Insan & Komuniti 20 Sep, 2025

Video| Utamakan pemulihan tempat tinggal! Pastikan barangan keperluan asas untuk mangsa banjir! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agensi  Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang mengurus serta mengendalikan bantuan akibat bencana banjir di Sabah agar mengutamakan pemulihan tempat tinggal serta barangan keperluan asas mangsa-mangsa. 




"Saya turun ke beberapa kawasan di Sabah petang tadi (20 September 2025) untuk meninjau sendiri kerosakan akibat banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa daerah di negeri ini.

"Terkesan melihat keadaan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya dan Pangsapuri Country Heights, Penampang yang terjejas teruk dan memerlukan tindakan segera," jelas beliau.

Justeru, Anwar mengarahkan agensi Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk menyegerakan proses baik pulih dan meneliti keperluan peruntukan tambahan. 

"Keutamaan ketika ini adalah memulihkan tempat tinggal serta barangan keperluan asas mangsa," tegasnya.



Namun di sebalik ujian ini, Perdana Menteri amat terharu melihat ketabahan dan kesungguhan rakyat Sabah.

"Saya amat terharu melihat ketabahan urang Sabah yang masih mampu tersenyum tatkala saya bertemu mangsa-mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan St Paul Kolopis dan Kampung Sarapung.

"Insya-Allah, seluruh jentera Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan berusaha sedaya upaya memulihkan kehidupan kalian secepat mungkin," katanya lagi.

Selain itu, Perdana Menteri menyampaikan penghargaan tertinggi kepada pasukan keselamatan, pengurusan bencana dan sukarelawan yang telah menyabung nyawa demi memastikan keselamatan rakyat yang terkesan. 

"Tidak terkecuali petugas Sabah Electricity (Sabah Electricity Sdn.Bhd. atau SESB) yang bekerja tanpa henti memulihkan bekalan elektrik yang terjejas. 

"Takziah dan penghormatan tertinggi buat Allahyarham Masedeh Rosmin yang gugur ketika bertugas. Pengorbanan mu demi rakyat Sabah pasti dikenang selamanya," ujar beliau.



Anwar juga rakamkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah dan jentera Kerajaan Negeri yang bertindak pantas sejak hari pertama bencana, dengan menumpukan sepenuh perhatian pada keselamatan serta kebajikan rakyat.

"Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan kepada semua yang terkesan dan mempermudahkan usaha kita bersama dalam memulihkan kehidupan rakyat Sabah," tambahnya. - KitaReporters/Kenyataan Media


14
8
0
11
0
You will be interested