
Kuburan berbau wangi dan jasad kekal elok selepas beberapa minggu ditanam, dua peristiwa yang baru tular menimbulkan keterujaan masyarakat asbab kejadian itu yang yang jarang berlaku.
Tidak hairanlah ia mengusik jiwa ramai membuat mereka tertanya-tanya dan ingin tahu apa dilakukan oleh si mati sehingga jasad mereka dimuliakan oleh Yang Esa.
Jasad Zara Qairina Mahathir yang dikeluarkan daripada persemadiannya selepas tiga minggu dikebumi dilaporkan, "masih utuh seperti semalam."
Pelajar sekolah agama berusia 13 tahun itu dikatakan terjatuh daripada bangunan asrama di Papar, Sabah meninggal di hospital dan disemadikan tanpa bedah siasat pada 17 Julai 2025, menimbulkan keraguan pada ibu dan masyarakat, menyebabkan kuburnya diarah digali semula untuk bedah siasat.
Kredit video: Harian Metro
Setelah dikeluarkan daripada persemadian dua hari lalu, menurut si ibu, jasad anaknya masih elok dan pernyataan itu bukan sahaja terbit daripada mulut ibunya.
Antaranya, satu video memaparkan Imam Rawatib Masjid Haji Hashim Pekan Sipitang, Amani Azral mendakwa menyaksikan keadaan jasad Allahyarhamah Zara Qairina masih utuh walaupun sudah dikuburkan tiga minggu.
Amani Azral berada di lokasi tanah perkuburan menyaksikan proses penggalian semula kubur dan mengeluarkan jasad Zara Qairina.
Dalam video satu minit 53 saat itu, Amani menyatakan keadaan jasad mangsa dilihat masih sempurna. “Wajahnya masih seperti semalam.” Maklumat sama seperti pernyataan ibu Zara Qairina.
Penghantaran jasad Zara Qairina semula ke tanah perkuburan untuk disemadikan semula diiringi ratib "Lailahaillallah" oleh orang ramai yang menunggu di luar bangunan hospital. Kredit video - FB Teganukita
Sewaktu kenderaan jenazahnya meninggalkan hospital untuk menuju ke tanah perkuburan untuk disemadikan semula, orang ramai yang menunggu di luar mengiringi dengan laungan ratib "Lailahaillallah".
Sewaktu kerja persemadian semula berlangsung, kedengaran suara-suara menyatakan suasana di situ berbau wangi.
Penulis lantas teringat kepada Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman, 23, penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang maut dalam kemalangan tragis di Gerik, Perak pagi, Isnin 9 Jun 2025, yang viral dengan peristiwa kuburannya yang wangi.
Jasadnya disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Gong Pasir, selepas solat jenazah di Masjid Hadhari Jerteh, Terengganu. Kemudian tular perihal kuburnya berbau wangi sehingga diserbu oleh ramai yang ingin datang melihat.
Hal ini (wangi) dikaitkan dengan amalan Nurly Shahirah yang sentiasa bertemankan al-Quran dan usaha gigihnya menulis Quran dengan tangan.
Bagi Muslim, percaya bahawa tiada apa yang tidak mungkin berlaku apabila Allah SWT menjadikannya begitu.
Berhubung kisah jasad Allahyarhamah Zara yang dikatakan masih elok walaupun sudah ditanam tiga minggu, turut menarik perhatian warganet, Alif Mahari yang menulis di FB pengalamannya sewaktu di Mesir, menerangkan hakikat memang ada jasad yang telah lama dikebumikan terpelihara elok.
Kedengaran suara menyebut "wangi, wangi kan" dan "Allahuakhbar" dalam video persemadian semula jasad Allahyarhamah Zara Qairina.
Tulis Alif Mahari; “Ada yang percaya sebab kebaikan dia (Zara). Ada kata karut. Ada yang bidas balik, siap ejek-ejek."
Mengimbas memori sewaktu belajar di Mesir dulu katanya, sistem kubur mereka di sana unik. Di Kaherah, ada satu kawasan orang panggil rumah kubur.
"Dari luar, memang nampak macam rumah biasa, seluas 10x10 meter, ada juga 20x20 meter. Bangunannya ada pintu, dinding dan bumbung tetapi orang lalu-lalang tak sangka itu sebenarnya kubur.
"Tapi bila masuk ke dalam binaan itu, ada satu pintu menghala ke bawah tanah. Pintu itu disimen rapat, sebab nak elak bau mayat keluar. Kalau ada jenazah baharu, barulah penjaga kubur akan pecahkan simen itu untuk masuk."
"Berjalan turun, kemudiannya nampak susunan katil batu panjang, baris demi baris tempat pembaringan jenazah. Apabila ruang penuh, tulang-tulang lama disusun di satu sudut, untuk bagi ruang kepada jenazah baru.
"Dalam banyak banyak rumah kubur, ada satu rumah kubur khas untuk orang Melayu tempat jenazah pelajar, rakyat Malaysia, atau sesiapa saja dari tanah air yang meninggal di Mesir disemadikan."

Suasana dalam rumah kubur di Kaherah Mesir berdasarkan gambar AI memperlihatkan keunikan kuburan di sana yang ada pintu dan siapa yang masuk boleh melihat keadaan jasad yang telah lama ditanam@disimpan. Keadaan kubur begini justeru boleh nampak mayat mana yang mereput dan tidak. Kredit gambar - FB Alif Mahari
Dan di rumah kubur Melayu lanjutnya, ada satu kisah yang ramai pelajar kita pernah dengar, malah ada yang lihat sendiri. Seorang muslimat, hafizah 30 juzuk meninggal dunia pada tahun 80-an.
Setiap kali ada jenazah baru dibawa masuk, bila pintu simen dipecahkan, mereka yang masuk akan nampak jasadnya. Masih elok, masih sempurna. Tak reput, tak hancur seperti baru dikebumi semalam.
"Bila berdiri di situ, rasa bergetar tulang. Kau tahu, ini bukan perkara mustahil. Allah SWT boleh pelihara jasad siapa saja yang Dia kehendaki, dengan sebab amal soleh dan rahmatNya.
"Sebab itu, isu mayat kekal utuh bukan benda baru bagi aku. Ada yang pernah tengok buktinya. Ada yang pernah rasa sendiri suasananya," kata beliau yang mengakui tak masuk pun ke dalam rumah kubur kerana tak tahan bau."
Maklumat awal tadi, berdasarkan penerangan penjaga kubur, jelasnya melalui mesej FB.
Beberapa komen dalam statusnya membenarkan kenyataan beliau, daripada mereka yang pernah melawat kuburan terbabit. Pernah juga diberitakan mayat pejuang Palestin yang wangi dan tidak terjejas.
Berkait kes arwah Zara, katanya lagi, itu (soal reput atau tidak) bukan fokus utama.
"Fokus kita adalah keadilan. Kita nak siasatan telus. Kita nak punca kematian jelas. Kita nak pihak yang bersalah diheret ke muka pengadilan. Jangan biarkan isu besar ini dialihkan kepada perdebatan reput atau tak reput.
"Arwah Zara perlukan suara kita untuk kebenaran. Keadilan itu lebih mahal daripada sekadar topik sensasi," tegas Alif Mahari yang menutup tulisan dengan perkataan,"Rindu Mesir."

Perihal mayat atau jasad kekal elok, dalam Islam, ada kenyataan yang menyebut, 10 golongan orang yang terpelihara jasadnya - tidak busuk dan tidak mereput, kelak akan bangkit dalam keadaan tubuh asal, iaitu para nabi, ahli jihad, para alim ulama, para syuhada, penghafal al-Quran, imam atau pemimpin yang adil, tukang azan, wanita yang mati ketika melahirkan anak, orang mati dibunuh atau dianiayai, dan orang yang mati di siang hari atau di malam jumaat jika mereka itu dalam kalangan orang beriman.
Pernah juga kita diberitakan mengenai jenazah pejuang Palestin berbau wangi dan tidak reput, dikaitkan dengan status syarat untuk menjadi tentera Hamas mestilah seorang hafiz@hafal satu quran.
Kes Zara seakannya dalam kategori "orang mati dibunuh atau dianiayai". Tidaklah pula penulis pasti mengenai kesahihan 10 fakta tadi.
Kita yang tidak begitu arif, tetapkan sahaja dengan kepercayaan kalau apa sahaja yang Allah SWT nak tunjukkan atau nakkan perkara itu berlaku, Dia akan tunjukkan atau lakukan.
Dia akan buat dengan kekuasan-Nya. Kun Fa Ya Kun! Dan setiap apa yang diizinkan terjadi atau berlaku, pasti ada sebab atau hikmah di sebaliknya.
Keadaan jasad Zara yang elok itu sebagai peringatan kepada kita untuk mentauladani sifat anak itu yang rajin mengaji dan tidak pernah tinggal solat, mengikut yang dilaporkan.
Bahkan dikatakan, ada yang tidak senang dengannya kerana Allahyarhamah rajin menjaga solat kawan asrama dan mengambil nama mereka yang tidak solat. Wallahuaklam.
Al-Fatihah untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir. - KitaReporters
