KITA merancang dan berusaha, Allah SWT jua yang menentukannya.
Impian pelakon dan pelawak, Ebby Yus untuk memiliki rumah sendiri akhirnya musnah sekelip mata apabila bencana alam yakni banjir besar meranapkan impiannya. Biarpun sedih lelaki bujang berusia 56 tahun itu reda dengan ujian dan ketentuan Illahi.
Rumahnya yang dibina dengan separuh batu dan separuh kayu ranap ditelan oleh banjir besar laksana tsunami di Kuala Langat, Selangor pada Sabtu,18 Disember 2021 lalu.
Lagi kisah-kisah mengujikan berkaitan musibah
Kediaman yang dibina d atas tanah seluas setengah ekar itu hanya tinggal 10 peratus hendak disiapkan dan dia mengalami kerugian sekitar RM200,000 dan bayaran untuk pembinaan sudah diselesaikan setelah mendapat bayaran daripada berlakon dalam drama komedi JKK (Jenaka Kampung Kalut) di TV3.
Apa yang ralat bagi Ebby Yus atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid ialah rumah itu dibina hasil simpanan daripada kegiatan seninya selama 30 tahun.
Ebby yang selama ini menyewa bilik di Kampung Baru, Kuala Lumpur sejak 20 tahun lalu, berhasrat untuk tinggal di rumahnya sendiri di Kuala Langat apabila siap sepenuhnya tidak lama lagi.
"Tanpa disangka, musibah datang hingga habis rumah yang dibina menggunakan separuh batu dan separuh lagi kayu 'lenyap' dalam kejadian banjir, petang semalam (18 Disember 2021).
"Inilah rumah impian saya sejak lebih 30 tahun berkecimpung dalam arena seni. Saya akur dengan ketentuan ini," ujar Ebby Yus seperti dipetik Berita Harian pada 19 Disember 2021.
Menceritakan lanjut mengenai insiden itu, Ebby berkata, dia bersama pembantu peribadi pergi melihat kerja-kerja akhir pembinaan rumah dua tingkat itu termasuk proses memasang kertas hiasan dinding, pada tengah hari itu.
Ebby dari Batu Kikir, Negeri Sembilan ini berkata, kerja pembinaan rumah itu dilakukan sedikit demi sedikit dan kerap terhenti kerana dia tidak sihat selain sekatan akibat penularan pandemik COVID-19.
"Setiap kali dapat bayaran berlakon, saya peruntukkan untuk rumah itu. Kali terakhir selepas dapat bayaran daripada penerbit sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK), saya lunaskan baki bayaran projek pembinaan rumah itu," jelasnya. - KitaReporters