Insan & Komuniti 05 Oct, 2025

Tolong kami! Bantu Asmawi Zaidi! Dulu berjuang di padang hoki! Kini berjuang di pusat rawatan pula!

@mohamed sa'ari
Minat bidang penulisan sejak di bangku sekolah. Masih proses belajar.

Share this

Dahulu dia berdiri megah di tengah padang, memegang kayu hoki dengan penuh keyakinan. Nama Mohamad Asmawi Zaidi meniti di bibir jurulatih dan peminat sukan sebagai antara pemain muda paling berbakat pernah dilahirkan Terengganu.


Mohamad Asmawi Zaidi dikatakan antara pemain hoki paling berbakat yang pernah dilahirkan negeri Terengganu. - Kedit foto: e-Bantuan.


Namun kini, pada usia 36 tahun, hidupnya berubah sama sekali. Dari sorakan ribuan penonton di stadium, dia kini bergantung kepada doa dan simpati orang ramai untuk meneruskan rawatan pemulihan di sebuah pusat rawatan di Marang, Terengganu.

Bagi membantu meringankan beban keluarganya, Tabung Rawatan Asmawi dilancarkan pada 29 September 2025 lalu oleh Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal dengan kerjasama Persatuan Hoki Terengganu (PHT).

ADUN Kijal, Datuk Razali Idris berkata, penubuhan tabung itu bukan sekadar kutipan derma, tetapi tanda penghargaan kepada seorang bekas atlet yang pernah membawa nama Terengganu dan Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Semoga inisiatif ini menjadi asbab kesembuhan Asmawi yang pernah memberi sumbangan besar dalam arena hoki dan kini tiba giliran masyarakat pula  menghulur tangan meringankan bebannya,” katanya.

Kakaknya, Nur Haslida Zaidi, berkongsi bahawa kos rawatan adiknya mencecah RM1,300 sebulan angka tersebut besar buat mereka, apatah lagi Asmawi berkemungkinan perlu menjalani pembedahan kaki buat kali ketiga.


Asmawi dikatakan antara pemain hoki paling berbakat yang pernah dilahirkan negeri  Terengganu. - Kedit foto: PHT.


Segala derita ini berpunca daripada insiden malang di bilik air,  ketika tergelincir kaki Asmawi terperosok ke dalam lubang mangkuk tandas dan serpihan mangkuk tandas yang pecah menyebabkan tendon kaki kanannya hampir putus.

Kecederaan itu meninggalkan parut besar dalam hidupnya. Dua kali pembedahan dijalani, namun kakinya belum benar-benar pulih membuatkan pergerakan terbatas menyukarkannya untuk berjalan dan mengurus keperluan diri sendiri.

Lebih merumitkan keadaan, di sebalik kecederaan itu, Asmawi sebenarnya turut menghidap penyakit lain sejak 11 tahun lalu (2014). Namun keluarganya memilih untuk tidak berkongsi cerita mengenainya secara terperinci kepada umum.

Bagi Haslida, menjaga adik yang suatu ketika dahulu gagah di padang ada cabarannya kerana adakalanya Asmawi sering keluar merayau sendirian tanpa tujuan sehingga menambah  kebimbangan keluarga akan keselamatannya.

Ini memaksa keluarga menghantar Asmawi ke pusat rawatan bagi memastikan dia mendapat rawatan pemulihan sebaiknya dan keselamatannya lebih terjamin.


Keratan akhbar mengenai kejayaan pasukan hoki remaja Malaysia yang dianggotai Asmawi (dalam bulatan). - Kedit foto: e-Bantuan.


Bagi mereka yang pernah menyaksikan aksinya dahulu yang tangkas mengawal pintu gol di padang hoki, mungkin sukar mempercayai keadaannya ketika ini yang bergantung kepada doa dan sumbangan orang ramai bagi meneruskan rawatan pemulihan yang memerlukan belanja besar.

Asmawi mula mengenal hoki ketika berusia 12 tahun, minat yang mendalam membawanya ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Kota Tinggi, Johor -- tempat lahirnya ramai atlet ternama negara.

Di situlah bakatnya digilap sehingga terpilih mewakili skuad Sukma Terengganu. Tidak lama kemudian, dia diserap ke pasukan remaja kebangsaan bawah 16 tahun, langkah pertama menuju pentas antarabangsa.

Dari situ, nama Asmawi kerap disebut dan dia pernah membawa Jalur Gemilang ke kejohanan hoki di Jerman, India, Pakistan dan beberapa negara Eropah lain. Sorakan penonton luar negara menjadi saksi ketangkasannya.


Asmawi merupakan antara pemain utama pasukan hoki remaja Malaysia satu ketika dahulu sebelum mengalami masalah kesihatan dan bersara pada usia 25 tahun.  - Kedit foto: e-Bantuan.


Namun, takdir menukar rentak kehidupannya, dari sorotan lampu stadium, kini Asmawi bertarung dengan kesakitan di pusat rawatan, jauh daripada gelanggang yang pernah menjadi dunianya.

Apa yang tinggal kini hanyalah kenangan manis, foto-foto lama, dan semangat keluarga yang tidak pernah putus menjaga serta menyokongnya.

Bagi keluarga, inisiatif menubuhkan tabung rawatan ini adalah satu-satunya harapan untuk memastikan kelangsungan pemulihan adik kesayangan mereka.

Mereka percaya, walaupun Asmawi tidak lagi mampu mengangkat kayu hoki, perjuangannya sebagai seorang pesakit tetap wajar diraikan dan dihargai.

Orang ramai yang bermurah hati boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun BSN atas nama Mohamad Asmawi Bin Zaidi, nombor 1111141000273158 atau menghubungi kakaknya, Nur Haslida Zaidi di talian 019-9206959. – KitaReporters


Asmawi merupakan antara penjaga gol pasukan hoki remaja kebangsaan yang mempunyai potensi besar.  Kedit foto: e-Bantuan.

15
14
0
19
0
You will be interested