Insan & Komuniti 19 Nov, 2024

Terima kasih PEKEMA! Sumbang lebih RM40k! Sediakan kereta EV sebagai kenderaan rasmi bagi Mesra Homes!

@yati yazid
Pernah bertugas sebagai wartawan di Utusan Malaysia. Masih mewarnai dunia penulisan sehingga kini.

Share this


MELANGKAH masuk ke Pusat Jagaan Sri Mesra kami disambut dengan senyuman hampir 20 penghuni kediaman ini, walaupun ada yang berkerusi roda dan ada yang terbaring di atas katil namun senyuman mereka tidak luput di bibir kerana teruja menyambut kehadiran tetamu.

Kehadiran kami disambut pengasasnya, Faezah Ali dan suaminya, Razali Mohamad yang sibuk menguruskan penghuni yang kesemuanya terdiri wanita warga emas yang menjadi penghuni di kediaman berkenaan yang terletak di Taman Watan, Ampang yang dikenali Mesra Homes.

Kunjungan PEKEMA disambut meriah oleh penghuni Pusat Jagaan Sri Mesra atau dikenali Mesra Homes.

Penulis antara 10 media yang menyertai rombongan Yayasan PEKEMA (Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia) bersama anak anak syarikatnya, Central Auto Distributors Berhad (CADB), Sukarelawan Kelab Rekreasi & Sukan PEKEMA (KRESMA), serta Jabatan Komunikasi Korporat PEKEMA untuk menyantuni warga emas melalui aktiviti gotong-royong di pusat jagaan berkenaan.

Lawatan berkenaan diadakan sempena PEKEMA melancarkan Program Charity Box Yayasan PEKEMA, salah satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta menyampaikan sumbangan kepada penghuni rumah jagaan berkenaan.

Dalam kunjungan berkenaan, CADB, anak syarikat PEKEMA turut berbesar hati menyediakan kenderaan elektrik (EV) Dongfeng Box sebagai kenderaan rasmi sepanjang program berlangsung.


Sheikh Mohamed Zulkifli SM Amin menyampaikan cenderahati dalam bentuk “Gift Box” kepada penghuni sebagai simbolik pelancaran.


Sheikh Mohamed Zulkifli meluang masa bertanya khabar dengan salah seorang penghuni di Mesra Homes.

Pengarah Operasinya, Datuk Sheikh Mohamed (SM) Zulkifli SM Amin, yang turut serta menyantuni penghuni di Mesra Homes mengakui teruja kerana berkesempatan untuk bersama-sama pada program berkenaan.

“Kami melihat ini sebagai peluang yang sangat bermakna dan usaha murni menyantuni golongan warga emas yang telah banyak berjasa kepada masyarakat.

“Kami percaya dengan menyumbang kenderaan elektrik Dongfeng BOX sebagai kenderaan rasmi, kami dapat memberikan sokongan, sekali gus memastikan perjalanan program ini berjalan lancar dan selesa.

Sheikh Mohamed Zulkifli ketika menyampaikan sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra di Ampang, Taman Watan, Ampang, pada 16 November 2024 lalu.


“Ini juga adalah cara kami menyumbang kepada komuniti khususnya mereka yang memerlukan perhatian dan kasih sayang dan ini sangat bertepatan dengan salah satu tema utama kenderaan ini yang membawa mesej kasih sayang "Box of Love’,” katanya yang menghabiskan masa hampir empat jam di pusat jagaan berkenaan. 

Dalam kunjungan berkenaan, PEKEMA juga berbesar hati menyampaikan sumbangan sebanyak RM40,900 kepada Mesra Homes dan daripada jumlah tersebut, RM20,000 disalurkan untuk tujuan menambah baik premis rumah jagaan dan sebahagian daripada sumbangan juga diberikan kepada 19 warga emas dan lima petugas di pusat jagaan berkenaan.  

Menariknya, pada hari penuh indah itu, semua penghuni diberikan cenderahati dalam bentuk ‘Gift Box’ sebagai  simbolik pelancaran sumbangan. 



Sumbangan sebanyak RM20,000 diberikan untuk menambah baik premis mesra Homes di bawah jagaan Faezah Ali.

Sheikh Mohamed Zulkifli menyampaikan sumbangan kepada Pengasas Mesra Home, Faezah Ali.


Sementara itu, Faezah pula melahirkan rasa syukur dengan kunjungan berkenaan yang  disifatkan sebagai kunjungan penuh rahmat kerana menyampaikan sumbangan yang paling bermakna kepadanya. 

Wanita cekal yang juga merupakan bekas jururawat di sebuah hospital swasta mengakui tugas menjaga dan mengurus warga emas bukan tugas mudah, namun hatinya tenang apabila bersama dengan warga emas yang dianggap sebagai ahli keluarga.

“Setiap hari menjadi rutin kepadanya untuk bertanya khbar sambil makan bersama dengan penghuni pusat berkenaan," ujarnya yang dibantu oleh lima petugas.


Faezah berkongsi rasa dengan tetamu yang terdiri kakitangan PEKEMA sempena Pelancaran Program Charity Box Yayasan PEKEMA.

Namun ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui restu suaminya menjadi pendorong utama untuk meneruskan tugas menjadi penjaga nenek dan berikrar utuk meneruskan tugasnya sehingga ke penghabisan nyawanya.

Meskipun jadualnya penuh dengan tugas menguruskan 19 warga emas yang dianggap nenek sendiri di Mesra Homes, namun tidak menghalang untuk berkongsi rasa dengan penghasilan buku.

“Saya dulu bercita-cita nak jadi wartawan namun rezeki saya ke arah ini, jadi dengan masa yang ada saya gunakan untuk luah perasaan melalui cara ini dan akhirnya menjadi buku,” ujarnya yang sedang menyiapkan buku yang keempat.

Tahniah Faezah semoga Allah merahmati usahamu, semoga penat lelahmu di hari ini menjadi asbab untuk menjadi penghuni syurga. Amin. - KitaReporters 


Sebahagian kakitangan PEKEMA bersama aktor kacak, Putra Amaris yang hadir sama dalam  pelancaran Program Charity BOX Yayasan PEKEMA di Mesra Homes.

13
13
0
12
0
You will be interested