Insan & Komuniti 28 Feb, 2023

Kerana terlalu sibuk! Ibu hilang hak penjagaan anak perempuan sendiri! Kini diserahkan kepada nenek!

@yati yazid
Pernah bertugas sebagai wartawan di Utusan Malaysia. Masih mewarnai dunia penulisan sehingga kini.

Share this


HUBUNGAN ibu dan anak perempuan lazimnya seperti kawan baik, apa sahaja pasti akan dikongsi bersama.

Namun berbeza di bandar Manama, Bahrain apabila seorang ibu muda hilang hak penjagaan terhadap anak kandungnya sendiri selepas mahkamah memutuskan wanita berkenaan terlalu sibuk.

Situasi berkenaan menyebabkan dia tiada masa menjaga dan menguruskan keperluan emosi dan fizikal anak perempuannya sendiri.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan cerita-cerita perundangan


Memetik newsofbahrain.com pada 17 Februari 2023 lalu, anak perempuan tersebut juga menolak untuk kembali tinggal bersama ibu kandungnya sepanjang perbicaraan dan menunjukkan keinginan tinggal bersama neneknya.

Mahkamah Syariah Bahrain turut mengambil kira penyelidikan sosiologi dan mengesahkan wanita berkenaan sering bekerja di luar dan meletakkan penjagaan anak kepada pekerja sepanjang tiada di rumah.

Malah, hasil kajian mendapati kanak-kanak perempuan berkenaan berdepan tekanan emosi sejak kecil berikutan kekurangan kasih sayang daripada ibu kandung.



Keputusan berkenaan dibuat selepas difailkan oleh nenek kanak-kanak tersebut.

Peguam Fatima Mejairan, yang mewakili nenek mendakwa menantunya culas dengan tanggungjawab sebagai ibu selepas bercerai dengan anaknya dan berkahwin baharu.

Malah sering meninggalkan cucunya bersendirian bersama pembantu rumah dan pemandu peribadi berikutan sering bekerja di luar negara.



Terdahulu, mahkamah menjelaskan 'Penjagaan' ditakrifkan dalam Perkara 123 Kod Keluarga sebagai 'keupayaan untuk membesarkan dan menjaga anak tanpa prejudis'.

Undang-undang juga menetapkan penjaga adalah seorang dewasa Islam yang rasional dan boleh dipercayai, sekiranya keperluan tersebut tidak dipenuhi, hak penjagaan akan hilang.

Dalam pada itu, mahkamah  berjaya membuktikan berlaku peningkatan dalam bidang akademik sepanjang berada dalam jagaan keluarga bapanya.

Dalam hujahan Fatima menegaskan, pada usia tersebut, kanak-kanak itu memerlukan penjagaan, kasih sayang, dan sokongan keluarga. 

Mahkamah kemudian  membenarkan rayuan nenek untuk menjaga dan mendapat hak penjagaan kekal terhadap cucunya.

Semoga kanak-kanak perempuan itu hidup dengan bahagia bersama nenek dan keluarga bapanya.

Namun jangan lupa terus melupakan ibu, walaupun apa pun keadaan, ibu tetaplah ibu, tanpa wanita keramat itu tiadalah kita di dunia hari ini. - KitaReporters



18
15
0
15
0
You will be interested