Insan & Komuniti 20 Mar, 2021

Sumbangan Covid-19 MyCar! 500 pek makanan bernilai RM40,000 kepada pemandu teksi, e–hailing!

@rahana dahari
Bekas Wartawan Utusan Malaysia yang pernah bertugas di Majalah Wanita dan akhbar di Ibu Pejabat Jalan Chan Sow Lin dan biro Kelantan.

Share this

Mohd Ajib Ismail (kanan) bersama Noor Sheena Maideen (dua dari kanan) dan Mohd Noah Maideen (tengah) ketika melancarkan sumbangan 500 pek makanan kepada pemandu teksi dan e-hailing yang mendaftar dengan MyCar di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 17 Mac 2021. 


KEPERITAN  pemandu teksi dan e-hailing yang terjejas pendapatan pada musim pandemik Covid 19  telah menarik keprihatinan pengendali platform MyCar menyerahkan 500 pek makanan yang bernilai RM40,000.

Bertempat di Masjid WilayahPersekutuan pada Rabu, 17 Mac 2021, majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail.

Hadir sama, Imam Besar Masjid, Muhyidin Aziz; Pengerusi Eksekutif  MyCar, Datuk Noor Sheena Maideen; dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Noah Maideen.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan MyCar:

https://kitareporters.com/search?search=mycar



Dalam ucapannya, Mohd Ajib (gambar atas, kiri) mengalu-alukan kepada mana-mana pihak yang mahu menyumbang dan berharap  usaha kebajikan seumpamanya berterusan walaupun pandemik telah berakhir.

“Pihak JAWI dan masjid Wilayah sentiasa mengalu-alukan sumbangan sama ada daripada badan korporat mahupun individu untuk berganding bahu membantu golongan yang memerlukan. Seperti hari ini sebanyak 500 pek makanan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan tepung diserahkan yang setiap satu bernilai RM80.

“Bagi pihak JAWI, apa juga bentuk sumbangan turut dihulurkan kepada yang bukan beragama Islam. Bila-bila masa datanglah berjumpa dengan kami kerana ada disediakan JAWI food bank bagi memastikan ada makanan untuk dimakan di samping mengelakkan kelaparan bagi golongan yang tidak berkemampuan” katanya.



Tambahnya lagi, pihak masjid  turut berkongsi idea bersama MyCar bagi menjayakan program penghantaran jemaah menunaikan solat tarawih pada bulan Ramadan nanti.

“Saya turut mencadangkan agar dapat diusahakan program pengangkutan ke masjid bagi sesiapa yang teringin menunaikan solat tarawih tetapi tidak tidak upaya menyediakan tambangnya. Hal ini akan dibincangkan lagi dengan pihak MyCar.

“Langkah ini bertujuan untuk mengimarahkan masjid sepanjang bulan Ramadan yang  hanya tinggal tiga minggu sahaja lagi. Masjid bersetuju menerima jemaah dengan kapasiti seramai 3,500 orang, namun perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” ujarnya.


Noor Sheena Maideen menyampaikan sumbangan pek makanan asas kepada salah seorang pemandu e-hailing di Masjid Wilayah Persekutuan pada 17 Mac 2021. 


Beliau yang juga Pengerusi masjid menambah, pihaknya telah melancarkan Road to Ramadan yang antara lain menghebahkan kepada anak kariah dan jemaah bahawa pintu masjid dan surau Jumaat akan dibuka sepanjang bulan puasa.

“Walaupun dibuka tetapi hanya solat tarawih 20 rakaat dan selepas itu tadarus selama satu jam sahaja dibenarkan. Untuk tujuan berbuka atau mengadakan moreh tidak dibenarkan kecuali kepada ahli jawatankuasa dan petugas yang akan menyambut ketibaan jemaah kerana hanya satu pintu yang dibuka.

“Sehubungan dengan itu, JAWI bercadang mengantikan majlis berbuka dengan mengagih-agihkan pek sumbangan makanan berbuka kepada anak kariah melalui bantuan maklumat daripada pemandu teksi dan e-hailing.

“Berdasarkan pengalaman dan cadangan mereka, saya percaya sumbangan dapat direalisasikan dan sampai ke kumpulan sasaran,” ujarnya.



Sementara itu Noah (gambar atas, kiri) memberitahu,  pihaknya terpanggil membantu para pemandu yang berdaftar di bawah MyCar memandangkan kebanyakan daripada mereka terjejas pendapatan sejak pandemik setahun yang lalu.

“Pihak MyCar bekerjasama dengan JAWI serta Masjid Wilayah bagi menghulurkan sumbangan. Sejak awal lagi kami memutuskan sumbangan bukan hanya tertumpu kepada pemandu beragama Islam sahaja tetapi juga kepada yang bukan beragama Islam. Ini sekaligus membuktikan bahawa kebajikan para pemandu sentiasa kami titik beratkan.

“Terdapat hampir 3,000 pemandu e–hailing dan 5,000 pemandu teksi MyCar di sekitar Kuala Lumpur dan jumlah yang seramai itu akan kita gerakkan untuk bersama-sama mengimarahkan masjid dan membantu jemaah ke masjid untuk solat tarawih atau solat jumaat.

“Pada masa hadapan, lebih banyak aktiviti kebajikan yang dirancang dan melibatkan masjid-masjid lain. Di samping itu juga bermula bulan Jun 2021, MyCar akan memulakan khidmat penghantaran makanan halal daripada pelbagai premis termasuk dari rumah, gerai, restoran biasa dan makanan segera,” ujarnya. - KitaReporters


0
0
0
0
0
You will be interested