Insan & Komuniti 21 Nov, 2023

Nasihat bagi warga emas! Usah duduk sendirian di rumah! Bersosial, jumpa kawan! Jangan lupa senam!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Peserta Bengkel Penjagaan Kesihatan Warga Emas bergambar kenangan bersama Dr Khatijah Hasanah Abang Abdullah (duduk, dua dari kanan), Dr Tengku Amatullah Madeehah Tengku Mohd (duduk, dua dari kiri), Dr Norshidah Mohammed Salleh (duduk, kiri) dan Cikgu Murni Abd Jalil (duduk, kanan).


"WARGA emas yang bersara usah duduk sendirian di rumah, pergi bersosial, jumpa kawan-kawan, masuk persatuan, jadi sukarelawan atau berjemaah di masjid  dan sesekali boleh keluar minum dengan rakan-rakan lama untuk memberi kesegaran kepada otak.

"Jika duduk di rumah tidak buat apa-apa, ia boleh memberi kemudaratan kerana dalam tempoh jangka panjang boleh menyebabkan stres dan kemurungan selain berisiko mendapat pelbagai jenis penyakit.

"Banyak kes warga emas apabila bersara, mereka hanya duduk di rumah dengan memberi alasan kononnya untuk berehat selepas mengerah kudrat berpuluh-puluh tahun bekerja tapi hakikatnya ia tidak baik untuk diri mereka," kata Pakar Kesihatan Warga Emas, Universiti Sains Malaysia (USIM), Dr Tengku Amatullah Madeehah Tengku Mohd di Bengkel Penjagaan Kesihatan Warga Emas di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor. 


Dr Tengku Amatullah Madeehah Tengku Mohd


Bengkel itu dirasmikan Nazir Masjid Al-Hasanah, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman. Turut hadir, Imam Masjid Al-Hasanah, Ustaz Mohd Salman Salleh, Ketua Biro Muslimat, Dr Norshidah Mohammed Salleh, Setiausahanya, Cikgu Murni Abd Jalil dan Bendahari, Datin Putri Melor Kadir. 

Dr Tengku Amatullah berkata, bagi menjaga kesihatan supaya sentiasa bertenaga, warga emas disaran lakukan aktiviti bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu atau dua kali seminggu supaya otot aktif dan bertenaga selain mengelak daripada mudah terjatuh.

"Lakukan senaman ringan seperti berjalan sekitar taman atau tasik, regangan yang mudah di rumah dengan menggerakkan badan ke kiri dan kanan atau mengangkat kaki untuk tempoh 10 saat ketika duduk di kerusi.

"Lakukan secara berterusan dan jika aktiviti ini dapat diamalkan secara berkala, insya-Allah tubuh jadi sihat, otak akan berfungsi dengan baik selain melambatkan proses penuaan dan kematian," katanya.


Peserta Bengkel Penjagaan Kesihatan Warga Emas diajar bagaimana melakukan gerakan mudah untuk menguatkan otot lengan dan tubuh.


Dr Tengku Amatullah juga meminta warga emas mengambil protein untuk diet mereka bagi menguatkan otot dan mengelak jangkitan penyakit. Selain itu, banyak minum air untuk menjaga buah pinggang dan bahagian anggota tubuh yang lain.

"Ambil makanan sunah seperti madu, sekurang-kurangnya dua sudu sehari dan buah-buahan tempatan, contohnya manggis, ulam raja dan petai kerana ia mempunyai antioksidan yang tinggi dan baik untuk tubuh. 

"Ambillah vitamin untuk membantu menambah kekurangan zat dalam tubuh seperti Vitamin C dan kalsium untuk tulang selain sesekali pergi mendapatkan khidmat fisioterapi untuk mendapatkan tahap kesihatan yang mantap.

"Saya juga menggalakkan warga emas tidur sekurang-kurangnya tujuh atau sembilan jam. Amat penting dalam usia emas mereka cukup tidur kerana ketika tidur, tubuh membina semula kekurangan dan kerosakan yang berlaku dan apabila bangun kita akan segar," katanya.

Dr Tengku Amatullah menunjukkan alat bantuan bagi melakukan aktiviti senaman di rumah bagi warga emas.


Bagi Pakar Psikiatrik USIM, Dr Khatijah Hasanah Abang Abdullah, warga emas perlu sentiasa peka dengan kesihatan mental kerana ia ibarat pusat kawalan yang mengawal keseluruhan anggota tubuh. Komputer tidak boleh berfungsi jika CPU rosak!

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati lebih 236 daripada 100,000 orang di seluruh dunia yang berusia 45 hingga 64 tahun menderita penyakit mental.

"Antara penyakit mental yang selalu membabitkan warga emas ialah bipolar, keresahan, paranoia, skizofrenia, gangguan makan, insomnia dan tekanan perasaan atau depresi.

Dr Tengku Amatullah memberi panduan bagaimana melakukan senaman mengangkat kaki yang mudah untuk penjagaan kesihatan bagi warga emas.


"Ada warga emas yang mudah lupa terutama untuk mengingati hari dan nama, proses emosi dan pemikiran semakin merosot dan kecerdasan otak semakin berkurangan untuk menyelesaikan sesuatu yang baru.

"Langkah pencegahan yang mudah bagi warga emas ialah berpegang teguh kepada ajaran agama, melakukan aktiviti rekreasi, mengambil pemakanan yang seimbang dan teratur, bersenam dan melakukan kegiatan fizikal seperti berjalan kaki.

"Jika ada simptom penyakit kronik seperti kencing manis atau tekanan darah tinggi, dapatkan rawatan awal untuk mengelak ia menjadi lebih parah dan memberi kesan kepada kesihatan mental," katanya.

Dr Khatijah Hasanah Abang Abdullah


Sementara itu, Dr Norshidah gembira dengan sambutan baik warga emas terhadap bengkel itu dan ia bukti mereka amat prihatin mengenai kesihatan diri selepas bersara.

"Sebelum Bengkal Penjagaan Kesihatan Warga Emas ini, kami ada mengadakan ceramah kesihatan mengenai sakit lutut dengan menjemput pakar tulang daripada Hospital Azzahra. 

"Program berkaitan kesihatan bagi memberi kesedaran dan pengetahuan pentingnya menjaga kesihatan supaya jemaah masjid yang kebanyakan warga emas mengekalkan kesihatan untuk beribadah dengan sempurna dan meneruskan kehidupan untuk tempoh lebih lama.

"Insya-Allah, Biro Muslimat Masjid Al-Hasanah akan mengadakan program berkaitan penjagaan kesihatan di masa depan dengan menjemput pakar-pakar dalam disiplin berbeza selain menganjurkan pemeriksaan kesihatan percuma," katanya. - KitaReporters


Dr Norshidah Mohammed Salleh


24
16
0
20
1
You will be interested