Insan & Komuniti 29 Jan, 2026

Akibat pembakaran sampah terbuka! Belukar dan lalang 0.81h terbakar! Lebih 2 jam untuk padamkan!

Share this

 

Acap kali kita lihat di kampung-kampung malahan di kawasan perumahan bandar juga penduduk suka membakar sampah secara terbuka dengan alasan untuk membakar daun-daun kering bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes.



Namun, pembakaran terbuka yang dilakukan dalam cuaca yang kering dan panas serta tanpa kawalan akan mengakibatkan pembakaran yang lebih besar dan boleh membahayakan nyawa.

Pada 27 Januari 2026, satu kebakaran belukar seluas hampir 0.81 hektar telah berlaku Kampung Masyarakat Jasa, Pagoh, Muar pada sebelah malam di mana dipercayai telah berlaku pembakaran secara terbuka.

Ketua Balai Bomba Pagoh, PKPgB Mohd Fadli Ismail mengesahkan kejadian dan memberikan lebih banyak maklumat mengenai kejadian yang berlaku.



Menurut beliau, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 8.06 malam pada hari kejadian (27 Januari 2026).

"Setibanya di lokasi, terdapat kebakaran melibatkan lalang dan belukar dengan keluasan dianggarkan sekitar 0.809 hektar.

"Pihak bomba telah melaksanakan kerja-kerja pemadaman menggunakan dua pancutan air serta satu aliran hose sepanjang 500 kaki yang disambungkan daripada jentera bomba dan pili bomba berdekatan sehingga kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya.

"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut," katanya ketika mengesahkan kejadian.

Mujur kebakaran berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya setelah lebih dua jam operasi dijalankan.

"Punca kejadian dipercayai daripada pembakaran sampah yang tidak dikawal di kawasan berkenaan.

"Pihak bomba menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada serta mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelakkan risiko kebakaran, khususnya dalam keadaan cuaca kering," kongsi Mohd Fadli.



Seramai tujuh orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh telah digerakkan bersama satu jentera ke lokasi kejadian yang diketuai Komander Operasi, PBK Husaini Eddy Mustafa.

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10.28 malam selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal.

Pihak bomba menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dan mengambil berat tentang kecuain akibat pembakaran terbuka ini boleh mengakibatkan kesan yang serius.


 


“Kecil-kecil menjadi kawan, sudah besar menjadi lawan”, itulah bidalan yang boleh dikaitkan dengan pembakaran yang tidak terkawal. 

Kerja-kerja pemadaman api ini sukar untuk dilakukan jika api sudah marak terutama sekali di kawasan terbuka dengan cuaca kering dan berangin. - KitaReporters

11
12
0
14
0
You will be interested