Insan & Komuniti 22 Nov, 2025

Video| Babak air mata! 40 tahun berpisah! Anak pulang ke pangkuan ibu di Thailand! Cucu jadi saksi!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Dalam hidup, tidak semua perpisahan datang dengan noktah. Ada yang terhenti pada koma, tergantung, menunggu masa untuk disambung semula. 



Begitulah kisah seorang ibu dan anak yang terpisah lebih empat dekad, sebelum takdir mempertemu mereka kembali melalui keberanian, doa dan sebuah kamera yang merekodkan detik paling bermakna dalam hidup mereka. 

Hubungan darah itu diibaratkan seperti air, biarpun dicencang berkali-kali, ia tidak akan pernah putus. Ia akan tetap mengalir, mencari ruang untuk bertemu semula, walau jauh mana dibawa arus kehidupan. 

Begitulah kisah mereka ini. Apa yang tidak sempat diucapkan, apa yang tidak sempat dijelaskan, semuanya terbiar diam antara dua hati yang merindukan satu sama lain sepanjang empat dekad.

Namun kasih keluarga sentiasa mencari jalannya. Dan akhirnya, jalan itu terbuka melalui sebuah perjalanan pulang yang dirakam oleh si cucu, pemilik akaun TikTok yang berkongsi detik-detik pertemuan semula antara ibu dan neneknya. 

Video tersebut bukan sekadar visual, ia adalah saksi bahawa rindu tidak pernah mati.



Dalam keterangan video, si anak menulis, “I finally met the child's mother”, menandakan tibanya saat yang ditunggu bukan sehari dua, tetapi lebih empat puluh tahun.

Menurut si anak, ibunya pernah membuat keputusan besar sewaktu muda, keputusan yang membawa kepada perpisahan panjang. 

Perkahwinan dengan lelaki yang dicintai ketika itu tidak direstui keluarga. Ibunya kemudian memeluk Islam, berpindah dan membina kehidupan baharu di Malaysia.



Dalam proses itu, hubungan ibu dengan ibunya (nenek) di Thailand terputus perlahan-lahan, bukan kerana melupakan, tetapi kerana terhalang oleh keadaan. 

Isu kewarganegaraan membuatkan ibunya tidak dapat pulang bertahun-tahun lamanya, sehinggalah akhirnya semua urusan itu selesai dan pintu yang tertutup kembali terbuka.

Dalam ruangan komen, ramai yang meluahkan persoalan dan rasa sebak. “Sebab apa terpisah?” tanya salah seorang netizen.



Rata-rata netizen mengikuti kisah ini dengan penuh emosi. Namun, ada juga yang keliru tentang hubungan antara mereka bertiga.

Mommy El, selama 40 tahun terpisah dengan ibu awak, awak terperangkap di mana, di Thailand ke dan ibu awak di Malaysia?” 

Lantas si anak membetulkan, “Bukan saya tapi mak saya dan nenek saya. Mak saya kat Malaysia, nenek saya kat Chiang Mai,” jawabnya lembut.



Dalam video yang ditonton oleh ratusan ribu orang itu dapat dilihat tubuh tua yang menunggu di beranda rumah itu kelihatan menahan sebak. 

Saat anaknya mendekati, tanpa membuang masa dia terus memeluk tubuh anaknya yang pernah hilang di bawah berat sejarah yang tidak pernah diceritakan sesiapa. 

Empat puluh tahun rindu itu pecah pada saat tubuh dua wanita itu bersatu semula dalam pelukan yang lama tertangguh.

Tiada apa yang lebih menyentuh daripada melihat seorang ibu yang akhirnya dapat menyentuh kembali wajah anak yang pernah dibawanya ke dunia. 

Tidak ada ungkapan yang lebih kuat daripada air mata seorang ibu yang mengesat pipi anak perempuannya, seolah-olah mahu menggantikan empat puluh tahun yang tidak dapat dirasai.



Netizen yang mengikuti video tersebut turut tenggelam dalam lautan emosi. Ramai yang berkongsi bahawa mereka menangis bersama. 

Ada yang teringat ibu sendiri. Ada yang menghubungi keluarga selepas menonton. Dan ada yang hanya diam, kerana sebak kadangkala tidak memerlukan kata.

Kisah ini bukan sekadar untuk ditonton tapi ia adalah bukti bahawa kasih sayang tidak mengenal sempadan agama, tidak tunduk kepada peraturan negara dan tidak hilang ditelan masa. 

Kasih ibu tidak pernah hilang.

Dalam dunia yang serba pantas ini, kisah mereka mengingatkan bahawa keluarga adalah nadi yang tidak pernah padam. 

Biarpun dicencang oleh dugaan hidup, kasih yang mengalir itu tetap menghubungkan hati-hati yang ditakdirkan untuk bertemu semula. - KitaReporters



14
13
0
16
0
You will be interested