Insan & Komuniti 12 Sep, 2023

Terima kasih Ahli Kelas Al-Quran Masjid Punggor Darat! Santuni warga emas tersisih di Pusat Mahmudah!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Ahli kelas al-Quran bertanya khabar dan beramah mesra dengan warga emas di PJMM.


WARGA emas yang menghuni di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor dinasihatkan untuk terus mengharungi kelangsungan hidup dengan tabah serta sabar walaupun diselubungi kesedihan kerana disisih oleh ahli keluarga atau hidup sebatang kara tanpa waris.

Kisah silam seharusnya dijadikan teladan berguna dan menggunakan kesempatan yang masih ada itu untuk berbuat kebaikan dan amal ibadat supaya terampun segala dosa diri serta mereka yang mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang anak atau isteri mahu pun suami.


Nuriah Anuar (dua dari kanan) bersama ahli jawatankuasa melakukan gimik penyerahan barangan keperluan asas kepada Azman Rasman sambil diperhatikan oeh Muhammad Shafiq Mohiadin.


Pengerusi Kelas Al-Quran Masjid Punggor Darat, Rengit, Batu Pahat, Johor, Nuriah Anuar, berkata dia bersama-sama 40 ahli yang melawat PJMM berasa amat terharu dan sebak apabila Pengerusi PJMM, Azman Rasman menceritakan pelbagai kisah silam warga emas terbabit.

Menurutnya, dalam ucapan ringkas Azman yang menyambut kedatangan kami itu memang menyentuh perasaan ahli semua yang rata-rata sudah berusia seperti warga emas yang berlindung di PJMM.

Tambahnya, antara kami ada mempersoal sikap sesetengah ahli keluarga khususnya anak-anak yang sanggup mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga ibu atau bapa selepas membesarkan mereka dan berjaya dalam kehidupan.

“Alasan seperti mengatakan sukar atau membebankan mereka untuk menguruskan ibu atau bapa yang uzur tidak boleh diterima kerana perkara ini boleh dilakukan dengan cara terbaik dengan duduk berbincang bersama-sama ahli keluarga lain.

“Paling menyedihkan apabila mengambil sikap lepas tangan tanpa bertanya khabar langsung selepas ibu atau bapa mereka dihantar oleh pihak hospital serta pihak berkenaan ke pusat jagaan apabila discas selepas menerima rawatan,” katanya ketika berucap pada majlis lawatan ke PJMM bersama-sama ahli pada 7 September 2023.


40 ahli Kelas Al-Quran Masjid Punggor Darat, Rengit, Batu Pahat, Johor bersama-sama barangan keperluan asas yang disumbangkan untuk Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor pada 7 Ogos 2023.


Selain Azman menyambut kedatangan mereka turut Setiausaha PJMM, Muhammad Shafiq Mohiadin. Dalam kunjungan itu ahli kelas berkenaan menghulurkan sumbangan termasuk pelbagai makanan dan keperluan asas.  

Nuriah berkata, kunjungan ke PJMM itu merupakan aktiviti pertama kelas berkenaan melawati pusat jagaan bagi menyelami nasib mereka yang ditimpa musibah dan memerlukan sokongan serta pembelaan daripada mereka berkenaan untuk meneruskan kehidupan.

Menurutnya, kunjungan itu juga diharapkan membuka minda ahli untuk melihat secara dekat kegigihan pengurusan PJMM serta sukarelawan mereka menyantuni warga emas dengan penuh kasih sayang dan sabar walaupun tidak mempunyai kaitan persaudaraan.

“Kami menguar-uarkan kewujudan PJMM ini kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar Batu Pahat untuk turut sama menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan pengurusan PJMM,” ujarnya.


Nuriah menyempurnakan hajat ahli kelas al-Quran menghulurkan sumbangan kewangan kepada PJMM yang diterima Azman.


Manakala seorang ahli jawatankuasa kelas berkenaan yang ditemui, Siti Salmiah Abdul Hamid, berkata mereka merancang untuk mengusulkan cadangan menjadikan PJMM sebagai keluarga angkat supaya dapat terus mengikuti perkembangan serta menghulurkan bantuan.

“Selain itu kami akan berusaha bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk sama-sama terus membantu PJMM di samping pelbagai rumah kebajikan atau pusat jagaan anak yatim serta tahfiz,” katanya.


Azman memberi penerangan keadaan warga emas yang terlantar di atas katil kerana keuzuran yang mengundangkan rasa sebak dalam kalangan ahli kelas al-Quran berkenaan.


Sementara itu, Azman berkata, PJMM tidak dapat menerima jumlah warga emas melebihi 50 orang berikutan kekangan mencari dana untuk menampung kos operasi seperti bayaran bil utility, kos rawatan dan pengangkutan ke hospital atau pusat kesihatan, perbelanjaan bagi barangan basah serta kering dan sebagainya. 

Sehubungan itu, katanya, PJMM sentiasa mengalu-alukan pelbagai pihak seperti korporat, agensi kerajaan serta NGO untuk mengadakan aktiviti amal kebajikan di situ di samping menghulurkan sumbangan barangan keperluan makanan asas dan kewangan.

Mereka yang ingin membantu termasuk untuk mengeluarkan zakat boleh menghubungi nombor telefon Azman Rasman 019-977 7419 dan Sazali Mohiden (019-368 8142) sementara sumbangan wang boleh disalur ke Akaun CIMB Islamic  bernombor 8603160021 (Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia) atau ke Akaun Maybank Islamic bernombor 562384521053 (Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia). - KitaReporters


Ahli kelas al-Quran mendengar taklimat Azman mengenai sejarah penubuhan PJMM.

25
14
0
7
0
You will be interested