Insan & Komuniti 07 Feb, 2021

Tolong kami! Bantu 25 murid sekolah! Terpaksa guna pondok usang ikuti PdPR kerana isu Internet

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: [email protected]

Share this

BEBERAPA pelajar keluar dari pondok usang TNB untuk pulang ke rumah selepas mereka belajar secara online di situ di Kampung Payong, Sungai Tong, Setiu pada 3 Februari 2021.


SELEPAS pelbagai usaha dilakukan mencari rangkaian internet yang laju akhirnya 25 pelajar di Kampung Payong, Sungai Tong, Setiu, Terengganu menemukan sebuah pondok usang yang hampir roboh tetapi sesuai untuk dijadikan tempat mereka mengikuti kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian sejak sebulan lalu. 

Pondok usang itu dipercayai milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang suatu ketika dahulu menempatkan sebuah generator bagi menyalurkan bekalan elekrik 12 jam kepada rumah penduduk di kampung kawasan pendalaman itu.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan PdPR:

https://kitareporters.com/search?search=PdPR


TIGA pelajar sedang belajar dalam talian PdPR di pondok usang itu di Kampung Payong, Sungai Tong, Setiu.


Para pelajar terbabit termasuk 18 orang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkap dan tujuh murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Payong Baru menjadikan pondok usang dikelilinginya pokok-pokok kecil seluas kira-kira 10 meter itu sebagai `pusat’ pembelajaran mereka secara online. 


MOHAMAD Amirul Fitri Saimin


Seorang pelajar, Mohamad Amirul Fitri Saimin, 13, ketika dihubungi berkata sebelum itu dia termasuk beberapa rakannya di Kampung Payong itu telah berusaha untuk mencari beberapa lokasi lain yang terdapat kelajuan rangkaian internet tetapi tidak diketemui. 

Murid SK Payong Baru itu berkata, entah kenapa tiba-tiba hatinya tergerak untuk mencuba rangkaian internet di pondok usang itu dan alangkah terkejutnya rupa-rupa di situ terdapat talian internet begitu laju serta kuat.



 

KEADAAN pondok usang yang dijadikan tempat mengikut PdPR bagi 25 murid sekolah.


``Mujurlah ada pondok itu yang mempunyai atap dan dinding yang masih elok, jadi dapat juga kami belajar PdPR bersama kawan-kawan di kampung ini,’’ katanya pada Rabu 3 Februari 2021. 

Menurutnya, pondok usang berkenaan terletak tidak jauh dari rumahnya dengan hanya berjalan kaki boleh sampai di situ.


Muhd Aliff Afzan Ahmad  


Seorang lagi murid SK Payong Baru, Muhd Aliff Afzan  Ahmad, 13, memberitahu walaupun keadaan kurang selesa di lokasi itu tetapi mereka terpaksa juga belajar di tempat itu supaya mereka tidak ketinggalan mengikuti PdPR.

Dia berkata,  kalaulah pelajar dan murid sekolah berkenaan tidak berbuat demikian sudah tentu mereka tidak dapat mengulang kaji persekolahan mereka kerana  kelajuan internet di rumah masing-masing adalah terlalu perlahan.

``Dalam kepayahan kami belajar di pondok usang kerana ada yang duduk membongkok di atas simen tetapi sungguh pun dalam keadaan sebegini terasa seronok juga belajar beramai-ramai iaitu dalam satu masa antara lima hingga 10 orang. 

``Kami tetap mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dan kami pakai pelitup muka serta patuhi pergerakan fizikal,’’ katanya. - KitaReporters


1
1
8
0
1
You will be interested