Insan & Komuniti 28 Dec, 2023

Daurah Anak Soleh Kaffah Kids dapat sambutan! Didik si kecil faham al-Quran, hafal hadis, baca doa!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Peserta Daurah Anak Soleh membuat persembahan berkisar mengenai perjuangan rakyat Palestin.


RASULULLAH SAW bersabda, maksudnya: ”Anak itu seperti kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan menjadi Nasrani, Yahudi atau Majusi. ” - HR Bukhari dan Muslim. Pada usia setahun jagung inilah mereka mudah menerima segala maklumat dan pembelajaran melalui pemerhatian dan tingkah laku ibu bapa  

Justeru, usaha Kaffah Kids menganjurkan Program Daurah Anak Soleh dengan kerjasama Surau An-Namira, Bukit Rimau, Shah Alam, Selangor amat bertepatan bagi mengilap jati diri anak-anak agar membesar menjadi manusia berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Sebahagian dari 48 peserta Daurah Anak Soleh bergambar kenangan bersama ibu bapa, AJK Surau An-Namira dan tenaga pengajar Kaffah Kids. 


Pengerusi Surau An-Namira, Salehuddin Ahmad, berkata kerjasama ini diharap dapat memberi manfaat kepada anak-anak dan ibu bapa bagi menambah ilmu pengetahuan, lebih cemerlang dalam pendidikan agama, fardu ain dan fardu kifayah selain menghormati orang yang lebih dewasa.

Beliau berkata, modul yang digunakan Kaffah Kids memang sesuai dengan tahap pemikiran kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun kerana dalam usia yang muda, mereka sukakan sesuatu pembelajaran yang mudah, tidak terlalu berat dan menghiburkan.

"Saya juga difahamkan tenaga pengajar yang terbabit dalam Program Daurah Anak Soleh ini adalah guru yang bertauliah dalam bidang masing-masing.  

"Tidak hairanlah, program selama lima hari berjalan dengan lancar, tersusun dan mendapat maklum balas baik daripada ibu bapa, alhamdulillah!" katanya yang merasmikan program itu di Surau An-Namira, Shah Alam, Selangor. Turut hadir, Pengarah Program Daurah Anak Soleh, Nur Auni Arina Mohd Amir atau mesra dengan panggilan Teacher Auni. 


Nur Auni Arina Mohd Amir (kiri) menyerahkan cenderahati dan sijil kepada Salehuddin Ahmad (kanan) sambil diperhatikan oleh Setiausaha Surau An-Namira, Tahir Mohd Noh.


Sementara itu, Teacher Auni berterima kasih kepada Surau An-Namira kerana memberi kepercayaan kepada pihaknya mengadakan program itu selain memberi subsidi kepada peserta bagi membolehkan ibu bapa hanya membayar separuh daripada harga asal pakej.  

Beliau berkata, pada awalnya, Kaffah Kids dan Surau An-Namira mahu mengehadkan 30 penyertaan sahaja tapi akhirnya jumlah keseluruhan 48 peserta berikutan sambutan baik ibu bapa di sekitar Shah Alam dan Klang, Selangor.

Beliau berkata, sambutan baik itu berikutan cuti persekolahan selama dua minggu sehingga awal tahun depan, jadi tidak hairanlah ada ibu bapa di luar Shah Alam turut menghantar anak-anak mereka mengambil bahagian dalam program itu.  


Peserta Daurah Anak Soleh menaiki bas untuk lawatan sambil belajar ke Eco Community, Bukit Jelutong, Selangor.


"Kami pernah mengadakan program seumpama ini di Surau An-Namira pada Ogos lalu, juga sempena cuti persekolahan. Berikutan sambutan baik dan maklum balas positif ibu bapa, pihak surau mahu kerjasama dengan Kaffah Kids diteruskan bagi mengadakan aktiviti itu lagi.

"Alhamdulillah, hasil daripada program siri 1, Ogos lalu Kaffah Kids berazam untuk memastikan program ini terus menjadi platform terbaik melahirkan generasi kanak-kanak berakhlak mulia, faham ilmu fardu ain, cakna isu Palestin dan menghafal surah menggunakan modul Bright Huffaz," katanya. 

Modul Bright Huffaz diketengahkan oleh Kaffah Kids bagi membantu kanak-kanak seawal usia empat tahun memahami al-Quran dengan berkonsepkan bercerita atau "storytelling". 

"Malah, modul ini sudah terbukti membantu anak-anak untuk menghafal surah, hadis dan doa dengan cara yang sangat mudah, cepat dan menyeronokkan apatah lagi kami menggunakan gaya bahasa tubuh," kata Teacher Auni lagi.


Salah satu kumpulan peserta mengadakan persembahan untuk menghiburkan ibu bapa yang hadir di hari terakhir program.


Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program lima hari itu, antaranya memanah, memasak, program Be creative, lawatan ke Bukit Jelutong Eco Community Park, jadi saintis, mengaji, solat berjemaah dan tahsin bacaan dalam solat.

"Peserta diberi masa 30 minit sepanjang program untuk berlatih sesama mereka bagi mengadakan persembahan pada majlis penutupan pad hari terakhir. Ini kami lakukan bagi mengasah bakat mereka dalam lakonan, nyanyian dan kepimpinan. 

"Dan, hasilnya kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun itu dapat membuat persembahan dengan baik dan mendapat tepukan gemuruh ibu bapa yang hadir. 

“Alhamdullilah, program Daurah Anak Soleh ini mendapat maklum balas positif ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka dan selepas tamat program, ramai ibu bapa meminta untuk diadakan program secara bermalam pada masa akan datang,” katanya. - KitaReporters


Aktiviti explorace menguji daya kepimpinan dan kreativiti pelajar.

26
13
0
15
0
You will be interested