
Pelajar maahad tahfiz berselawat sambil menyambut kedatangan wakil NGO dan kakitangan pusat jagaan untuk menyerahkan sumbangan.
Sedekah kepada maahad tahfiz adalah satu amalan yang baik malah digalakkan dalam Islam. Langkah itu membantu dalam membiayai pendidikan agama serta kebajikan pelajar maahad berkenaan terutama apabila mereka beroperasi tanpa bantuan mana-mana pihak.
Selain sumbangan kewangan, maahad tahfiz amat memerlukan sumbangan berupa barangan asas keperluan harian seperti beras, gula, tepung gandum, minyak masak dan sebagainya di samping peralatan pembelajaran atau pakaian.
Sumbangan itu akan membantu mengurangkan bebanan kewangan mereka, manakala pelajarnya akan dapat meneruskan pembelajaran dengan selesa.
Namun begitu tidak dapat dinafikan apabila beroperasi tanpa dikenakan bayaran khusus ia suatu membebankan ditambah lagi dengan kos hidup semakin meningkat yang akan turut menjejaskan tahap pengurusan.

Ahli Jawatankuasa KESUMA'24, Zaiton Yaacob menyerahkan sumbangan kewangan kepada Noor Syafika Abu Hassan.
Selepas mendapat perkhabaran mengenai Maahad Tahfiz Khadijatul Kubro Lil Banat, Semenyih, Selangor menghadapi kekangan masalah kewangan dan kekurangan bekalan barangan makanan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Sukarelawan Kasih (Kasih), Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24) dengan kerjasama kakitangan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih serta Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor mengadakan gerakan mencari derma kilat dan sumbangan barangan.
Gerakan yang dilancarkan selama lima hari itu akhirnya berjaya mengumpul dana dan barangan keperluan asas harian hasil sumbangan orang ramai dan mereka prihatin termasuk dalam kalangan ahli NGO dan kakitangan pusat jagaan terbabit yang diserahkan kepada pengurusan maahad berkenaan pada 9 Julai 2025.
Antara barangan keperluan asas yang berjaya dikumpul hasil sumbangan pelbagai pihak itu termasuklah beras, minyak masak, serbuk teh, kopi, milo, sos tomato, sos cili, kicap, sabun pencuci, bihun, susu pekat, biskut, telur, daging ayam sejuk beku dan sebagainya.

Wakil NGO dan kakitangan pusat jagaan merakamkan kenangan bersama pelajar serta tenaga pengajar maahad tahfiz berkenaan.
Pengetua madrasah berkenaan, Noor Syafika Abu Hassan, berkata sumbangan yang diterima itu amat besar erti kepada mereka kerana dapat membantu meringankan masalah kekurangan bekalan makanan dan kewangan yang semakin meruncing sejak hujung tahun lalu.
Menurutnya, 22 pelajar perempuan yang menuntut ilmu hafazan dan fardu ain di madrasah itu memang dikenakan yuran bulanan, namun tidak semua mampu membayar penuh kerana sesetengah daripada mereka dalam kalangan keluarga miskin, asnaf dan anak yatim.
Tambahnya,
ada antara keluarga pelajar membayar yuran namun tidak sepenuhnya sebanyak
RM400, manakala pihak madrasah terima sahaja berapa jumlah berkenaan demi
memastikan pelajar berusia antara lapan dan 18 tahun itu dapat meneruskan
kelangsungan menimba ilmu menghafal Al-Quran serta fardu ain.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya sentiasa membuka tawaran atau peluang kepada penyumbang dan mereka yang prihatin untuk menaja pelajar terbabit di samping menjadi penginfak tetap setiap bulan supaya madrasah dapat terus beroperasi.
“Hujung tahun 2024 itu pihak pengurusan madrasah ini sudah melakukan pelbagai cara bagi mencari dana dan sumbangan namun kurang berjaya sehingga terpaksa menguar-uarkan dalam kumpulan WhatsApp dan media sosial bagi menceritakan masalah berkenaan.
“Saya tidak menjangkakan ada usaha kolaboratif terbaik daripada NGO ini dan keprihatinan kakitangan pusat jagaan terbabit untuk bergabung mencari sumbangan serta dana yang sekurang-kuranganya meringankan bebanan kami untuk beberapa bulan,” ujarnya yang ditemui pada majlis penyerahan sumbangan itu.

Aizam mendengar rintihan pelajar maahad tahfiz berkenaan mengenai masalah dihadapi mereka.
Sementara itu Bendahari KESUMA’24, Aizam Ambak, berkata walaupun sumbangan tidak seberapa namun semua ahli kelab menunjukkan keprihatinan membantu mereka yang ditimpa musibah terutama membabitkan pelajar menimba ilmu agama.
Jelasnya,
kelab mahu semua pelajar terbabit dapat meneruskan pengajian hafazan Al-Quran
dan fardu ain dengan jaya bukan gagal dipertengahan jalan disebabkan masalah
yang dihadapi kerana ramai masyarakat di luar sana sentiasa bersedia untuk
membantu asalkan perkara itu sampai kepengetahuan mereka.
“Kelab juga ingin mengajak ahli untuk mendapatkan ganjaran pahala yang besar dengan mengambil keberkatan bulan Muharam untuk bersedekah dan menghulurkan sumbangan termasuk memberi makan kepada mereka yang memerlukan bantuan,” ujarnya.
Ahli Jawatankuasa Kasih, Hasiatun Abdullah, pula berkata pertubuhan berkenaan sentiasa menghulurkan sumbangan kepada madrasah itu hasil daripada infak orang ramai dan ahli bagi memastikan madrasah berjaya melahirkan ramai tahfiz dalam kalangan wanita.
“Sebagai sebuah madrasah yang beroperasi tanpa bantuan mana-mana pihak maka menjadi tanggungjawab kita sebagai masyarakat untuk berkongsi rezeki dengan mereka kerana matlamat penubuhannya adalah untuk kebaikan dalam melahirkan generasi mencintai Al-Quran,” katanya.
Noor Syafika (tengah) bersama-sama wakil NGO dan kakitangan pusat jagaan yang menyumbang pelbagai barangan keperluan asas harian.
Untuk sumbangan kewangan boleh disalurkan ke Akaun Maybank nombor 5640 4403 3096 atas nama Maahad Tahfiz Khadijatul Kubro Lil banat.
Bagi mendapat maklumat lanjut boleh hubungi Ustazah Syafika 019-942 5571, Ustazah Nurafizah (013-283 3213) dan Ustazah Siti Syahidah (019-217 5015). - KitaReporters