Insan & Komuniti 02 Feb, 2024

Syabas JPKK Kampung Paya Merah! Program Jom Orang Labis Kita Daftar Padu! Daftar lebih 300 penduduk!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this


Kakitangan Jabatan Perangkaan Malaysia sedang memuat naik maklumat salah seorang yang datang mendaftar sistem maklumat Pangkalan Data Utama  (PADU) semasa Program Jom Orang Labis Kita daftar PADU.


Dalam era maklumat di hujung jari ketika ini banyak urusan boleh dilakukan secara dalam talian dengan lebih mudah dan cepat berbanding terpaksa berurusan secara fizikal yang memerlukan seseorang ke kaunter atau pejabat tertentu.

Namun kenyataannya tidak semua daripada kita mampu mengikut peredaran zaman yang kian pantas bergerak ketika ini disebabkan beberapa kekangan termasuk tidak mampu melanggan pakej internet, tiada peranti sesuai yang diperlukan mahu pun tidak mempunyai pengetahuan untuk berbuat demikian.
Menyedari hakikat tersebut, Jawatankuasa Pembangunan, Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Paya Merah, Labis, Johor dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Tenang dan KRT Labis D mengambil inisiatif menganjurkan Program Jom Orang Labis Kita Daftar PADU pada 31 Januari 2023 lalu.

Individu yang datang untuk mendaftar atau mengemas kini maklumat peribadi dalam sistem maklumat PADU diberi penerangan oleh kakitangan Jabatan Perangkaan Malaysia yang bertugas.

Pengerusi JPKK Kampung Paya Merah, Abdul Razak Haron berkata, penganjuran program tersebut antara lain bertujuan untuk membantu penduduk di sekitar Labis, Johor yang mengalami kesukaran untuk mendaftar dan mengemas kini maklumat dalam sistem maklumat Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini. 

"Program sehari ini turut mendapat kerjasama baik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Cawangan Muar yang turut menempatkan kakitangannya bagi membantu orang ramai mendaftar dan mengemas kini maklumat terkini mereka dalam sistem maklumat PADU.
"Sambutan yang diterima amat menggalakan di mana lebih 300 penduduk di sekitar Labis hadir menjayakan program hari ini walaupun terdapat beberapa program serupa yang dianjurkan di beberapa lokasi lain di mukim Labis sebelum ini," katanya.
Menurutnya, walaupun pada peringkat awal sasaran penganjuran program tersebut untuk membantu golongan warga emas dan mereka yang kurang berkemampuan untuk mendaftar dalam sistem maklumat PADU, namun jumlah kehadiran golongan muda juga begitu menggalakkan.

Abdul Razak Haron
Katanya, penganjuran program itu juga secara tidak langsung turut mendedahkan sebenarnya masih ramai lagi dalam kalangan masyarakat setempat yang berdepan masalah termasuk tidak memahami cara-cara untuk mendaftar selain tidak mempunyai kemudahan internet serta peranti sesuai untuk mengemas kini maklumat mereka. 
"Saya juga berharap jalinan kerjasama antara agensi kerajaan dengan kepimpinan setempat dalam menjayakan dasar-dasar kerajaan melalui konsep turun padang seperti penganjuran program sebegini dapat diteruskan dari semasa ke semasa.
"Ternyata konsep turun padang kakitangan agensi kerajaan bukan sahaja mampu membantu rakyat yang berdepan masalah, malah lebih daripada itu, mampu memberi penjelasan yang lebih tepat kepada rakyat mengenai apa juga dasar yang dilaksanakan kerajaan terutama dasar baharu," katanya.

Tan Ee Hui.


Sementara itu, Tan Ee Hui, 74, mengakui dia yang tidak mahir menggunakan kamputer serta gajet mungkin tidak berpeluang mendaftar dalam sistem PADU tanpa bantuan mana-mana pihak untuk berbuat demikian.
Katanya, penganjuran program tersebut bukan sahaja memberi peluang kepadanya serta rakan-rakan lain seusianya mendaftar, malah turut diberi penjelasan mengenai matlamat serta keperluan untuk mendaftar dalam sistem PADU yang diperkenal oleh kerajaan itu.

Sebahagian penduduk Labis, Johor yang datang untuk mendaftar dalam sistem maklumat PADU di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah, Labis, Johor pada 31 Januari 2024.


"Terdapat individu dalam kalangan masyarakat kita yang berangapan pendaftaran ini tidak perlu serta membebankan kerana mereka tidak mendapat penjelasan tepat mengenai matlamat sebenar sistem ini diperkenal.
"Tetapi melalui program sebegini segala salah faham itu dapat dirungkaikan melalui penerangan yang diberikan oleh pegawai berkelayakan sekaligus mampu memastikan matlamat kerajaan memperkenalkan dasar ini dapat dijayakan,"katanya.
Pada masa sama, dia turut berharap lebih banyak program seumpama diadakan bagi membantu orang ramai mendaftar dan mengemas kini maklumat bukan sahaja dalam sistem PADU, malah urusan lain seperti program Sumbangan Tunai Rahmah (STR). - KitaReporters

Salah seorang kakitangan Jabatan Peraangkaan Malaysia meneliti dokumen seorang warga emas sebelum mendaftarkannya ke dalam sistem PADU.


Orang ramai menunggu giliran untuk mendaftar dalam sistem malumat PADU ketika penganjuran  program Jom Orang Labis Kita Daftar PADU di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah, Labis, Johor pada 31 Januari 2024 lalu.

7
19
0
13
0
You will be interested