Saya membesar di Kuala Rompin, Pahang, dalam persekitaran yang tidak asing dengan komuniti Orang Asli etnik Jakun.
Dari bangku sekolah rendah sehingga menengah, saya bergaul dengan mereka, bermain di padang, berkongsi buku di kelas, dan kadangkala menjejak kaki ke rumah mereka yang sederhana, penuh dengan nilai gotong-royong dan kehidupan berteraskan alam.

Sejak awal, persahabatan saya dengan Orang Asli Jakun membentuk pandangan bahawa persaudaraan tidak mengenal garis darah atau status, sebaliknya terbina atas dasar kepercayaan dan kebersamaan.
Beberapa dekad kemudian, takdir membawa saya jauh ke Aotearoa, bumi New Zealand.
Di Universiti Waikato, saya bertemu pula dengan mahasiswa Maori. Hubungan yang terjalin bukan sekadar rakan sekampus; mereka menganggap saya sebagai brother (saudara).
Kata itu, bagi mereka, bukan kiasan kosong, tetapi pengiktirafan terhadap persahabatan yang merentas bangsa dan benua.
Maka bermulalah satu kesinambungan peribadi dari persahabatan dengan Jakun di tanah air hingga persaudaraan dengan Maori di tanah asing.

Persamaan dan Perbezaan Jakun dan Māori
Orang Asli Jakun dan kaum Māori memiliki persamaan yang ketara. Kedua-duanya merupakan bangsa pribumi dengan akar sejarah yang mendalam, budaya yang berakar pada alam semesta, serta kepercayaan tradisi yang sering disalah erti oleh masyarakat luar.
Mereka membina kehidupan berpaksikan tanah, hutan, sungai, dan laut; alam bukan sekadar sumber, tetapi nadi identiti.
Namun, perbezaannya juga ketara. Maori, hasil perjuangan panjang mereka, telah berjaya menempatkan bahasa, budaya, dan kuasa politik mereka dalam kerangka negara moden New Zealand.
Bahasa Māori kini diajar di sekolah, digunakan dalam media, bahkan diiktiraf sebagai salah satu bahasa rasmi negara.
Sebaliknya, Orang Asli Jakun di Malaysia masih bergelut untuk mendapatkan
pengiktirafan dan perlindungan menyeluruh, khususnya dari segi pendidikan,
ekonomi, dan hak tanah.
Perbezaan ini tidak semata-mata kerana usaha mereka kurang, tetapi kerana dasar dan sejarah kolonial yang berbeza.
New Zealand melalui proses perjanjian Waitangi, manakala Malaysia berhadapan dengan undang-undang Orang Asli yang berusia lebih 70 tahun, yang kini diakui perlu diperbaharui agar lebih adil.
Kemajuan Pendidikan dan Teknologi
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkongsi inspirasi selepas melawat komuniti Maori di Rotorua, New Zealand.
Beliau menegaskan bahawa sudah terdapat perkembangan positif dalam kalangan masyarakat Orang Asli Malaysia: Lebih 20 Orang Asli berjaya meraih PhD, lima menjadi profesor, malah ramai bergelar jurutera dan akauntan.
Ini suatu pencapaian yang tidak terbayangkan pada masa kecil saya dahulu, ketika rakan-rakan Jakun saya masih berlari tanpa kasut di padang sekolah, atau terpaksa ponteng kerana keluarga memerlukan bantuan di kebun.
Kerajaan juga menyediakan sokongan praktikal: Pengangkutan khas, elaun harian RM4, malah peluang menyertai ekosistem akademik, teknikal, dan keusahawanan.
Antara 2021 hingga 2024, seramai 2,913 belia Orang Asli dilantik sebagai community ranger di bawah Jabatan Perhutanan Semenanjung.
Sejak 2023 pula, 37 belia ditempatkan di agensi seperti HRD Corp dan UOA
Akademi. Ada juga lima belia Orang Asli yang berjaya menjadi krew kabin
syarikat penerbangan Malaysia Aviation Group, suatu transformasi yang luar
biasa.
Dalam bidang keusahawanan, 243 usahawan Orang Asli menyertai karnival keusahawanan dengan jumlah jualan hampir RM839,000.
MARA turut menyediakan latihan e-dagang, membolehkan mereka menembusi pasaran digital. Jika dahulu mereka hanya menjual hasil hutan di pasar pekan kecil, kini mereka mampu menembusi ruang global melalui teknologi.
Namun, di sinilah letaknya ironi yang menusuk hati. Walaupun pendidikan dan teknologi membuka ruang mobiliti sosial, cabaran sebenar ialah memastikan nilai budaya dan identiti tidak terhakis.
Maori di New Zealand berjaya memelihara identiti mereka dalam arus kemajuan, tetapi Orang asli di Malaysia masih perlu memperjuang hak tanah, bahasa, dan adat mereka agar tidak lenyap ditelan arus modenisasi.
Persahabatan yang Terus Kekal
Bagi saya, persahabatan dengan Orang Asli baik Jakun di Rompin mahupun Maori di Waikato bukanlah episod sementara. Ia berkembang menjadi sebahagian daripada identiti peribadi saya.
Saya masih diundang untuk menyumbang pandangan dalam bidang kajian Polinesia, khususnya tentang kaitan sejarah dan bahasa antara Maori dan Melayu.
Undangan untuk membuat PhD dalam bidang ini suatu penghormatan besar, tanda bahawa persahabatan boleh berkembang menjadi jalinan akademik dan warisan ilmu.
Di Rompin, saya melihat saudara-mara berketurunan Cina yang berkahwin dengan Orang Asli Jakun, menandakan integrasi budaya yang semakin rapat.
Namun, setakat ini saya belum mendengar ada orang Melayu berkahwin dengan Maori. Mungkin kerana jarak geografi, mungkin kerana perbezaan budaya.
Namun, siapa tahu masa depan bakal membuka pintu kepada hubungan yang lebih erat?
Refleksi Peribadi
Apabila saya menatap perjalanan hidup ini, saya melihat bahawa kedua-dua komuniti, Jakun dan Maori sebenarnya cerminan antara satu sama lain. Jika Maori berjaya bangkit dengan sistem pendidikan dan politik yang lebih kukuh, maka Jakun juga mampu.
Apa yang diperlukan hanyalah dasar yang lebih adil, sokongan berterusan, dan keberanian untuk mempertahan identiti sambil melangkah ke hadapan.
Saya terkenang kembali kata-kata seorang rakan Maori di Waikato: “Brother, our roots are deep, but our branches must grow to the sky.”
Begitu jugalah dengan Orang Asli Jakun. Akar mereka dalam hutan Pahang sangat dalam, tetapi ranting dan cabang generasi muda mesti meluas ke langit ilmu dan teknologi.
Ahmad Zahid sendiri mengakui bahawa Akta Orang Asli 1954 yang sudah berusia 71 tahun perlu dipinda agar dapat memulihkan hak komuniti.
Statistik terkini menunjukkan 418 anak Orang Asli berjaya memasuki universiti pada tahun 2023, melepasi sasaran 400 orang.
Pada 2024 pula, sasaran 450 berjaya diatasi dengan 456 pelajar diterima. Tahun ini, 150 daripada 500 sasaran sudah pun berada di universiti.
Angka-angka ini menjadi bukti bahawa pintu masa depan kini terbuka lebih luas.

Kesimpulan
Saya membesar dengan Jakun, saya belajar dengan Maori, dan kini saya melihat kedua-duanya melalui kaca mata persaudaraan sejagat.
Kedua-duanya memperlihat bahawa bangsa asal bukan sekadar “warisan”, tetapi pelopor yang mampu maju setanding dengan mana-mana bangsa jika diberikan peluang.
Pendidikan dan teknologi menjadi jambatan, tetapi persahabatanlah yang mengikat jiwa-jiwa kita.
Apabila saya mengenang kembali perjalanan hidup ini, saya bersyukur kerana dapat menyaksikan transformasi besar dalam hidup dua bangsa pribumi.
Jika dahulu sahabat saya di Rompin membawa rotan dari hutan, dan sahabat saya di Waikato mendayung perahu di sungai, kini anak-anak mereka memegang ijazah, bergelar profesor, jurutera, usahawan, dan pemimpin. Dunia berubah, tetapi akar budaya mesti terus dipelihara.
Saya percaya, sebagaimana Māori berjaya mengangkat bahasa dan budaya mereka ke peringkat nasional, Orang Asli Jakun dan seluruh komuniti pribumi Malaysia juga akan tiba masanya.
Selagi ada persahabatan, selagi ada kepercayaan, selagi ada keazaman, akar itu tidak akan tercabut, malah akan terus menumbuhkan cabang ke langit masa depan. - KitaReporters
