Sana sini sekarang gamat dengan pelbagai pihak termasuk komuniti masyarakat mengadakan program atau majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-68 pada 31 Ogos 2025 nanti.
Situasi sedemikian turut berlaku kepada penduduk Taman Megah Ria, Masai, Pasir Gudang, Johor, apabila semangat kemerdekaan dan cintakan negara jelas terpancar pada wajah setiap mereka dengan bersama-sama meraikan Sambutan Bulan Kemerdekaan Negara.

Baharudin Mohamed Taib (berdiri, kanan) menyantuni kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna sambil diiringi Roszaidi Ramlee (berdiri, tiga dari kiri)
Dalam program komuniti yang meriah dan penuh bermakna itu berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang menjadi bukti keutuhan perpaduan masyarakat berbilang kaum di kawasan berkenaan pada 24 Ogos 2025.
Dianjurkan
oleh Komuniti Penduduk Taman Megah Ria di bawah pimpinan ketuanya, Roszaidi
Ramlee, program berkenaan dirasmikan oleh ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)
Permas, Baharudin Mohamed Taib yang berjaya menarik penyertaan penduduk
setempat dalam kalangan pelbagai bangsa, agama dan budaya apabila semuanya
bersatu hati menjayakan setiap aktiviti diadakan.
Berucap pada
program itu, Baharudin memuji inisiatif murni komuniti terbabit apabila beliau berasa
amat berbangga dengan usaha yang dilakukan kerana mampu menjadi platform untuk
menyemaikan semangat perpaduan negara
sebagaimana direncanakan Kerajaan Madani.
“Semangat muhibah dan kerjasama yang ditunjukkan pada program ini adalah cerminan sebenar wajah Malaysia malah pihak kami akan sentiasa menyokong usaha bermanfaat itu dari peringkat akar umbi kerana mampu membina jambatan perpaduan dan menzahirkan semangat patriotisme secara praktikal,” ujarnya.
Semangat kebersamaan penduduk dalam komuniti itu bermula seawal pagi dengan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk, yang kemudian diikuti dengan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan hiasan kraf payung bagi golongan dewasa.
Semua aktiviti itu mempamerkan keterlibatan menyeluruh daripada segenap lapisan masyarakat.

Hiasan kraf payung berdasarkan konsep Jalur Gemilang hasil kerja tangan penduduk menarik perhatian Baharudin.
Sementara
itu, Roszaidi berkata, penganjuran program itu adalah untuk menterjemahkan
semangat kemerdekaan melalui aktiviti kemasyarakatan membabitkan pelbagai
peringkat umur penduduk tanpa mengira bangsa dan fahaman apabila semuanya
bersatu hati.
Tambahnya, kami
amat bersyukur melihat sambutan yang begitu menggalakkan yang secara tidak
langsung mencapai matlamat utama untuk menyemarakkan rasa cinta kepada negara
sambil mengeratkan lagi ukhuwah sesama jiran, tanpa mengira kaum dan agama.
Menurutnya, gelagat kanak-kanak pelbagai kaum yang menyertai pertandingan mewarna menghiburkan hati penduduk dan kemuncak program itu yang paling menyentuh hati adalah inisiatif Ziarah Kasih Merdeka apabila 10 penduduk termasuk warga emas disantuni kerana uzur.

Roszaidi menyantuni Baharudin yang turut mengacau bubuk lambuk.
“Program
anjuran komuniti penduduk ini membuktikan bahawa erti kemerdekaan bukan sahaja
diraikan dengan kegembiraan, tetapi juga dihayati dengan semangat keprihatinan
dan kasih sayang sesama insan yang ditimpa musibah kesihatan.
“Secara
keseluruhannya program ini bukan sekadar satu acara, tetapi ia adalah
manifestasi semangat perpaduan, keharmonian dan patriotisme yang mendalam
sekali gus membuktikan bahawa perpaduan pada peringkat akar umbi adalah tunjang
kepada kestabilan negara,” ujarnya.
Program itu turut mendapat sokongan padu daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Masai serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin yang juga Ahli Perlimen Kota Tinggi.
Kejayaannya juga tidak akan tercapai tanpa sokongan daripada pengusaha tempatan seperti Warung Nasi Ambang TMR yang turut sama memberi sumbangan. - KitaReporters

Baharudin (tengah) merakam kenangan bersama-sama Ahli Jawatankuasa Komuniti Penduduk Taman Megah Ria.