PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menolak cadangan untuk papan tanda di negara ini dipaparkan dalam pelbagai bahasa. Beliau menyifatkan langkah tersebut sebagai tidak perlu.

Tidak perlu dalam pelbagai bahasa. Memadai dalam bahasa Melayu sahaja, kata PM.
Ini kerana kemudahan papan tanda yang ada sekarang dalam bahasa Melayu sudah memadai. Tidak perlu untuk menambah dengan pelbagai tulisan lain seperti Arab, Cina, Tamil, Hindi dan sebagainya.
Perdana Menteri menegaskan demikian pada sesi pertanyaan di Dewan Rakyat pada 14 Oktober 2025 lalu.
Beliau menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Teberau) yang mencadangkan kerajaan menimbang mengadakan papan tanda dalam pelbagai bahasa. Alasannya bagi menjadikan Malaysia lebih mesra pelawat.
Penulis setuju dengan pandangan perdana menteri. Apa yang disuarakan oleh wakil rakyat itu bukan keperluan mendesak.
Tulisan dalam Bahasa Melayu sudah mencukupi kerana rakyat negara ini sepatutnya boleh membaca dalam Bahasa Melayu.
Jadi untuk apa perlu ditambah pelbagai tulisan?
Alasan untuk kemudahan pelancong asing, dan supaya Malaysia dilihat lebih mesra pelawat, sukar diterima. Ini kerana semua kemudahan perlu, termasuk memahami tulisan papan tanda, telah disediakan.

Di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) papan tanda dalam bahasa Melayu turut diiringi bahasa Inggeris sebagai panduan kepada pelancong luar.
Misalnya, di lokasi kemasukan pelancong asing seperti lapangan terbang, disediakan kemudahan panduan dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa.
Selain itu kakitangan lapangan atau ‘ground crew’ juga ada di lapangan terbang, sedia
membantu pelancong serta memastikan keperluan mereka dilayani dan dipenuhi
sebaik mungkin.
Pernahkah
kita terfikir berapa ramai pelancong datang ke negara ini saban masa dari
pelbagai negara yang bertutur dalam pelbagai bahasa? Ada dari China, India, Arab,
Peranchis, Iran, Jepun, Korea, Australia, Kanada dan banyak lagi.
Adakah kerana itu perlu disediakan papan tanda untuk setiap mereka?
Penulis fikir tidak mungkin mampu pihak berkuasa berbuat demikian. Bayangkan berapa besar papan tanda perlu disediakan untuk tujuan tersebut. Itu pun tidak akan mencukupi.

Di tempat lain pun tidak berbuat demikian. Sebagai contoh, pernahkah melihat bahasa Melayu pada papan tanda di Jepun, China, Denmark, United Kingdom atau mana-mana bandar besar di dunia? Pernahkan melihat tulisan Hindi atau Tamil di Indonesia?
Oleh itu tidak perlu tulisan Cina, Tamil, Urdu, Persia dan sebagainya pada papan tanda di Malaysia.
Malaysia harus berpegang kepada identiti sendiri. Pelancong yang tidak memahami tidak perlu bimbang. Bantuan sentiasa diberi agar mereka selesa berada di negara ini.
Tanpa papan tanda pelbagai bahasa pun, Malaysia dikenali sebagai destinasi pelancongan dengan slogan ‘Malaysia Truly Asia’, juga ‘Kenali Malaysia Cintai Malaysia’. Sejak sekian lama Malaysia memang mesra pelancong dan sentiasa mengalu-alukan kedatangan mereka.

Papan tanda jalan yang menimbulkan kontroversi suatu ketika dahulu kerana turut menggunakan bahasa lain selain bahasa Melayu.
Menyentuh isu papan tanda ini, penulis berpendapat apa juga papan tanda tidak perlu pelbagai bahasa, cukup sekadar bahasa Melayu. Pernah satu ketika timbul kontroversi kerana ada papan tanda nama jalan yang diiringi tulisan bahasa lain.
Di beberapa negeri tertentu tulisan Jawi juga diguna. Bagi penulis ini tidak mengapa kerana tulisan itu sebahagian bahasa Melayu dan wajar dimartabat.

Negeri Johor antara negeri yang menggunakan tulisan Jawi pada papan tanda jalan, selain tulisan rumi.
Premis seperti gedung perniagaan, kedai, pejabat, industri dan lain-lain wajar menggunakan papan tanda dalam Bahasa Melayu. Tidak perlu bermacam-macam tulisan sehingga tiada keseragaman.
Akibatnya, kita boleh lihat bermacam-macam papan tanda perniagaan hari ini direka bentuk menurut kemahuan pemilik sehingga mencacatkan keadaan, menyakitkan mata memandang.
Diharap isu papan tanda dalam pelbagai bahasa ini tidak lagi ditimbulkan setelah kenyataan tegas Anwar.
Usah menonjolkan sesuatu yang tidak perlu. Sebaliknya berbanggalah dengan tulisan dan bahasa negara sendiri. - KitaReporters