Insan & Komuniti 03 Apr, 2024

Duit raya Kumpulan Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (KPIBKS)! Santuni keluarga asnaf, miskin!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


SERAMAI 100 pelajar dalam kalangan keluarga asnaf dan miskin menerima sumbangan duit raya dan ‘goodies bag’ (beg cenderahati) daripada Kumpulan Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (KPIBKS) pada Program Rahmah Kasih Ramadan, Daerah Kuala Terengganu pada 25 Mac 2024. 

Pelajar terbabit adalah dari tiga sekolah menengah kebangsaan (SMK) iaitu SMK Haji Abdul Rahman Limbong, SMK Belara dan SMK Dato' Haji Mohd Said yang disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Terengganu, Khairi Mohd Noor di restoran Nasi Arab Al Bakry T Cafe, Kampung Kubang Jela.

Majlis perasmian turut dihadiri Pengerusi KPIBKS, Daerah Kuala Terengganu, Armi Afzan Mohd; Timbalan PPD; Pegawai PPD; pengetua; serta guru pengiring.


Khairi Mohd Noor dengan diiringi Armi Afzan Mohd (kiri) menyampaikan sumbangan duit raya dan 'goodies bag' kepada pelajar dari SMK Belara, Nur Adawiyah Maisarah Mohd Saifuddin.


Pengarah program merangkap Timbalan Pengerusi KPIBKS, Zah Mohamad, berkata selain mengagihkan duit raya serta ‘goodies bag’ berkenaan pelajar terbabit juga diraikan dalam majlis berbuka puasa yang kali pertama diadakan oleh kumpulan itu. 

Menurutnya, objektif program adalah untuk berkongsi rezeki yang mungkin sebelum itu keluarga pelajar terbabit sudah tertekan atau terbeban dengan perbelanjaan menyediakan peralatan sekolah musim baharu pada awal Mac 2024 lalu.

Tambahnya, di samping itu ia juga dalam usaha KPIBKS membina serta merapatkan ukhuwah kekeluargaan selain melahirkan rasa syukur atas nikmat pemberian Allah dan bersifat qanaah dengan rela malah reda menerima selain menjauhkan diri daripada rasa tidak puas atau kurang senang.

“Program ini juga membolehkan khusus ahli KPIBKS untuk mengenali serta menghargai mereka atau golongan yang kurang bernasib baik dengan menghayati sunah Rasulullah SAW pada Ramadan penuh barakah,” ujarnya.


Sebahagian pelajar daripada keluarga asnaf dan miskin menunjukkan sampul duit raya yang diterima pada Program Rahmah Kasih Ramadan, Kumpulan Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (KPIBKS), Daerah Kuala Terengganu.


Sementara itu seorang ahli jawatankuasa KPIBKS, Yassin Matya, berkata program itu bukan bertujuan mencari nama atau ada maksud tersembunyi sebaliknya usaha ikhlas kumpulan berkenaan menyantuni pelajar asnaf dan miskin untuk sama-sama merasai keseronokan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Tambahnya, ahli kumpulan itu berusaha gigih mencari dana serta sumbangan untuk diagihkan kepada pelajar terbabit walaupun tidak seberapa sekurang-kurangnya dapat menampung kos perbelanjaan keluarga menyambut  perayaan1 Syawal.

“Paling penting program ini juga merapatkan hubungan persahabatan kami ahli KPIBKS untuk bekerjasama dalam apa juga kerja amal kebajikan bagi membantu mereka yang kesempitan di samping dapat menjadi contoh kepada pertubuhan sukarela lain,” katanya. - KitaReporters


Pelajar daripada keluarga asnaf dan miskin bersama-sama tetamu jemputan menunggu hidangan menu nasi Arab untuk berbuka puasa.

21
11
0
9
0
You will be interested