Insan & Komuniti 20 Jan, 2024

Demi insan tersayang! Adik beradik sertai Pink October Run! Sokong kempen kesedaran kanser payudara!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this


KEMATIAN insan tersayang dalam keluarga akibat kanser meninggalkan kesan mendalam terhadap seluruh keluarga ini. Pemergian adik tercinta selepas beberapa tahun berjuang melawan kanser ovari berakhir dengan pilu pada awal tahun lalu (2023). 

Ini mendorong enam beradik menyertai acara larian santai bagi menyokong kempen kesedaran kanser payudara anjuran Hospital Columbia Asia cawangan Bukit Rimau, baru-baru ini.

Danial Tan Soo Liang, 59, dari Eco Sanctuary, Kota Kemuning, Shah Alam menyertai acara larian Columbia Asia Pink October Run 2023 bagi menyokong kempen kesedaran kanser payudara anjuran hospital tersebut. Menariknya beliau menyertai acara larian santai itu bersama adik beradiknya seramai enam orang.


ENAM beradik menyertai acara larian santai bagi mengenang adik mereka, Cecilia Tan yang meninggal dunia akibat kanser ovari pada tahun lalu.


Katanya, mereka memutuskan untuk menyertai acara larian sejauh lima kilometer itu bagi mengenang adik perempuan mereka yang meninggal dunia akibat kanser ovari pada awal tahun lalu.

“Adik perempuan kami, Cecilia Tan meninggal dunia pada usia 49 tahun semasa mendapatkan rawatan di hospital ini.

 "Jadi, kami sepakat menyertai  larian ini sebagai tanda ingatan kasih sayang kami terhadap mendiang,” katanya ketika ditemui selepas acara larian tamat di perkarangan hospital. 

Acara larian santai Columbia Asia Pink October Run 2023 itu berlangsung di Hospital Columbia Asia cawangan Bukit Rimau.

Larian anjuran bersama  Red Adventure Sdn Bhd itu disertai hampir 700 peserta daripada pelbagai kaum dan peringkat usia. 

Bermula pukul 7 pagi, ia diadakan sempena bulan kesedaran kanser payudara bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkenaan kanser payudara.

Sementara itu, penyampaian sumbangan kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payudara atau Breast Cancer Welfare Association (BCWA) dan Pertubuhan Hospis Klang disempurnakan oleh Pengurus Besar Wilayah, Hospital Columbia Asia cawangan Bukit Rimau, Petaling Jaya dan Seremban, Lee Hui Chuen. Turut hadir Pengarah Urusan Red Adventure Sdn. Bhd, Narimah Samat. 


DANIEL TAN SOO LIANG menunjukkan baju-T yang dicetak khas untuk mendiang adiknya.


Dalam pada itu, peserta cilik berusia setahun sembilan bulan, Nurfatimah Az-Zahra Muhammad Rafiuddin bertuah kerana memiliki ibu bapa yang aktif menyertai acara larian seperti ini. 

Bapanya, Muhammad Rafiuddin Ramli, 30, berkata, beliau dan isterinya, Nurul Farah Farhana Mohd Rais, 30, selalu menyertai apa sahaja aktiviti sihat yang bermanfaat kepada kesihatan. 

“Kami selalu join (sertai) aktiviti sihat macam ini. Kami tak kejar hadiah untuk menang, sebaliknya saja suka-suka menyertai acara seperti ini,” kata Muhammad Rafiuddin.

Norabian Hamzah pula berkata, beliau tidak keseorangan memeriahkan acara larian itu kerana rakan-rakan lain turut menyertainya.

“Saya dan rakan-rakan dari kejiranan berdekatan tempat tinggal saya di Jalan Kebun memang sentiasa bersama menyertai acara larian seperti ini.

“Lebih seronok dapat berlari bersama rakan-rakan yang sudah lama kenal, selain dapat berkenalan dengan peserta lain yang akhirnya menjadi rakan,” katanya lagi. 

Acara penuh warna-warni dengan kesemua peserta menyarung baju-T berwarna merah jambu itu diakhiri dengan cabutan nombor bertuah yang menyediakan hadiah antaranya ialah basikal, telefon bimbit, TV LED dan tiket penerbangan ke Kuching, Sarawak. - KitaReporters


LEE HUI CHUEN (kanan) menyampaikan hadiah cabutan nombor bertuah kepada seorang peserta larian santai.

10
13
0
10
0
You will be interested