Insan & Komuniti 29 Jan, 2026

Diari Mama Masscom| Caregiver pesakit mental pun boleh jadi pesakit mental! Alami stres, keletihan!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

Kita biasa dengar kata-kata seperti ini: "kalau kita jaga orang sakit mental, lama lama kita pun boleh jadi gila." 

Sebenarnya kenyataan ini bukan hanya cakap cakap kosong tapi telah dibuktikan melalui kajian ilmiah oleh beberapa pihak Universiti.  


Gambar hiasan... Penjaga pesakit  mengalami tekanan emosi tinggi 

Kajian dari universiti tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan ramai caregiver pesakit mental mengalami tekanan emosi tinggi, kebimbangan (anxiety), kemurungan dan keletihan mental.  

Dalam kajian tempatan yang lain pula, ada menyatakan tahap bebanan penjaga didapati tinggi merujuk kepada tempoh penjagaan yang lama, simptom pesakit yang tidak stabil serta kekurangan sokongan sosial dan kewangan.

Dalam kajian itu juga, penyelidik turut menggambarkan caregiver sebagai “secondary patients”, iaitu individu yang tidak didiagnosis sebagai pesakit atau pesakit sekunder, tetapi menunjukkan simptom gangguan mental akibat tekanan penjagaan kronik. 

Ini membuktikan bahawa masalah ini bukan sekadar “penat” atau “stres biasa”, tetapi satu risiko kesihatan mental yang nyata . Malangnya, sehingga hari ini, sistem sokongan kepada caregiver di Malaysia masih lemah dan bersifat terpisah.



Dalam kaitan yang sama apa yang kita lihat masa kini isu kesihatan mental di Malaysia sering dibincangkan dari sudut pesakit, namun satu golongan penting ini masih terpinggir dan terlepas pandang. 

Mereka adalah caregiver atau penjaga pesakit. Penjaga bukan sahaja membantu proses rawatan, tetapi tanpa mereka sedari mereka sendiri berisiko tinggi mengalami gangguan kesihatan mental  dan pelbagai penyakit yang lain, akibat beban penjagaan yang berpanjangan.

Menjaga pesakit mental seperti skizofrenia, bipolar atau kemurungan teruk bukan tugas sementara. Ia memerlukan pemantauan emosi, pengurusan tingkah laku, urusan rawatan, kos kewangan serta pengorbanan masa dan tenaga setiap hari.  

Tanpa sokongan yang mencukupi, daripada ahli keluarga yang lain, masyarakat dan pihak-pihak tertentu termasuk kerajaan dan pembuat dasar, tekanan ini boleh memberi kesan serius kepada kesihatan mental penjaga.

Dalam hal ini kebanyakan bantuan hanya tertumpu kepada pesakit, sedangkan penjaga yang berada bersama pesakit setiap hari terpaksa menanggung tekanan secara senyap dan jarang didengar keluhan dan rintihan mereka.


Gambar hiasan....  Menjaga pesakit tidak mudah 


Menjaga pesakit mental tidak mudah. Ramai caregiver terpaksa berhenti kerja, kehilangan pendapatan, berdepan stigma masyarakat, mengehadkan kebebasan bersosial dan berinteraksi serta mengorbankan kesihatan diri sendiri.

Jika keadaan ini dibiarkan, ia bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan caregiver, malah boleh menjejaskan kualiti penjagaan pesakit itu sendiri. 

Pesakit tidak mungkin pulih dalam persekitaran di mana penjaganya keletihan, tertekan dan tidak disokong. 

Bila penjaga juga sakit, pesakit mental tidak dapat dijaga dengan baik, terutama dari segi ubat dan rawatan hospital. Oleh demikian, sudah tiba masanya kerajaan mengiktiraf caregiver pesakit mental sebagai kumpulan berisiko dalam dasar kesihatan awam. 

Antara langkah segera yang perlu dipertimbang ialah, saringan kesihatan mental berkala untuk caregiver, sokongan kaunseling dan psikososial khusus, bantuan kewangan atau elaun penjaga, pusat rehabilitasi dan sokongan komuniti yang mampu diakses.

Kesihatan mental negara tidak boleh dibina hanya dengan merawat pesakit. Menjaga kebajikan penjaga kepada pesakit mental juga sebahagian daripada rawatan. Ia umpama rawatan dua dalam satu. 


Gambar hiasan... Menjadi penjaga sakit bukanlah satu pilihan


Justeru kita tidak boleh bercakap tentang pemulihan pesakit mental, selagi penjaga dibiarkan berhadapan dengan pelbagai kesukaran dan keletihan berjuang  tanpa sokongan. 

Menjadi penjaga sakit mental bukanlah satu pilihan, Ia adalah satu keperluan kemanusiaan. 

Jika caregiver runtuh, keseluruhan sistem sokongan pesakit juga akan runtuh. Negara akan turut terasa tempiasnya juga. - KitaReporters

5
8
0
5
0
You will be interested