Perniagaan dalam Islam merupakan suatu aktiviti ekonomi yang sangat digalakkan dengan fokus kepada keuntungan yang sah dan etika syariah serta mengharamkan unsur riba, penipuan dan aktiviti haram.

Pintu utama masuk ke pekarangan Masjid Taman Bukit Belimbing di Seri Kembangan.
Perniagaan
bukan sekadar mencari kekayaan tetapi juga satu ibadah yang boleh membawa
keberkatan di dunia dan akhirat, di samping memberi peluang kepada umat Islam
untuk membantu melalui sedekah serta peluang pekerjaan.
Atur cara
perniagaan dalam Islam menekankan sifat amanah, jujur dan telus ketika urus
niaga, berteraskan amalan Rasulullah SAW seperti menjaga tutur kata, tidak
menipu timbangan dan mengutamakan keredaan Allah.
Di samping itu peniaga juga perlu berterusan berusaha, bersyukur serta membina hubungan yang baik dengan pelanggan dan tidak terlalu mengejar keuntungan semata-mata.

Pelbagai jenis pakaian termasuk untuk kanak-kanak turut dijual.
Sebagai
antara cabang dakwah, Masjid Taman Bukit Belimbing di Seri Kembangan, Selangor,
menganjurkan program ‘car boot sale’ (jualan but kereta) di pekarangan masjid berkenaan dua kali
sebulan iaitu pada setiap minggu awal dan akhir bulan bermula sejak 7 September
2025.
Menurut
Pengurus Masjid itu, Hilmi Abu Bakar, objektif program berkenaan selain untuk
mencari sumber dana masjid juga bagi mengeratkan ukhuwah kariah masjid dengan kariah lain yang berdekatan apabila berpeluang menceburi perniagaan ‘car boot sale’.
Tambahnya, pihak pengurusan masjid membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat menyertai program berkenaan kerana akan mendedahkan secara meluas kaedah perniagaan dalam mencari keuntungan sah dan menepati etika syariah.
_
Hilmi Abu Bakar menyantuni peniaga dan orang ramai yang berkunjung ke program 'car boot sale" di Masjid Taman Bukit Belimbing di Seri Kembangan.
Beliau berkata, bagi memenuhi permintaan ramai, masjid menyediakan 35 tapak dengan bayaran RM15 bagi satu tapak untuk menjual barangan seperti makanan iaitu nasi lemak, ‘dumpling loaded nachos’, bakso, laksa, sushi, pisang goreng dan pelbagai lagi termasuklah kuih-muih.
Katanya,
gerai menjual pelbagai minuman seperti cendol, air balang, ais kepal, air
matcha dan sebagainya turut dibuka di samping dimeriahkan dengan gerai menjual
bermacam baju dewasa, seluar, kasut, baju kanak-kanak dan jeans selain
barangan eksesori kereta.
“Sejak
diadakan program ini yang disertai hanya 25 peniaga, tetapi kini semakin bertambah
apabila mendapat sambutan serta penyertaan daripada penduduk daripada kariah
berdekatan seperti Taman Harmoni dan Taman Impian Ehsan,” ujarnya.
Hilmi bersama Ahli Jawatankuasa Masjid sentiasa memantau perjalanan program itu supaya berjalan lancar di samping memberi penerangan dan bimbingan mengenai perniagaan menepati etika syariah supaya dapat melahirkan suasana harmoni dan bekerjasama.

Seorang kariah menyiapkan menu rojak buah di gerainya pada program 'car boot sale' Masjid Taman Bukit Belimbing, Seri Kembangan, Selangor.
Beliau berkata, program itu juga secara tidak langsung dapat mengimarahkan masjid dengan menjemput orang ramai datang melihat aktiviti kemasyarakatan diadakan itu dan meninjau pemakluman aktiviti keagamaan yang dilaksanakan pada papan kenyataan.
Tambahnya,
malah jika pada hari berkenaan diadakan kuliah agama orang ramai atau kariah
berkunjung ke program itu boleh mendengar pengajian agama yang berlangsung
terlebih dahulu kerana ia diadakan dalam tempoh masa singkat sahaja.
“Ibarat serampang dua mata, selain datang untuk mempraktikkan perniagaan mengikut atur cara Islam, kariah dan orang ramai dapat pula mendengar kuliah agama untuk dimanfaatkan bersama-sama ahli keluarga,” katanya lagi. - KitaReporters

Pelbagai jenis kuih-muih yang dibuat kariah masjid turut dijual.