Insan & Komuniti 29 Dec, 2025

Masih Ada Yang Sayang! Selebriti media dan bikers santuni anak yatim! Penghuni Rumah Kasih Harmoni!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Menyantuni anak yatim merupakan amalan mulia dalam Islam kerana mendatangkan pahala yang besar termasuk dijanjikan tempat di syurga bersama Rasulullah SAW, malah mengusap kepala anak yatim dapat menghapuskan dosa.


Yantzen Juniwan menghiburkan anak yatim dengan beberapa lagu popularnya.


Manakala memberi mereka makan dan minum menjamin syurga kerana ia merupakan sedekah yang sangat disukai Allah SWT di samping mencontohi sunah Rasulullah SAW. 

Amalan itu pula bukan sekadar memberi wang tetapi juga kasih sayang, pendidikan serta tempat tinggal.

Menjaga kebajikan golongan seperti anak yatim yang kehilangan ibu bapa selaras dengan ajaran Islam menekankan kasih sayang dan keadilan sosial, malah ia secara tidak langsung melahirkan masyarakat lebih penyayang serta bertanggungjawab.


Seri Sarima, Yantzen dan beberapa bikers mengagihkan makanan kepada anak yatim.


Tersentuh dengan kisah kehidupan anak yatim Anita Entertainment & Productions mencetuskan suasana ceria dan kegembiraan dengan menyantuni penghuni Rumah Kasih Harmoni Anak-Anak Yatim dan Asnaf di Kampung Paya Jaras Dalam, Sungai Buluh, Selangor, pada 21 Disember 2025.

Pengarah Urusannya, Anita Yusop, berkata projek itu merupakan kesinambungan Program Santai Selebriti Media dan Bikers ‘Masih Ada Yang Sayang’.

Untuk rumah anak yatim berkenaan, dia menjemput rakan artis serta selebriti bagi menyantuni penghuni di situ seperti Mikail dari kumpulan School Band, Saiful @ Epul, Yantzen Juniwan (Rusty Blade), dan Seri Sarima dan Alif.

Tambahnya, kehadiran mengejut Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan @ Toqqi secara tidak langsung menghidupkan lagi kemeriahan program penuh syahdu dan terharu apabila melihat telatah anak yatim yang terlalu merindui kemesraan serta kemanjaan seorang ibu atau bapa.


Nadzim Johan (dua dari kiri), Anita Yusop (kanan) bergambar bersama-sama bikers Iron Heart MC.


Menurutnya, suasana menjadi riuh rendah dan menggamatkan dengan kemunculan kumpulan motosikal berkuasa tinggi yang turut memberikan sumbangan barangan peralatan sekolah antaranya bikers kumpulan Iron Heart MC dari Perak serta Kuala Lumpur, SBK Kingdom Bikers hadir bersama Penasihatnya, Dato’ Ir Ts Abdul Manaf Hanafi, Predator Labuan dan Wak Muji Bikers, Johor.

“Program ini yang turut diserikan dengan persembahan seni silat dan tarian oleh anak yatim dan asnaf rumah berkenaan bagi memberi kesedaran kepada semua untuk sentiasa menghargai dan berkeprihatinan terhadap mereka yang memerlukan pembelaan serta sokongan,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu, Pengetua rumah berkenaan, Jamal Mohamad dan Naib Presiden Cyber Security (Unikod), Shakira Abdullah untuk memberi sokongan serta menyantuni anak yatim dan asnaf.


Mikail School Band, Yantzen dan Anita berswafoto bersama anak yatim diberi peluang menaiki motosikal berkuasa tinggi.


Anita berkata, dianggarkan 100 tetamu yang hadir pada program santai itu berasa amat terusik melihat kesayuan dan keadaan kehidupan anak yatim berkenaan kerana pengakhiran nanti sudah pastinya banyak teladan dan kisah yang boleh dikongsikan bersama masyarakat. 

Menurutnya, syarikat itu akan meneruskan program jelajah kembara kemanusiaan di samping pelbagai kempen terutama menyuntik dan mendedahkan kesedaran kepada masyarakat atau komuniti yang dikunjungi mengenai sumbangan boleh dilakukan.

Jelasnya, sejak 12 tahun lalu hingga sekarang syarikat itu sudah menjelajah seluruh Malaysia dan Borneo bagi meneruskan misinya kemanusiaan bersama kumpulan artis dan kelab atau persatuan bikers ingin bersama-sama meringankan bebanan mereka ditimpa musibah bagi meneruskan kehidupan.


Sebahagian anak yatim tidak melepaskan peluang menaiki motosikal berkuasa tinggi. 


“Program di rumah anak yatim ini menjadi pembuka siri seterusnya untuk tahun 2026 dan kami di syarikat akan melakukan penambahbaikan terutama mengenal pasti bentuk bantuan yang memberi manfaat serta menepati sasaran.

“Untuk program ini syarikat mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak yang sentiasa bersama dalam kerja amal kebajikan seperti Restoran Siti Zubaidah, Pasta7, Gadys Matchaa, AFC Malaysia @ AFC Food & Services Sdn Bhd, Adamsofia Transportation Service@Great Firash Travel & Tour Sdn bhd,” ujarnya. - KitaReporters

20
10
0
15
0
You will be interested