kampung Tanjung Pulai, Pekan, Pahang pada 15 Februari 2023.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bagnda Al-Sultan Abdullah

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli beramah mesra dengan Mohd Khairi Othman dan keluarganya di Kampung Tanjung Pulai, Mukim Pulau Manis, Pekan. Turut kelihatan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kiri). 


Seri Paduka juga berkenan meninjau rumah bertiang dengan tiga bilik itu, dibina dengan mengambil kira keperluan bapa kepada seorang anak itu yang berkerusi roda kerana cacat kedua-dua belah tangan dan kakinya.

"Ini rezeki kamu, Alhamdulillah. Jaga baik-baik (rumah ini)," titah Al-Sultan Abdullah kepada Mohd Khairi, yang mengusahakan kedai runcit secara kecil-kecilan bersebelahan rumahnya di kampung itu. 

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mencemar duli mengurniakan sumbangan kepada 15 asnaf.


Al-Sultan Abdullah turut berkenan mencemar duli mengurniakan sumbangan kepada golongan asnaf


Mohd Khairi yang ditemani isteri, Zaleha Mohd Nafis, 48, dan anak tunggal mereka, Muhammad Tasnim, 12, bersyukur dan tidak menyangka pembinaan rumah itu turut mengambil kira keperluannya, apabila dilengkapi kedai di sebelah.

Anak jati Kampung Tanjung Pulai itu menyifatkan rumah terbabit sebagai 'rezeki tergolek' buat dirinya, memandangkan rumah asal terletak berhampiran sungai, kerap dilanda banjir dengan air setinggi hampir satu meter hingga 1.2 meter.

"Seri Paduka pernah mencemar duli ke rumah saya pada musim banjir dan bertanya bagaimana dengan barang di kedai runcit jika banjir? Semasa itu, saya maklumkan hanya reda jika tidak sempat (barang-barang) dialihkan, tapi saya dan jiran-jiran akan cuba selamatkan mana yang boleh," katanya.

Jawapan itu, menurut Mohd Khairi, menyebabkan Seri Paduka terus bertanya sekiranya mahu sebuah rumah baharu jika dikurniakan.

"Saya cuma menjawab 'kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan'. Tak pernah terbayang saya akan dapat rumah batu begini kerana pendapatan sendiri tidak menentu," katanya.




Kediaman baharu itu merupakan rumah setingkat jenis bertiang dengan keluasan 660 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik, satu bilik air selain dilengkapi ruang makan dan perabot dengan luas keseluruhan 78 meter persegi bernilai RM150,000.

Rumah yang dibina dengan ciri mesra OKU itu turut menempatkan sebuah bilik serba guna seluas sembilan meter persegi yang akan dijadikan kedai Mohd. Khairi berniaga.

Semoga Mohd Khairi sekeluarga dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan tidak lagi diburu kebimbangan setiap kali musim tengkujuh dan banjir yang melanda kampungnya saban tahun. - KitaReporters


15
18
0
16
0
You will be interested