Insan & Komuniti 16 Sep, 2025

Video| Unik dan inovatif! Pesantren bina masjid berkembar! Guna 12 tan sampah sebagai bahan binaan!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this

Sebuah pondok pesantren di Kabupaten (daerah pentadbiran) Garut, Jawa Barat, Indonesia melancarkan projek unik dengan membina masjid daripada bahan kitar semula. 



Pondok Pesantren Welas Asih, di Desa Sukarasa, Kecamatan Samarang, mendirikan Masjid Kembar Ar-Rahman dan Ar-Rahim menggunakan kira-kira 12 tan sampah plastik yang diproses menjadi bahan binaan.

Majlis perasmian pada 14 September 2025 lalu dihadiri Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni, serta Timbalan Bupati (Pegawai Daerah) Garut, Putri Karlina.

Pemanfaatan 12 tan sampah plastik ini setara dengan menyelamatkan 8,000 batang pokok daripada penebangan. Ini sesuatu yang luar biasa dan sangat membangkitkan inspirasi,” kata Raja Juli dalam ucapannya.

Pimpinan Pondok Pesantren Welas Asih, Irfan Amali, menjelaskan inisiatif ini lahir daripada budaya warga pesantren yang berdisiplin dalam menguruskan sampah sejak enam tahun lalu. 

Menurutnya, selain itu. kira-kira 200 keluarga di kawasan itu tidak lagi menghantar sampah ke tapak pelupusan sampah awam. 


Perasmian Masjid Kembar Ar-Rahman dan Ar-Rahim di Garut, yang dibina daripada bahan kitar semula plastik, turut dihadiri Menteri Kehutanan Raja Juli Antoni (dua dari kanan) dan Timbalan Bupati Garut, Putri Karlina (kanan). - Kredit foto: Kementerian Pehutanan Indonesia.


“Kalau ada sampah hari ini, sebelum tengah hari sudah selesai diurus. Habis solat zuhur, sampah sudah terkelola dengan baik,” ujar Irfan.

Plastik yang dikumpulkan diolah menjadi palet dan dijadikan dinding masjid. Selain plastik, pembinaan masjid ini turut menggunakan 24 tan sisa sekam padi. 

“Upaya ini bukan hanya menyelamatkan ribuan pokok, tetapi semoga juga menjadi amal ibadah bagi kita semua,” tambah Irfan.

Masjid yang dibangunkan dengan pendekatan mesra alam ini menggambarkan konsep sifar sisa. Sampah organik diproses menjadi baja, sementara plastik dipisahkan lalu diproses untuk kegunaan pembinaan. 

Timbalan Bupati Garut, Putri Karlina juga memuji usaha tersebut. “Inisiatif ini patut dicontoh oleh ribuan pesantren lain di Garut,” katanya. 

Namun, dia turut mengingatkan bahawa daerah itu masih berdepan cabaran besar dalam membangunkan sumber daya manusia.

“Banyak gunung yang kini gundul dan berubah menjadi kebun tanaman sayur-sayuran. Kita harus berfikir lebih jauh tentang keseimbangan alam,” jelasnya.



Raja Juli menekankan bahawa persoalan sampah tidak boleh berhenti pada teori atau sekadar kutipan ayat agama. 

“Sering kali kita mendengar ajaran tentang kebersihan, tetapi tidak disusuli tindakan nyata. 

"Apa yang dilakukan Pesantren Welas Asih membuktikan sampah yang dianggap tidak berguna boleh diubah menjadi karya besar, bahkan rumah ibadat,” katanya.

Dia menambah, inisiatif ini boleh menjadi inspirasi bukan sahaja di Indonesia, malah di pentas antarabangsa.

“Kalau ingin mengukur peradaban sebuah bangsa, lihatlah bagaimana mereka memperlaku sampahnya. Dari situ kita tahu sejauh mana kesedaran alam sekitar hadir dalam kehidupan seharian,” tegas Raja Juli. - KitaReporters

8
14
0
7
0
You will be interested