
GENERASI Allahyarham Saad Sidin dan Allahyarham Maimunah Di'o bertemu dalam majlis Himpunan Waghih Saad & Maimunah.
“BIAR putuih urek kantuit, jangan putuih sadaro.” Tagline bahasa Minang yang tertera pada kain rentang besar di khemah itu mencuri perhatian tetamu yang hadir pada majlis ‘Himpunan Waghih Saad & Maimunah’ pada Sabtu, 31 Mei, 2025.
Bagi yang memahami maksudnya, ia mengundang senyum tapi kepada mereka yang tidak faham, ada yang menggaru kepala atau terpaksa bertanya kepada orang di sebelah.
Penganjur majlis berkenaan, Azizudeen Razalee, berkata, tagline itu adalah manifestasi kepada penganjuran majlis berkenaan yang bertujuan menghimpun serta mengeratkan hubungan generasi Allahyarham Saad Sidin dan Allahyarham Maimunah Di’o.

KAIN rentang Himpunan Waghih Saad & Maimunah.
“Saya sendiri apabila diusulkan tagline itu berasa lucu dan ketawa tapi bila difikirkan, ia sangat bertepatan dengan maksud himpunan ini.
“Orang Minang zaman dahulu, perkataan ‘kantuit’ memang jadi mainan bibir mereka. Bagi orang yang tidak biasa, ia mungkin dianggap kasar tapi ia sebenarnya ia lebih berbentuk gurauan.
“Bagi saya, untuk menghidupkan suasana majlis, mesti dicipta kelainan serta menampilkan sesuatu yang ‘catchy’ dan unik. Ia sebagai satu daya tarikan kepada tetamu.
“Tagline itu yang bermaksud “biar putus urat kentut, jangan putus saudara” kena dengan tujuan penganjuran majlis ini. Ia sebagai pengingatan betapa pentingnya kita menjaga persaudaraan dan silaturahim,” ujar Azizudeen.

AZIZUDEEN RAZALEE
Menurut Azizudeen yang merupakan generasi ketiga, beliau mengambil inisiatif menganjurkan majlis itu untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan (silaturahim) dalam kalangan generasi Saad dan Maimunah, juga agar mereka saling mengenali antara satu sama lain.
“Jika dikumpul generasi Saad dan Maimunah, jumlahnya ratusan orang. Tapi, memandangkan masing-masing sudah berkeluarga serta mempunyai komitmen, hubungan menjadi kurang rapat kerana jarang bertemu.
“Selama ini, kalau bertemu pun hanya pada majlis-majlis tertentu seperti perkahwinan, berkunjung pada hari raya atau jika ada kematian ahli keluarga, itupun tak semua dapat hadir.
“Jadi, saya fikir, perlu lakukan sesuatu kerana jika dibiarkan, suatu hari nanti, generasi Saad dan Maimunah tidak kenal antara satu dengan lain terutama generasi keempat,” katanya.

SAMBUTAN hari jadi.
Majlis yang berlangsung di Batang Kali, Selangor itu dihadiri kira-kira 60 orang yang terdiri daripada anak, cucu dan cicit kepada Saad dan Maimunah.
Selain jamuan, pelbagai acara dilangsungkan seperti sambutan ulang tahun kelahiran bagi bulan Januari hingga Jun, cabutan bertuah, permainan dan kuiz.
Walaupun jumlah kehadiran tidak mencapai sasaran tapi Azizudeen tetap berpuas hati serta menganggap ia sebagai satu permulaan yang positif.


ANTARA pemenang kuiz, permainan dan cabutan bertuah.
“Bagi majlis yang pertama kali dianjurkan, jumlah kehadiran ini tetap dianggap
baik. Saya faham, masing-masing ada komitmen sendiri menyebabkan mereka tak
dapat datang.
“Saya merancang untuk menjadikan majlis ini acara tahunan dengan harapan lebih ramai akan dapat hadir pada masa akan datang.
“Malah, sudah ada cadangan supaya kami menganjurkan hari keluarga. Saya terbuka kepada apa saja cadangan demi mengukuhkan silaturahim dalam generasi Saad dan Maimunah,” ujar Azizudeen. - KitaReporters


EMPAT generasi hadir pada Himpunan Waghih Saad & Maimunah.