Insan & Komuniti 10 Jun, 2020

Bekas pesakit tibi: Fikri asing diri elak jangkiti yang lain

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

DISEBABKAN tidak mahu orang lain dijangkiti penyakit tibi yang pernah dihidapinya beberapa tahun lalu seorang lelaki sanggup membina pondok kediamannya jauh daripada orang ramai. Bukan untuk menyisihkan diri daripada umum sebaliknya semata-mata mahu mengelakkan kemungkinan orang lain terkena jangkitan. : KitaReporters

Pondok kediaman Fikri Abu Bakar bersama isteri dan anaknya di Kampung Seperi Tengah, Jelebu, Negeri Sembilan yang terletak agak terpencil dan jauh daripada rumah penduduk lain. Pondok yang dibina sendiri dengan dindingnya daripada papan dan zink, manakala bumbung menggunakan plastik banner terpakai. - Kredit foto-foto: Abu Aaesya.


Bagi Fikri Abu Bakar, 51, lebih reda dan sanggup mengambil keputusan untuk tinggal jauh daripada umum disebabkan dirinya pernah dijangkiti penyakit tuberkulosis tersebut sebelum ini bertujuan bagi memastikan ia tidak menular kepada orang lain dan menyusahkan masyarakat sekitaran.

Beliau yang membina pondok kediaman dengan kedudukan agak terpencil daripada masyarakat setempat di atas tanah pusaka dan tinggal bersama isteri dan seorang anaknya sejak lebih setahun lalu.

Pondok berkenaan yang terletak di Kampung Seperi Tengah, Jelebu di Negeri Sembilan dengan kedudukan kira-kira lima kilometer daripada jalan utama Kuala Klawang-Titi.

Fikri, yang berkebolehan dalam kerja-kerja pembinaan dan pendawaian, mengambil upah melakukan pembersihan dan bercucuk tanam bagi menampung kehidupan hariannya sekeluarga.

"Penyakit tini yang saya hidapi kini sudah beransur pulih tetapi masih perlu menjalani pemeriksaan berkala di hospital berdekatan," katanya kepada para pegawai Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan (PBMaINS), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang menyantuni beliau tiga beranak melalui satu program ziarah.

Fikri Abu Bakar (tiga dari kanan) menerangkan kepada empat orang pegawai PBNaINS MAINS kedudukan jarak pondok kediaman beliau dengan jalan utama Kuala Klawang-Titi sejauh lima kilometer.


Sekalipun kedudukan pondok kediaman beliau agak terpencil dan jauh daripada rumah penduduk lain, para pegawai PBMaINS MAISNS yang terlibat sanggup mengorbankan cuti Aidilfitri baru-baru ini berkunjung ke situ menyampaikan bantuan barangan keperluan asas dan wang tunai.

Malahan dalam konteks ini PBMaINS MAINS akan menyalurkan bantuan susulan termasuk mesin pemotong rumput dan pam racun bagi membolehkan beliau melakukan kerja-kerja harian serta mengambil upah.

Hasil semakan rekod PBMaINS MAINS, Fikri sebelum ini pernah menerima bantuan tunggakan sewaan rumah pada tahun 2018.

Salah seorang pegawai PBMaINS MAINS menyampaikan bantuan barangan keperluan asas kepada Fikri Abu Bakar (tengah) di pondok kediaman beliau di Kampung Seperi Tengah, Jelebu.


Para pegawai PBMaINS MAINS yang terlibat pada program ziarah termasuklah Ketua Wilayah Timur, Mohd Shahrizad Abu Kasim; Ketua Unit Khidmat Kebajikan, Mohd Zahid Mohammad; Pegawai Agihan Kawasan Jelebu, Amir Syukri Abdul Jalil; Pegawai Kutipan Kawasan Jelebu, Mohd Eddy Erman Razali; para pegawai Skuad Belo Asnaf, Bahagian Kaunseling serta Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Seperi, Ishak Omar.

Sebelum ini, Fikri memberitahu, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada datang menziarah beliau dan menyumbangkan bantuan bulanan RM200 sebulan yang diterimanya sejak lapan bulan lalu.

Katanya, Ahli Parlimen Jelebu yang juga Pengerusi UDA Holdings, Dato' Jalaluddin Alias telah menziarahi tempat tinggalnya dan bersetuju membantu mendirikan sebuah rumah untuk beliau bersama isteri dan anak berteduh melalui peruntukan Parlimen Jelebu yang dimulakan dalam masa terdekat. - KitaReporters 

Ahli Parlimen Jelebu, Jalaluddin Alias (dua dari kiri) menyatakan sesuatu mengenai bantuan sumbangan peruntukan Parlimen Jelebu untuk membina rumah kediaman Fikri Abu Bakar di tanah pusaka milik beliau. - Kredit foto: UMNO Online.


Ketua Wilayah Timur PBMaINS MAINS, Mohd Shahrizad Abu Kasim (kiri) menyampaikan bantuan wang kepada Fikri Abu Bakar pada para program ziarah perbadanan itu baru-baru ini. 


Perbincangan serius antara Fikri Abu Bakar (kanan) dengan salah seorang  pegawai PBMaINS MAINS di bawah khemah mengenai usaha membantu ke arah memperbaiki kehidupan beliau dan keluarga. 


Pada akhir kunjungan program ziarah doa dibaca supaya pertemuan tersebut dikurniakan barakah dan diharapkan kehidupan Fikri berubah bertambah baik.

1
0
2
0
0
You will be interested