Insan & Komuniti 15 Dec, 2025

Video| Di Malaysia jawi! Di Indonesia Arab Melayu! Pelancong teruja banyak tulisan jawi di Malaysia!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Malaysia sememangnya dikenali sebagai antara negara di Nusantara yang masih mengekalkan penggunaan tulisan jawi secara terbuka, khususnya pada papan tanda jalan, bangunan kerajaan, masjid serta institusi berkaitan agama dan kebudayaan.



Tulisan berasaskan huruf Arab yang dibaca dalam bahasa Melayu itu bukan sahaja berfungsi sebagai penanda, malah menjadi simbol kesinambungan sejarah dan identiti bangsa Melayu.

Hal ini mencuri perhatian seorang pelancong dari Indonesia yang dikenali sebagai @san_eul. 

Dia memuat naik satu video dalam TikTok yang memaparkan papan tanda di Malaysia yang mempunyai tulisan jawi. 

Video itu dimuat naik dalam konteks perkongsian pengalaman melancong, namun tanpa disangka mencetuskan perbincangan panjang melibatkan netizen Malaysia dan Indonesia.



Dalam video berkenaan, suara pemilik akaun itu sendiri kedengaran memberi penjelasan ringkas mengenai pemerhatiannya terhadap tulisan tersebut.

“Di Malaysia itu masih banyak yang pakai tulisan Arab Melayu. Ini khususnya Arab tapi bukan bahasa Arab gitu. Tulisan Arab Melayu istilahnya,” katanya dalam video tersebut.



Kenyataan tersebut memperlihatkan kekagumannya terhadap keunikan papan tanda di Malaysia.

“Menarik ya! Di Malaysia banyak tulisan Arab Melayu. Tulisannya Arab, tapi pengucapannya Melayu gitu,” tulisnya dalam kapsyen.

Namun penggunaan istilah ‘Arab Melayu’ yang diperkatakannya itu kemudian menjadi titik mula perdebatan dalam ruangan komen. 

Seperti biasa, netizen Malaysia dan Indonesia sememangnya tidak boleh bertemu. Ada sahaja yang mahu dipertikai.



“Arab tu lain, ini jawi,” tegur salah seorang netizen.

Rata-rata netizen Malaysia menegaskan bahawa tulisan yang dimaksudkan secara rasmi di Malaysia dikenali sebagai tulisan jawi, bukannya ‘Arab Melayu’.

Komen tersebut menjadi pencetus kepada ratusan balasan lain, termasuk perbincangan tentang perbezaan istilah, sejarah tulisan serta latar pendidikan di kedua-dua negara.



Manakala seorang netizen lain pula meluahkan persoalan spontan yang mencerminkan rasa ingin tahu daripadanya. 

“Otak aku tiba-tiba terfikir kat Indonesia tiada tulisan jawi ke kat sekolah?” soalnya.

Soalan itu membuka ruang diskusi yang lebih luas, khususnya berkaitan sistem pendidikan dan sejauh mana tulisan tradisional Melayu masih diajar secara formal. 

Manakala dari sudut pandang netizen Indonesia, ada yang menjelaskan bahawa tulisan jawi tidak diajar secara meluas di sekolah arus perdana. 

“Di Indonesia tidak diajar tulisan Jawi. Tulisan Jawi hanya ada di Malaysia, Thailand dan Brunei,” ujarnya.



Namun kenyataan itu segera disanggah oleh seorang netizen.

“Kata siapa? Di Jawa juga ada namanya Pegon, diajar di pesantren (sekolah pondok) atau madrasah,” tegas netizen tersebut.

Isu penamaan tulisan terus menjadi topik hangat. Salah seorang netizen Indonesia menjelaskan penggunaan istilah tersebut di wilayah Riau dikenali sebagai ‘Arab Melayu’.  

“Di Indonesia itu namanya tulisan Arab Melayu tepatnya di daerah Riau masih digunakan tulisan seperti itu. Di Malaysia namanya itu tulisan Jawi. Abang itu (merujuk kepada pemilik video) menyebut istilah yang diguna pakai di Indonesia,” jelasnya. 



Di sebalik perdebatan emosi yang berlarutan ini, ada juga netizen yang cuba merumuskan isu secara lebih berfakta.

“Di Malaysia timeline tulisannya tulisan kawi (pengaruh Nusantara), tulisan jawi (pengaruh Arab/Islam) dan tulisan rumi (pengaruh kolonial/Rome),” terangnya.

Lucunya, niat asal pemilik video mahu berkongsi pengalamannya melancong ke negara orang, tetapi netizen pula sebaliknya. 

Perdebatan ini mungkin tidak berpenghujung, namun yang penting warisan ini terus dibicarakan, bukan dilupakan. - KitaReporters



5
6
0
15
0
You will be interested