Insan & Komuniti 13 Mar, 2024

Video| Ahli Ladies Of Harley PJ sebak santuni warga emas! Berkonvoi kunjungi Pusat Jagaan Mahmudah!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


MERUNTUN jiwa dan perasaan ahli-ahli Ladies Of Harley Petaling Jaya (LOHPJ) Chapter apabila mendengar cerita kisah silam warga emas ketika mengunjungi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor pada 10 Mac 2024.

Kunjungi 20 ahli LOHPJ yang berkonvoi motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson itu kelihatan begitu gah setiba di depan pintu utama dengan disambut oleh pihak pengurusan PJMM, bagaimanapun bertukar sebak apabila mereka berpeluang bertanya khabar dan bermesra dengan warga emas di situ.

Sesetengah mereka bergenang air mata dan mendakap erat warga emas wanita yang lanjut usia apabila mendengar rintihan mereka disisih oleh ahli keluarga, tidak dipedulikan oleh anak atau waris dan dibiarkan bergelandangan sebelum ditempatkan di PJMM.


Ahli LOHPJ menyantuni warga emas PJMM dalam program CSR sempena Hari Wanita Antarabangsa.


Suasana menjadi bertambah hiba dan hening apabila Pengerusi PJMM, Azman Rasman dalam ucapan mengalu-alukan kunjungan LOHPJ, menceritakan pelbagai kisah sedih warga emas terbabit termasuk harta benda dirampas oleh anak atau waris, dihalau dari rumah dan berakhir kehidupan di PJMM.

Menurutnya, PJMM akan segera menghubungi anak atau saudara mara terdekat berdasarkan rekod yang ada untuk memaklumkan keadaan warga emas terbabit apabila sudah terlalu uzur untuk datang menziarah namun tiada sebarang tindakan dibuat.

“Apabila sudah meninggal dunia dan dimaklumkan mereka ini hanya berpesan encik kebumikan sahaja, malah kalau ada yang datang di tanah perkuburan hanya mengintai dari jauh, sebelum selesai pengebumian dilakukan mereka sudah berlalu pergi.

“Situasi begini amat meruntun perasaan kami dan petugas PJMM yang menguruskan pengebumian dari awal sampai selesai semuanya dan saya bercerita bukan bertujuan untuk mengungkit atau membuka aib sesiapa tetapi itulah realiti kehidupan sekarang. 

“Kami di PJMM tidak menagihkan apa-apa dan sudah menjadi tugas sukarela sejak bertahun-tahun lamanya menyantuni warga emas seperti ibu atau bapa sendiri di samping terpaksa bersusah payah mencari dana atau sumbangan bagi menampung kos operasi walaupun sering dipandang serong,” ujarnya. 


Sebahagian ahli LOHPJ merakamkan kenangan bersama pihak pengurusan setiba di PJMM.


Kunjungan LOHPJ ke PJMM adalah di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersempena Hari Wanita Antarabangsa bagi menyampaikan sumbangan hasil infak ahli dan pelbagai pihak yang memberi sokongan bagi membantu menjayakannya.

Pengarah program itu yang juga Pegawai LOHPJ, Azlieza Mohd Ali ketika menyampaikan ucapan pada majlis itu, berkata mereka ahli LOHPJ bersetuju dan berasa lebih bermanfaat untuk berkonvoi ke PJMM bagi menyerahkan sendiri sumbangan di samping melihat secara sedekat warga emas yang diberi perlindungan.

Menurutnya, apabila sampai di PJMM dan berpeluang beramah mesra dengan warga emas serta menyantuni mereka ibarat seorang anak tidak menyangka keadaan itu memberi kesan emosi yang amat sedih di hati ahli LOHPJ semua. 


Liza Ali (enam dari kanan) bersama-sama Ladies Of Harley Petaling Jaya (LOHPJ) menyerahkan replika cek kepada Azman pada 10 Mac 2024. 


Beliau yang beberapa kali berasa sendu dan mengesat air mata tidak dapat menahan rasa sedih, menambah sebagai seorang anak tidak wajar memperlaku oleh ibu atau bapa sedemikian rupa kerana kejayaan seseorang itu adalah juga hasil pengorbanan mereka.  

Menurut Liza, amat wajar menghargai warga emas serta menyantuni mereka itu dengan baik walaupun bukan ibu dan bapa kita, apa yang dilakukan oleh petugas serta sukarelawan PJMM sesuatu luar biasa kerana berdepan dengan pelbagai masalah penghuni dengan sabar.

“LOHPJ terpanggil untuk turun padang mencari dan mengumpul dana bagi disumbangkan kepada PJMM yang sekurang-kurangnya dapat menampung kos operasi selain memberi suntikan semangat kepada kami meneruskan program CSR bagi tahun 2024,” katanya.


Pegawai Keahlian HOGPJ, Salamah Idris menyuap nasi kepada seorang warga emas yang menghadapi masalah penglihatan dan terlantar di atas katil kerana keuzuran.


Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Harley Owner Group Petaling Jaya (HOGPJ), Harris Zamzairie yang turut hadir, berkata HOGPJ menyokong penuh program CSR dan sebagainya dilaksanakan oleh LOHPJ selain mengalu-alukan sebarang penambahbaikan termasuklah mempelawa pelbagai penubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama dalam aktiviti CSR. 

Menurutnya, program CSR seperti di PJMM itu wajar diteruskan kerana ia mendekatkan lagi hubungan dengan masyarakat terutama warga emas kerana mereka juga memerlukan perhatian serta kasih sayang, manakala HOGPJ dan LOHPJ amat prihatin dengan aktiviti sihat kerana memberi banyak manfaat

“Masyarakat perlu lebih memberi kasih sayang dan tidak meminggirkan warga emas ini dan sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan mereka termasuk sepanjang bulan Ramadan serta menjelang hari raya yang boleh dilakukan oleh pelbagai NGO juga kumpulan bermotosikal lain,” ujarnya.

Program itu diakhiri dengan deklamasi sajak bertajuk Harapan Seorang Ayah dan Ibu yang disampaikan dengan penuh emosi oleh Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado menyebabkan ramai ahli LOHPJ menitis air mata. - KitaReporters


Liza dan Azman Rasman (berdiri di tengah) merakam kenangan bersama ahli LOHPJ dan warga emas PJMM.

30
13
0
8
0
You will be interested