Di sebalik usaha gigih membanteras ancaman dadah di negara ini, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak menafikan bahawa warganya turut berdepan cabaran besar dari sudut kesihatan mental dan kesejahteraan emosi.

Gambar hiasan... anggota AADK
Menyedari hakikat itu, AADK mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan program khas “Jom Rawat Burnout” bagi membantu kakitangannya menangani keletihan melampau akibat tekanan kerja berpanjangan.
Program selama dua hari pada 10 hingga 11 September 2025 ini di Hotel Mines Resort, Seri Kembangan, bakal menghimpunkan seramai 300 kakitangan AADK dari Zon Tengah, melibatkan pegawai pelbagai peringkat jawatan.
Seminar itu akan dikendalikan oleh pakar Neuro-Linguistic Programming (NLP) terkenal, Dr Hisham Dzakiria, yang juga Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoTwin Step Sdn Bhd.

“Seperti yang saya selalu kongsikan, setiap manusia perlukan rawatan dan sembuh daripada gejala 'burnout' (keletihan melampau) dan kakitangan AADK tidak terkecuali yang rata-rata berdepan dengan tanggungjawab kerja yang berat yakni berkaitan musuh utama negara, dadah.
“Objektif program ini adalah untuk membantu peserta menangani sindrom 'burnout' yang selalunya dialami oleh mereka yang mengizinkan ia berlaku,” ujar Dr. Hisham.
Menurut beliau, sindrom 'burnout' semakin menjadi fenomena normal dalam kalangan pekerja khususnya penjawat awam, namun ramai masih tidak menyedari bahawa ia boleh membawa kesan jangka panjang kepada prestasi kerja dan kesihatan menyeluruh seseorang individu.
Katanya, melalui pengalaman lebih dua dekad dalam bidang pembangunan manusia dan pembinaan kepimpinan, beliau telah membantu ribuan peserta dari pelbagai sektor untuk keluar daripada keletihan mental yang serius melalui pendekatan holistik NLP.
“Program ini bukan sekadar program motivasi atau mitigasi isu 'burnout' tetapi ia program yang digubal bagi mengubah minda, mindset, cara berfikir dan budaya kehidupan peserta yang boleh menjadi game changer dalam rutin harian mereka.
“Bagi 300 peserta AADK Zon Tengah ini, kami menyediakan modul khas yang ini dirangka dengan penuh teliti sebagai satu inisiatif progresif untuk membantu setiap peserta bukan sahaja menangani isu keletihan dan tekanan kerja, malah membina semula kekuatan dalaman serta semangat positif," tambah Dr. Hisham.

Dr. Hisham Dzakiria.
Harapannya, melalui perkongsian pengalaman dan modul yang berimpak tinggi, kakitangan AADK yang hadir itu akan mendapat manfaat untuk menjadi insan yang lebih seimbang, membina budaya kerja yang lebih dinamik, bertenaga serta berdaya saing.
Tambah Dr. Hisham, AADK menunjukkan komitmen luar biasa dalam membina semula tenaga kerja yang lebih dinamik dan seimbang melalui kerjasama strategik ini, yang merupakan kesinambungan kepada program yang pernah dijalankan di Gopeng, Perak pada Julai 2025 lalu.
Program 'Jom Rawat Burnout' bukan sekadar ceramah motivasi, sebaliknya mengandungi modul khas yang dibangunkan oleh EcoTwin Step, menyasarkan perubahan minda dan budaya kerja dalam kalangan peserta.
Ia turut memfokuskan kepada proses pemulihan mental, pembangunan nilai kendiri, pengukuhan spiritual serta pembinaan sikap positif dalam menghadapi tekanan seharian.
“Modul ini kami susun berdasarkan pengalaman lapangan dan pendekatan NLP yang terbukti berkesan. Ia digubal bukan untuk menghibur, tetapi untuk membentuk perubahan tingkah laku secara menyeluruh – cara berfikir, cara bertindak dan cara hidup. Ini yang menjadikannya berbeza daripada program motivasi konvensional,” jelas Dr Hisham.

Majlis perasmian bakal disempurnakan Ruslin Jusoh manakala penyanyi Ayu Damit akan tampil dalam sesi hiburan dan healing.
Majlis perasmian seminar disempurnakan oleh Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin Jusoh yang akan meluangkan masa menyertai sebahagian sesi bersama peserta.
Beliau menyatakan sokongan penuh terhadap usaha memperkasakan aspek kesejahteraan psikologi kakitangan AADK yang menurutnya adalah tulang belakang dalam operasi membanteras gejala dadah.
Program bakal diserikan dengan kehadiran artis jemputan Ayu Damit, yang akan tampil dalam sesi santai bertemakan hiburan dan 'healing', menyuntik elemen relaksasi dalam kalangan peserta selepas sesi intensif latihan. - KitaReporters