Insan & Komuniti 14 May, 2021

Amaran Reezal Merican! Tolong jangan kaitkan kematian Allahyarham Haziq dengan vaksin Covid-19!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

ALLAHYARHAM Haziq Kamaruddin dikerumuni media sekembalinya daripada kejayaan layak ke Sukan Olimpik Rio 2016. - Kredit foto: MSN.


ADA pihak cuba mengaitkan kematian Allahyarham Haziq Kamaruddin dengan pengambilan vaksin (imunisasi Covid-19). Ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Saya mohon tidak sebarkan berita yang tidak benar.

Saya dan 242 atlet termasuk Allahyarham Haziq, mengambil vaksin yang sama,” kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam laman Facebook rasminya, pada hari ini, Jumaat, 14 Mei 2021.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Reezal Merican

REEZAL Merican Naina Merican (kiri) menziarahi balu Allahyarham Haziq Kamaruddin, Shahira Abd Hallim di Kajang, Selangor. - Kredit foto FB Reezal.


AKSI Haziq Kamaruddin dalam Sukan Olimpik. - Kredit foto: MOM.


Allahyarham Haziq Kamaruddin disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang, Selangor selepas rebah dan tidak sedarkan diri di rumahnya pada awal pagi Jumaat, 14 Mei 2021.

Pemanah recurve negara yang menyertai Sukan Olimpik London 2012 dan Rio 2016 ini kembali ke rahmatullah pada usia 27 tahun. Allahyarham, yang dilahirkan di Johor Bahru, Johor pada 4 Julai 1993, meninggalkan seorang balu, Shahira Abd Hallim.

Haziq, siswa Universiti Malaya, pernah mengalungkan Malaysia dengan sebutir pingat gangsa Piala Dunia 2018 di Salt Lake City, sebutir pingat perak recurve berpasukan Sukan Asia Incheon 2014 serta beberapa pingat emas Sukan SEA.

Terdahulu, Allahyarham mengumpul empat pingat emas Sukan SEA Indonesia 2011, Naypyidaw 2013, Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017 serta dua pingat perak 2015 dan Filipina 2019. 

Pencapaiannya pada Sukan Olimpik London 2012 pula ialah di tempat ke-33 individu dan kesembilan berpasukan, manakala Rio 2016, di tempat ke-50 individu dan ke-12 berpasukan.


LAMAN sosial Kementerian Belia dan Sukan mengutus salam takziah. - Kredit foto: FB Reezal.


Reezal turut memohon diberikan ruang kepada Hospital Kajang untuk membuat bedah siasat yang dijalankan lebih kurang pukul 5.30 petang, Jumaat, 14 Mei 2021 yang dianggarkan mengambil masa antara sejam setengah hingga dua jam.

“Jangan timbulkan sebarang spekulasi yang tidak wajar. Hormatilah perasaan keluarga Allahyarham juga. Sebarang perkembangan, saya dan kementerian akan maklumkan kepada semua,” katanya.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam laporan sebuah stesen TV, mengesahkan Allahyarham telah mengambil dua suntikan vaksin imunisasi Covid-19 pada 4 Mei 2021 lalu dan diuji negatif apabila menjalani Ujian Antigen RTK pada Selasa, 11 Mei 2021 lalu.

Dalam laman itu, Reezal turut melahirkan rasa sebak dan sayu melihat wajah balu Allahyarham, Shahira dan keluarga yang dikejutkan dengan pemergian Allahyarham pada 2 Syawal 1442 Hijrah (Hari Raya Aidilfitri kedua) ini.

“Allahyarham juga sedang dalam persiapan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 (2021) melalui Piala Dunia, Peringkat 3 di Korea Selatan dan Kelayakan Akhir Olimpik di Paris pada Jun 2021 ini,” katanya.



HAZIQ Kamaruddin (kanan) dalam trio pemenang pingat perak Sukan Asia Incheon 2014 - pingat pertama sukan memanah Malaysia dalam temasya terbesar benua itu. - Kredit foto: MSN. 


Sementara itu, ujian calitan yang dijalankan terhadap jenazah Allahyarham Haziq mendapati arwah negatif Covid-19, kata satu sumber rapat Majlis Sukan Negara (MSN) dalam mesej Kumpulan WhatsApp pengamal media sukan. 

“Urusan van jenazah juga disediakan untuk membawa jenazahnya ke Kampung Tersusun, Serkam Darat, Merlimau, Melaka untuk majlis pengebumian di tanah perkuburan kampung itu dijadualkan pagi esok, 15 Mei 2021,” kata sumber itu.

Di Incheon, gandingannya bersama Khairul dan Atiq Bazil Bakri kalah kepada China 6-0 dalam pusingan akhir recurve berpasukan setelah mengatasi Nepal 5-1, Hong Kong 6-0 dan Jepun 5-1 di Lapang Memanah Gyeyang Asiad.

Di London pula, Haziq, Cheng Chu Sian dan Khairul tewas kepada pasukan Mexico 216-211 dalam pusingan pertama, manakala di Rio, dia, Khairul dan Muhammad Akmal Nor Hasrin disekat Perancis lebih awal.


HAZIQ Kamaruddin (kiri) dan Khairul Anuar Mohamad (dua dari kanan), sandaran utama trio recurve Malaysia. - Kredit foto: MSN.


Haziq, bekas Olahragawan Terbaik Sekolah Sukan Bukit Jalil 2011 juga pernah meraih pingat emas Grand Prix Asia 2011 di Laos dan gangsa Piala Asia 2019 di Filipina.

Mantan Naib Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Hassim Shaharudin, 74, berkata, “Allahyarham pernah memenangi pingat emas Sukan SEA Singapura 2015.

“Dalam peringkat kebangsaan ini, dia dan Khairul Anuar Mohamad saling bersaing bagi ranking utama. Dia hormat orang dan tidak banyak bercakap tetapi kemahirannya konsisten.

“Arwah ini saya kenali ketika dia menang pingat emas recurve berpasukan Sukan SEA itu. Saya sebagai pegawai pasukan dan dia cukup rapat dengan Khairul dan jurulatih negara dari Korea Selatan, Lee Jae Hyung,” katanya yang juga Presiden Persatuan Memanah Putrajaya.


HASSIM Shaharudin (berbaju merah dan gambar kecil) menyampaikan sejambak bunga tanda tahniah kepada Haziq Kamaruddin dan pasukan pemanah recurve negara yang layak ke Sukan Olimpik Rio 2016. - Kredit foto: MSN.


Kata Shapawi, pemergian Haziq selepas solat subuh mengejutkannya memandangkan arwah disahkan bebas daripada sebarang komplikasi penyakit malah telah mengambil suntikan vaksin imunisasi Covid dan Ujian Antigen RTK.

“Arwah cuma dikatakan ada sedikit penyakit gout. Dia minta kebenaran untuk keluar kem latihan di MSN, Bukit Jalil bagi menyambut hari raya dengan isterinya yang keseorangan di rumah mereka di Kajang.

“Satu kehilangan besar kepada negara. Doakanlah yang terbaik untuk arwah agar urusan-urusan seterusnya dipermudahkan Allah,” katanya. - KitaReporters


LAMAN sosial NAAM turut mengutus salam takziah. - Kredit foto: FB NAAM.

0
0
1
0
1
You will be interested