Pembinaan rumah ibadat sama ada masjid, kuil atau gereja mesti mematuhi undang-undang serta peraturan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan kerajaan adalah memastikan keselamatan, keharmonian dan kestabilan negara terus terpelihara.
"Justeru, sebarang pihak yang cuba memanipulasi isu ini untuk mencetuskan kebencian atau ketegangan kaum adalah tidak bertanggungjawab dan perlu dihentikan.
"Pendekatan berlandaskan undang-undang, toleransi dan saling menghormati mesti terus menjadi asas dalam memelihara perpaduan negara," katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) pada pagi 9 Februari 2026.
Perdana Menteri hadir pada perhimpunan itu bagi menyampaikan beberapa mesej dan amanat penting terkait keharmonian serta perpaduan negara.

"Saya ingatkan, betapa pun simpang siur, gelagat politik dan lain-lain, yang kadang-kadang mengheret kita dalam kancah perseteruan di antara satu sama lain.
"Tapi umumnya, Alhamdulillah majoriti rakyat menerima kenyataan bahawa negara harus tegak atas landasan yang betul, memupuk persefahaman dan perpaduan," jelasnya.
Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk memastikan Malaysia kekal sebagai negara yang aman, bersatu dan dihormati demi masa depan yang lebih makmur dan bermakna untuk generasi mendatang. - KitaReporters/Kenyataan Media
