Insan & Komuniti 18 Oct, 2024

Mati sudah tarikan pelancongan Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah! 3 ikan arapaima gergasi jadi ikon!

@amran mulup
Bekas wartawan Utusan Malaysia yang kini bermastautin di Melaka. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

Seorang anggota DOF tekun menunggu dalam usaha menangkap ikan arapaima gergasi di sebuah takungan air bawah bangunan inap desa di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah, Melaka  


Penduduk di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah terkejut dan kecewa apabila dimaklumkan, tiga ikan arapaima gergasi (arapaima gigas) yang menjadi ikon dan tarikan pelancongan di kampung berkenaan disahkan mati selepas dipindahkan ke Zoo Negara oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

Keputusan telah dibuat untuk menangkap dan memindahkan ketiga-tiga ikan spesies invasif (penceroboh) yang dibela sejak lebih 20 tahun lalu itu ke Zoo Negara demi keselamatan penduduk serta orang luar.

Namun, lima anggota DOF cedera dilibas oleh ikan arapaima gergasi itu ketika operasi menangkap di kawasan takungan air bawah bangunan inap desa terbiar di kampung berkenaaan pada 11 Oktober 2024 lalu.


Tiga anggota DOF cuba menangkap ikan arapaima untuk dipindahkan ke Zoo Negara.


Operasi lebih tujuh jam yang bermula pukul 9 pagi itu dan dilaksanakan oleh DOF Melaka dengan kerjasama DOF Selangor menyebabkan lima anggota berusia antara 35 hingga 59 tahun cedera dilibas ikan tersebut.

Kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Alor Gajah serta mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

Dua anggota masing-masing dikatakan mengalami sesak nafas dan bengkak pada lutut akibat terkena libasan kepala ikan arapaima, manakala tiga lagi cedera ringan pada lutut dan dada.


Ikan arapaima gergasi yang Berjaya ditangkap anggota DOF untuk dipindahkan ke Zoo Negara.


Ramai terkejut dan tidak menyangka tiga ekor ikan gergasi seberat 200 kilogram (kg) mendiami takungan air bersebelahan dewan perkahwinan Astana Puteh itu boleh bertindak ganas.

Bagaimanapun ketiga-tiga ikan itu disahkan mati selepas dipindahkan ke Zoo Negara dipercayai akibat factor usia.

Kira-kira 2,000 penduduk di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah terkejut dan kecewa apabila mendapat tahu tiga ekor ikan arapaima gergasi berkenaan disahkan mati selepas dipindahkan ke Zoo Negara.

Tiga ekor arapaima itu sebenarnya cukup sebati dengan penduduk kampung berkenaan sejak 20 tahun lalu kerana menjadi tumpuan setiap petang orang ramai memberi makan.


Anggota DOF bertungkus-lumus cuba menangkap tiga ekor ikan arapaiman gergasi yang berat mencecah 200 kg setiap seekor. 


Sidang Kampung Seri Tanjung, Zuhairi Abidin, 59, berkata, setiap petang penduduk kampung terutama anak-anak akan berkunjung memberi makan ikan berkenaan yang ditempatkan di sebuah kolam takungan di bawah bangunan Inap Desa yang terbiar.

Menurutnya, memberi makan kepada spesies itu sebenarnya menjadi aktiviti riadah hampir setiap petang buat penduduk yang seronok melihat kelibat ikan gergasi itu.

Beliau berkata, apabila majlis kahwin diadakan di dewan di Astana Puteh, para jemputan juga tidak melepaskan peluang untuk melihat dari dekat ikan yang hanya akan dapat dilihat di setiap zoo.

"Saya sendiri kecewa ikan itu dilaporkan mati. Hilang sudah seri kampung ini tanpa arapaima. 

"Tidak ada lagi orang akan berkunjung ke sini pada cuti hujung minggu semata-mana ingin melihat kelibat ikan ini.

"Saya akui pemilik ikan itu tidak meningkatkan tahap keselamatan kerana ada pagar keselamatan yang rosak dan ini membahayakan kepada kanak-kanak walaupun belum ada kejadian ikan ini mengigit penduduk kampung," katanya lagi.


Ramli Abdul Rashid menunjukkan takungan air yang didiami tiga ekor ikan arapaima seberat 200 kg di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah, Melaka. 


Sebelum itu, akhbar melaporkan lima anggota Jabatan Perikanan Malaysia cedera dilibas ikan arapaima gergasi ketika operasi tangkapan spesies invasif itu di tempat takungan air bawah bangunan terbiar di Masjid Tanah, Melaka, pada 11 Oktober 2024.

Sementara itu, seorang penduduk Ramli Abdul Rashid, 67, berkata, dia amat terkejut apabila diberitahu tiga ekor ikan arapaima yang menjadi tarikan di kampung berkenaan sudah mati.

"Ikan inisebenarnya menjadi ikon dan tarikan orang ramai datang ke Kampung Seri Tanjung. 

"Rata-rata penduduk amat kecewa dengan tindakan Jabatan Perikanan Melaka memindahkan ikan ini ke zoo negara.

"Ikan ini dibela sejak lebih 20 tahun lalu oleh pemilik inap desa dan dewan perkahwinan Astana Puteh. Saban hari anak-anak menjadikan aktiviti riadah memberi makan kepada ikan ini," katanya lagi.

Ujarnya, tidak sepatutnya pihak terbabit memindahkan ikan tersebut kerana faktor tarikan pelancong ke kampung berkenaan sudah tidak ada lagi. - KitaReporters

 

9
15
0
5
0
You will be interested