Insan & Komuniti 09 Nov, 2025

Gelandangan di KL! Realiti di sebalik pembangunan! Kolej komuniti didik pelajar rasa syukur, empati!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

"Saya sering menggambarkan Kuala Lumpur bandar raya moden yang penuh peluang dan kemewahan. Namun, di sebalik gemerlapan lampu malam dan deretan bangunan pencakar langit, wujud satu sisi kehidupan yang jarang diperkatakan iaitu kehidupan golongan gelandangan yang bertarung meneruskan hidup setiap hari.


Sukarelawan Kolej Komuniti Shah Alam menyantuni gelandangan yang terdiri daripada golongan Orang Kurang Upaya.


"Pengalaman pertama menyaksikan situasi gelandangan di ibu kota ketika bas kami berhenti di Jalan Tuanku Abdul Rahman memang mengejutkan. Ada beberapa gelandangan tidur beralaskan kotak, bertemankan beg lusuh dan sehelai selimut nipis.

"Ada yang menjamah makanan diberikan oleh sukarelawan NGO. Pemandangan itu sungguh mengejutkan dan menyentuh hati, memang sukar dipercayai di tengah-tengah kota serba moden, masih ada insan tidak punya tempat berteduh," kata Pegawai Pembangunan Pelajar, Kolej Komuniti Shah Alam, Selangor, Rohayu Azali.


Rohayu Azali


Beliau hadir bersama 30 pelajar kolej komuniti yang menjadi sukarelawan dan bergabung bersama aktivis masyarakat, Kelana Putra Muhamad untuk menyantuni golongan gelandangan dan kemiskinan bandar di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Program kemasyarakatan itu membawa 450 pek makanan kering seperti roti dan biskut, 300 set kit kebersihan diri seperti berus dan ubat gigi, 60 pek tuala wanita, air mineral dan 30 pek jajan untuk kanak-kanak di sekitar kawasan terbabit.

Aktiviti ini bukan sekadar menghulur bantuan tetapi menyemai nilai kasih sayang, empati dan semangat kebersamaan dalam diri warga Kolej Komuniti Shah Alam. 

Walaupun ia sekadar usaha kecil ini tapi usaha itu mampu membawa senyuman dan harapan kepada mereka yang memerlukan.


Seorang warga emas menerima barangan makanan dan set kebersihan diri daripada sukarelawan Kolej Komuniti Shah Alam, Selangor.


"Program kebajikan ini memberi pengalaman berharga kepada pelajar kami yang kebanyakannya pertama kali hadir ke ibu kota untuk aktiviti menyantuni dan mengenali lebih dekat kehidupan golongan gelandangan di Kuala Lumpur.

"Program berkonsepkan tanggungjawab sosial (SR) itu mahu memupuk rasa keinsafan dan keprihatinan terhadap mereka yang kurang bernasib baik, di samping mendidik generasi muda lebih menghargai nikmat keselesaan yang dinikmati dalam kehidupan seharian," katanya.

Bagi Timbalan Pengarah Kolej Komuniti Shah Alam, Selangor, Enarnaynaney Ibrahim, peluang menyantuni golongan gelandangan di ibu kota pengalaman sukar dilupakan dan ia memberi kesempatan kepada pelajar termasuk anak-anak saya melihat sendiri keadaan mereka yang bergelut meneruskan hidup di tengah-tengah kesibukan bandar raya.


 Enarnaynaney Ibrahim


Beliau berharap anak-anaknya dan pelajar kolej akan mendapat pengalaman berguna dan insaf bahawa di sebalik kemewahan kota, masih ada insan yang tidur beralaskan simen dan bergantung kepada ihsan orang ramai.

"Insya-Allah, program seumpama itu akan diteruskan pada masa hadapan sebagai platform membentuk jati diri pelajar serta menyemai nilai empati dalam kalangan masyarakat.

"Semoga pengalaman ini membuka mata kami untuk lebih bersyukur serta menanam semangat membantu. 

"Selepas ini, kami bercadang mengadakan program ziarah kepada golongan warga emas pula, kebanyakan terlantar di rumah kebajikan," katanya.


Ada gelandangan yang mempunyai anak kecil turut hadir menerima sumbangan daripada Kolej Komuniti Shah Alam.


Wanita dan kanak-kanak antara gelandangan yang beratur untuk mendapatkan sumbangan makanan dan set kebersihan diri pemberian Kolej Komuniti Shah Alam, Selangor.


Beliau mengakui, punca utama kewujudan gelandangan di ibu kota disebabkan kos sara hidup yang tinggi serta kemiskinan bandar. 

Ramai antara mereka kehilangan pekerjaan, tidak mampu membayar sewa bilik atau terputus hubungan dengan keluarga.

"Ada yang bergelut dengan masalah kesihatan mental dan ketagihan sehingga kehidupan di jalanan satu-satunya pilihan yang mereka ada.

"Saya perhatikan selain warga tua, ada juga gelandangan muda yang mungkin dari luar bandar ke Kuala Lumpur mencari rezeki tapi terpaksa hidup di kaki lima akibat kehilangan pekerjaan," katanya.


Karthik A/L Thiagarajan


Sementara itu, Pensyarah Bahasa Inggeris, Kolej Komuniti Shah Alam, Selangor Karthik a/l Thiagarajan berkata, realitinya, isu gelandangan bukan sekadar soal tempat tinggal, tetapi cerminan jurang ekonomi dan sosial yang masih wujud dalam masyarakat.

"Kuala Lumpur mungkin terus membangun namun pembangunan itu tidak bermakna tidak ada rakyat yang tidur berlapik jalanan. 

"Melihat sendiri keadaan ini membuatkan saya sedar bahawa di sebalik kemajuan, keprihatinan dan kemanusiaan menentukan sejauh mana kita benar-benar maju sebagai warga negara.

"Saya berharap usaha kecil kami ini memberi kelegaan kepada golongan gelandangan dan memastikan mereka tidak terus terpinggir. 

"Dalam menuju negara maju, keprihatinan terhadap golongan jalanan adalah lambang kemajuan sebenar, bukan menilai pembangunan melalui bangunan," katanya lagi. - KitaReporters


Penulis (tiga dari kanan) dan Kelana Putra Muhamad (kanan sekali) turut hadir bagi menyokong usaha sukarelawan Kolej Komuniti Shah Alam, Selangor menyantuni golongan gelandangan dan kemiskinan bandar di Kuala Lumpur.  


19
7
0
19
0
You will be interested