Insan & Komuniti 21 Oct, 2020

Jangan hukum anak tak sah taraf! MAZA rayu ahli-ahli agama!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

MUFTI Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA) menerusi laman Instagramnya merayu agar golongan agamawan untuk mempertimbangkan tentang kedudukan anak tak sah taraf atau anak luar nikah yang biasanya dibinkan atau dibintikan dengan nama Abdullah dan bukannya nama bapa kandung mereka. : KitaReporters



Lagi cerita-cerita berkaitan 

Sebelum itu, apa kata kita fahami apakah yang dimaksudkan anak tak sah taraf ini dari sudut Islam.

Anak tidak sah taraf atau anak luar nikah ialah anak yang lahir hasil daripada hubungan seks sebelum perkahwinan yang sah.

Sebagai contoh, jika pasangan lelaki dan perempuan bersekedudukan sama ada lama atau sekejap kemudian mengandung maka anak yang dikandung itu dianggap anak tidak sah taraf walaupun anak itu lahir dalam perkahwinan yang sah.



Ini bermakna benih-benih kandungan yang terjadi sebelum kahwin tapi dilahirkan dalam tempoh perkahwinan, maka anak itu tetap dianggap anak tidak sah taraf.

Anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh dibinkan atau dibintikan dengan nama bapanya. Kebiasaannya anak tak sah taraf akan dibinkan atau dibintikan dengan nama Abdullah (hamba Allah).

Berbalik kepada saranan dan rayuan Dr Asri tadi, menurut beliau sering menerima surat-surat daripada orang ramai terutama anak tak sah taraf yang tertekan kerana malu apabila nama ayah tidak sama dengan adik-beradik yang lain.

Masalah yang sering dihadapi anak tak sah taraf dan ibu bapa yang mempunyai anak seperti ini. 




Menurut Dr Asri, Islam adalah agama yang menutup sebaik mungkin keaiban peribadi apatah lagi untuk menghukum anak-anak yang tidak bersalah.

Berikut adalah penjelasan Dr Asri mengenai masalah dan dilema yang dihadapi anak tak sah taraf apabila dibinkan atau dibintikan dengan nama Abdullah.

“Sejak dahulu, boleh dikatakan saban minggu saya menerima surat-surat yang seperti ini. Islam itu sifatnya merahmati dan memberikan peluang untuk manusia membaiki diri. Islam menutup sedaya mungkin keaiban peribadi. Apatah lagi, Islam tidak akan menghukum anak-anak yang tidak bersalah.

“Dalam fekah khususnya dalam urusan kehidupan ada banyak pandangan mujtahid. Kita tidak wajar memilih pendapat yang jika dilaksanakan akan menjadi bebanan dan menghukum insan-insan yang tidak berdosa.

“Mungkin pendapat-pendapat tersebut tidak membebankan pada zaman tertentu. Namun, ada pendapat yang mungkin menjadi lemah apabila zaman berubah. Kita hidup pada zaman pendaftaran bertulis, pasport, kad pengenalan, kewarganegaraan tertentu, sijil dan lain-lain ini.

“Ia mungkin berbeza dibandingkan zaman di mana manusia boleh menasabkan kepada kabilah, tempat, keadaan, boleh berpindah tanpa perlu kad pengenalan dan pasport, boleh bersekolah tanpa perlu kad pengenalan atau surat kelahiran dan seterusnya,” tulis Dr Asri.


Dr Asri menyarankan agar golongan agamawan mencari ikhtiar untuk membantu anak tak sah taraf.


Justeru, Dr Asri mencadangkan agar memilih fatwa-fatwa ulama yang sesuai untuk diguna pakai dengan zaman kini kerana terdapat ratusan ribu yang berhadapan dengan masalah ini.

Jadi, beliau memohon simpati daripada golongan agamawan yang telah mengeluarkan fatwa dan pendapat dalam masalah ini.

“Mungkin kita merasa diri kita sempurna dan ingin menghukum pendosa sepanjang hayat mereka. Soalannya, apakah itu yang disuruh oleh Allah SWT dan Rasul-Nya?

“Apakah benar terhukum pendosa atau kita menghukum yang tidak berdosa dan telah bertaubat daripada dosa. Mengapa tidak kita memilih fatwa-fatwa ulama seperti 'Urwah bin al-Zubair, Hasan al-Basri, Muhammad bin Sirin, Sulaiman bin Yasar, Ishaq bin Rahuyah (Rahawaih), Ibrahim al-Nakhai, Abu Hanifah, Ibn Taimiyah, Ibn Qayyim (secara hujah), Dr Yusuf al-Qaradawi dan ramai lagi yang membenarkan dibinkan kepada bapa biologi (kandung) sekalipun kurang enam bulan atau anak zina?

“Dilaporkan lebih 500,000 yang menghadapi masalah ini. Mohon simpati daripada golongan agamawan yang mengeluarkan fatwa dan pendapat dalam masalah ini,” rayu Dr Asri.



Tegas Dr Asri, di Perlis sudah lama dikeluarkan fatwa anak tak sah taraf boleh dibinkan atau dibintikan dengan nama bapa kandung atau suami kepada ibu anak tersebut.

“Alhamdulillah, Perlis sejak 2008 telah pun mengeluarkan fatwa ‘anak yang lahir kurang dari enam bulan selepas ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami’.

“Tidaklah ingin mengajar pihak lain, tapi sekadar mengajak bersimpati dan memberikan peluang untuk orang lain meneruskan kehidupan,” ujar Dr Asri.

Sementara itu, netizen turut bersetuju dengan pendapat dan saranan Dr Asri berkenaan anak tak sah taraf ini.

“Setuju Datuk. Tak wajar anak-anak menanggung beban malu akibat kesilapan masa lalu ibu bapanya. Situasi mungkin jadi bertambah parah jika si anak tidak sah taraf lari dari rumah, ambil dadah, bunuh diri, murtad dan lain-lain akibat dasar pejabat agama,” tulis salah seorang netizen.

Netizen berstuju dan menyokong saranan yang telah dikemukankan oleh Dr Asri berkenaan anak tak sah taraf.


Semoga saranan dan rayuan Dr Asri dapat dipertimbangkan dan dalam masa yang sama, masyarakat juga dapat memainkan peranan agar tidak memandang serong terhadap anak-anak tak sah taraf yang membuatkan mereka rasa tertekan dan malu. - KitaReporters

9
1
0
0
1
You will be interested