Insan & Komuniti 09 Dec, 2025

Bakat dikesan seawal usia 13 tahun! Tanpa kelas profesional! Remaja 15 tahun kuasai solekan khas!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. đź“§: [email protected]

Share this

Tidak ramai remaja seusia 15 tahun mampu menghasilkan solekan kesan khas (special effects makeup) yang realistik dan menyeramkan. 

Namun seorang pelajar dari SMK Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad di Kuantan, Pahang Darul Makmur ini berjaya mencuri perhatian dengan bakat luar biasanya.


Sejak usia  13 tahun lagi, Hilmiyyah menunjukkan bakat dalam solekan khas. 


Pelajar yang dimaksudkan ialah Nuur Zafeerah Hilmiyyah Mahayudin, atau mesra dipanggil Hilmiyyah, yang kini menyambung pelajaran dalam Tingkatan Tiga. 

Bakatnya bukan baharu muncul, sebaliknya mula dikesan ketika dia baru menjejakkan kaki ke tingkatan satu pada usia 13 tahun.

Tidak seperti solekan biasa yang menekankan kecantikan wajah, solekan khas memberi fokus kepada transformasi dramatik seperti luka, parut, wajah reput, kulit terbakar dan watak fantasi. 

Ia sering digunakan dalam pembikinan filem, teater dan sambutan bertema seperti Halloween.


Adik, sebagai subjek solekan khas.


Sementara solekan biasa memerlukan asas kosmetik seperti foundation, pembayang mata dan gincu. Tetapi solekan khas pula menuntut kreativiti, kefahaman tekstur kulit serta teknik mencipta ilusi visual. 

Pendek kata, ia bukan kerja mudah, apatah lagi bagi seorang pelajar sekolah. Namun bagi Hilmiyyah, bidang ini bagaikan dunia yang menyeronokkan untuk diterokai.

Segalanya bermula apabila Hilmiyyah sering menonton video solekan Halloween dalam YouTube. Setiap transformasi wajah yang ditampilkan memberi inspirasi kepadanya untuk mencuba sendiri.



“Dulu saya tengok YouTube saja. Lama-lama rasa nak cuba. Jadi saya buat dekat adik dulu,” katanya sambil tersenyum.

Percubaan awal itu rupa-rupanya membuka pintu kepada satu bakat yang tidak disangka. 

Di sebalik setiap bakat hebat, pasti ada sokongan kuat. Bagi Hilmiyyah, keluarganyalah tulang belakang terbesar. Mereka bukan sahaja menghargai minatnya, malah menyediakan keperluan asas untuknya berkarya.


Hanya menggunakan bahan asas, namun kelihatan realistik.


Menariknya, Hilmiyyah tidak menggunakan bahan profesional. Hanya kapas, air, pewarna makanan dan madu. Walaupun ringkas, hasilnya tetap memukau.

“Barang pun bukan yang mahal. Tapi dia kreatif. Kami belikan saja supaya dia terus berkarya,” kongsi ibunya.

Setakat ini, karya paling meninggalkan kenangan buat Hilmiyyah ialah solekan khas pada wajah ibunya sebagai Nenek Bongkok Tiga yang menyeramkan. 

Solekan itu bukan sekadar tontonan keluarga, tetapi turut membawa kejayaan apabila memenangi tempat ketiga dalam sebuah majlis makan malam ibunya.


Watak Nenek Bongkok Tiga berjaya mendapat tempat ke-3 dalam sebuah majlis makan malam.


Hasil kerja penuh perincian itu membuktikan bakat remaja ini bukan biasa-biasa. 

Untuk menyiapkan satu solekan khas, Hilmiyyah memerlukan kira-kira satu jam. Tempoh itu dianggap singkat dalam dunia solekan khas, namun cukup untuk membuktikan ketelitian dan fokusnya.

Walaupun aktif menghasilkan solekan khas, Hilmiyyah menegaskan minat ini tidak pernah mengganggu pelajarannya.

“Tak ganggu belajar. Buat masa lapang saja,” katanya ringkas.


Nenek Bongkok Tiga hasil kreativiti Hilmiyyah.


Menariknya, bakat unik Hilmiyyah masih belum diketahui guru-guru sekolahnya. Hanya rakan-rakan sekelas yang mengetahui kebolehannya.

Bagi Hilmiyyah, solekan khas hanyalah hobi. Dia tidak bercita-cita ke arah profesion tertentu dalam bidang ini. 

Namun cabaran yang dihadapinya terutama menyiapkan perincian kecil untuk menjadikan solekan realistik, jelas menunjukkan potensi besar untuk pergi lebih jauh.



Dalam era media sosial, bakat seawal usia remaja seperti Hilmiyyah bukan lagi sesuatu yang pelik, tetapi sesuatu yang harus diraikan dan disokong. 

Hilmiyyah membuktikan bahawa kreativiti tidak mengenal usia. Dengan hanya berbekalkan bahan asas rumah dan video YouTube, seorang pelajar tingkatan tiga mampu menghasilkan solekan khas setanding karya dewasa yang berpengalaman.

Barangkali hari ini hanya sekadar hobi, namun siapa tahu suatu hari nanti Hilmiyyah bakal menjadi jurusolek khas profesional yang melakar nama dalam industri perfileman tanah air. 

Generasi muda seperti inilah yang patut diberikan perhatian, berbakat, kreatif dan berani mencuba sesuatu yang di luar kebiasaan. - KitaReporters


Bakat terpendam Hilmiyyah tidak diketahui guru. Hanya rakan-rakan sekolah sahaja yang tahu.


15
4
0
15
0
You will be interested