Insan & Komuniti 20 Mar, 2024

Terima kasih Aslam, Berjasa Engineering! Bantu Amran cari rezeki! OKU kerja kutip sampah guna troli!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Amran Karno menjadikan kerja angkut sampah sebagai kerjayanya.


Perjalanan hidup seseorang, aturannya sudah tertulis pada lohmahfuz. Namun, tidak bermaksud kita sebagai hamba-Nya, melepaskan tanggungjawab yang tergalas pada bahu. Setiap manusia di muka bumi ini ada tugas masing-masing.

Takdir bukan lesen untuk seseorang goyang kaki. Firman Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat 11, sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubahnya.

Terkadang kekurangan yang ada pada diri, tersimpan 1001 hikmah. Bukankah ujian itu tanda Allah SWT sayang? 

Peranan masyarakat juga memain peranan penting. Jangan jadikan kekurangan seseorang untuk kita menolak apa jua sumbangan dan khidmatnya.

Bagi empunya diri, jadikan kekurangan itu batu loncatan untuk membuktikan kepada orang lain bahawa anda boleh! 

Biar peluh menitis, biar tenaga direnggut, yang penting anda mampu berdikari. Kerja apa sekalipun, asalkan halal. Itu bukti anda tidak hanya lena di empuk takdir.


Amran menyediakan khidmat angkut sampah untuk penghuni di apartment tempatnya tinggal.


Kisah seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) bernama Amran Karno boleh dijadikan pedoman. Tidak pernah sekali menyalahkan takdir apatah lagi mempergunanya. Selagi kudrat bersisa pada tubuh, akan diusahakan mencari rezeki halal demi isteri dan anak-anak.

Dia hanya perlukan sokongan dan doa daripada keluarga dan juga masyarakat. Memilih kerjaya sebagai pengangkut sampah, dia bersyukur kerana isteri begitu memahami dan tak lekang memberi sokongan. 

Amran merupakan OKU fizikal pada bahagian kaki kerana terlibat dalam kemalangan pada tahun 2000. Sejak itu, kudratnya terhad untuk melakukan kerja-kerja berat.

Berbekalkan troli usang yang diubah suai menggunakan jaring plastik, bolehlah dia melakukan kerja-kerja mengambil upah dengan mengangkat sampah di tempat tinggalnya di Shah Alam, Selangor. Namun, troli tersebut tidak tahan lama dan sesuai kerana rodanya kecil.


Troli lama yang tidak sesuai digunakan untuk mengangkut sampah-sampah.


Hal ini menyukarkan untuk dia menolak troli terutama di laluan tidak rata. Troli ini juga tiada brek. Jadi, apabila lalu di laluan menurun, troli akan bergerak laju dan Amran terkial-kial menahan kelajuan troli dengan keadaan kaki yang tidak stabil.

Keadaan itu menyukarkan kerjanya. Mahu beli yang baharu, apakan daya dia tidak mampu. Lazim hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. 

Baginya, alangkah bagus kalau bantuan berbentuk alatan yang memudahkan urusan kerja berbanding bantuan wang. Ini kerana, wang akan habis. Tetapi alat untuk bekerja, boleh hasilkan lebih banyak wang. 

"Setiap malam selepas selesai angkut sampah, saya akan alami sakit-sakit pada bahagian kaki kerana terpaksa mengguna sepenuh tenaga menolak troli berisi sampah. Jalan raya tidak rata dan keadaan troli yang berat dengan sampah amat menyukarkan saya.

"Tayar kecil troli ini tidak membantu untuk memudahkan kerja. Tapi saya tiada wang untuk membeli troli baharu yang sesuai. Saya ada cari secara online tetapi harganya empat angka. Saya tak mampu," kata Amran.


Inilah troli baharu yang diberikan oleh seorang individu prihatin.


Justeru, Amran menyertai sebuah peraduan yang dianjurkan oleh sebuah portal. Hadiah wang tunai RM5,000 amat menarik perhatian kerana wang itu boleh digunakan untuk membeli troli baharu rekaan khas untuk OKU cacat kaki. 

Pertandingan itu memerlukan Amran membuat video. Namun, video Amran tidak menang. Reda namun hampa kerana tidak berjaya mendapatkan troli baharu, Amran pasrah terus menggunakan troli lama untuk membuat kerja.

"Saya tetap kena meneruskan kerja angkut sampah kerana ini usaha untuk menafkahi keluarga saya. Sebagai lelaki kurang upaya, inilah satu-satunya kerja yang boleh saya lakukan untuk mendapatkan duit," luah Amran.


Kisahnya pernah mendapat liputan daripada siaran televisyen.


Siapa kita untuk menidakkan rezeki. Seperti yang diperkatakan pada awal peranggan, setiap ujian itu ada hikmahnya. Siaran video itu sebenarnya telah menarik perhatian seorang usahawan dari Berjasa Engineering, Aslam Zahari untuk menyumbang troli yang direka khas bagi lelaki OKU fizikal seperti Amran. 

Sebelum meneruskan projek membuat troli, Aslam memanggil Amran untuk berbincang mengenai keperluan troli rekaan khas itu. Dia ingin memastikan troli itu benar-benar sesuai untuk kegunaan mengikut kapasiti kurang upaya yang dialami Amran.



Menurut Aslam, dia terpanggil untuk menyumbang troli ini adalah kerana ingin membantu OKU yang berusaha bekerja bagi memperoleh pendapatan. Baginya, menyumbang peralatan adalah lebih baik berbanding wang kerana ia boleh digunakan secara berterusan. 

Troli ini direalisasikan oleh tim Berjasa Engineering yang terdiri daripada jurutera, pakar besi dan pembinaan. 

Menurut Aslam, mereka perlu meneliti dengan sebaik-baiknya kerana troli ini akan digunakan oleh seorang OKU. Ciri-cirinya pasti sedikit berbeza berbanding orang normal.


Lakaran asal troli angkut sampah mesra OKU.


Selepas menggunakan troli tersebut, Amran sangat berpuas hati kerana ia besar dan memudahkannya menolak di jalan yang tidak rata. Selain itu, brek yang ada tidak lagi membuat dia terkial-kial apabila melalui jalan yang menurun. Troli ini juga ada penutup dan secara tidak langsung menutup sampah daripada pandangan yang tidak sedap mata memandang.

"Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Berjasa Engineering yang bersusah payah membuat troli rekaan khas ini. Ia memudahkan urusan angkut sampah sekali gus mengurangkan rasa sakit pada bahagian kaki saya yang cacat kerana tidak perlu lagi mengerah sekuat tenaga ketika menolak troli. Terima kasih!" ujar Amran dalam nada gembira.

Menurut Aslam, projek troli ini adalah salah satu daripada projek khidmat masyarakat syarikatnya. Dia ingin mengembalikan sebahagian pendapatan syarikat kepada insan memerlukan. - KitaReporters


Menurut Aslam Zahari, troli tersebut merupakan salah satu projek khidmat masyarakat syarikatnya.

10
13
0
15
0
You will be interested